sss
 

Pastinya menjadi harapan tertinggi setiap Muslim ingin meninggalkan dunia ini dengan senyuman, seolah-olah puas selepas mempersembahkan yang terbaik sepanjang hidup.

Mungkin buku ini boleh mencapai impian itu kerana ia bukan hanya menghimpunkan ayat al-Quran, hadis, kalam ulama serta syair berkenaan amalan menghapuskan dosa.

Bahkan, sesuai kepada semua kerana umat manusia sering terpalit dengan dosa. Boleh dikatakan setiap hari kita melakukan dosa. Sama ada dosa dengan Allah SWT atau bersangkutan dengan manusia.

Ini ditambah dengan kewujudan teknologi dan media yang tidak terbatas membuatkan umat masa kini lebih mudah terdedah kepada dosa.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Setiap anak Adam melakukan kesalahan. Sebaik-baik orang yang berbuat kesalahan ialah orang yang bertaubat.” - Riwayat Ibn Majah

Antara kelebihannya, buku ini boleh dijadikan panduan bagi mengetahui tentang amalan yang boleh dilakukan untuk bertaubat dan kembali kepada Allah.

Ia juga membincangkan tentang amalan yang dapat menggugurkan dosa berpandukan hadis Rasulullah SAW.

Selain sesuai untuk semua peringkat umur, ia juga amat bersesuaian untuk menjadi bahan bacaan di surau atau masjid dan juga dijadikan bacaan seisi keluarga agar sama-sama dapat bermuhasabah diri dengan dosa-dosa yang pernah dilakukan seterusnya kembali ke pangkal jalan dan bertaubat.

SERINGKALI, kisah perjuangan warga Palestin di Gaza tampil di kaca televisyen dan dada akhbar dalam bentuk fakta serta data semata-mata.

Tetapi, kurang yang membicarakan daripada sudut emosi atau perasaan untuk menggugat jiwa bagi menyelami perjuangan sebenar penduduk di kawasan itu.

Maka, buku Bangkit Gaza mungkin mampu memenuhi kehilangan itu. Walaupun dipersembahkan dalam bentuk novel perjuangan tetapi turut diselitkan segala kisah dan bibit perjuangan rakyat Gaza hingga masa kini.

Sarat dengan gaya penulisan penceritaan yang menyentuh perasaan, novel tulisan kumpulan penulis Rose2Rose ini mampu memukau dan memakukan pemikiran kita serta melemaskan jiwa dalam siri perjuangan Gaza.

Menariknya melalui buku tersebut, pembaca boleh memahami isu-isu Palestin yang sebelum ini dibicarakan dalam lingkungan akademia sahaja. Antaranya, kerangka Nakbah (1948), Perang Enam Hari (1967), Perang Oktober (1973) dan Intifadah (1987).

Begitu juga berkenaan peristiwa serangan biadab dan pembunuhan beramai-ramai ke atas warga Palestin dalam tahun-tahun 50-an seperti di Qibya (Hebron), Jabaliya (utara Gaza), Tulkarem, Qilqiliya dan Kafr Qasm.

Buku ini turut membawa pembaca menelusuri tahun-tahun 70-an dan 80-an yang menimpa rakyat Palestin di Lubnan, hala tuju perjuangan dikemudikan Hamas dan siri rundingan antara Israel dengan PLO yang banyak merugikan warga Gaza sendiri.

Jadi, dengan membaca buku ini akan menjadikan pembaca menghayati perkembangan penderitaan yang dialami oleh warga Palestin sehingga kini.

 

Tajuk: Amalan Penghapus Dosa

Penulis: Imam Ibn 
Al-Dayba’

Penerbit: Telaga Biru
 Sdn. Bhd.

Halaman: 135 muka surat

Harga: RM25

ISBN: 978 967 388 326 4

Tajuk: Bangkit Gaza

Penulis: Kumpulan Penulis Rose2Rose dan Ezee Rahmani

Penerbit: Risalah Harmoni Sdn. Bhd.

Halaman: 220 muka surat

Harga: RM25


ISBN: 978 967 0965 06 2