Bertindak sebagai agensi mengutip zakat di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur termasuk Labuan, tugas itu tidak bermakna PPZ-MAIWP harus ‘ditakuti’ mereka yang mempunyai banyak harta.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ahmad Shukri Yusoff berkata, menerusi PPZ-MAIWP umat Islam dapat membersihkan hati daripada sifat tamak haloba, malah menyucikan harta yang diperoleh menerusi amalan berzakat.

Katanya, bukan sahaja keberkatan harta bakal dicapai menerusi amalan berzakat, seseorang itu juga dapat meringankan beban sebahagian umat Islam yang tidak berkemampuan dengan penyaluran bantuan zakat kepada golongan asnaf memerlukan.

“Mengapa perlu takut atau menjauhkan diri dari PPZ-MAIWP, sedangkan di sinilah destinasi terbaik untuk beramal. Malah terdapat kepentingan tersendiri mengapa umat Islam perlu berzakat kepada golongan pemerintah dan bukannya bertindak sendirian menyerahkan zakat kepada keluarga miskin atau susah,” katanya ketika ditemui Mimbar Utusan, di ibu negara baru-baru ini.

Jelasnya, pihak pemerintah mempunyai saluran tepat bagi mengagihkan zakat, selain kumpulan penerima zakat juga adalah mereka yang benar-benar layak menerima bantuan zakat.

Selain itu menurutnya, masih terdapat golongan pembayar zakat memilih untuk tidak membayar kepada pihak bertauliah yang mendapat lantikan dari Majlis Agama Negeri, namun apa yang lebih menyedihkan apabila membuat pembayaran mengikut perkiraan sendiri.

“Jika jumlah yang dibayar itu berlebihan, okeylah. Lebihan zakat tersebut boleh dikira sebagai sedekah jariah. Tetapi bagaimana jumlah yang dizakatkan itu tidak mencukupi daripada jumlah ditetapkan oleh syariah Islam?” katanya.

Sehubungan itu katanya, dia sangat berharap orang ramai untuk mendapatkan maklumat tepat berhubung pembayaran zakat daripada pihak bertauliah seperti PPZ-MAIWP, selain memastikan jumlah bayaran dibuat adalah tepat.

Untuk itu juga menurutnya, PPZ-MAIWP bertekad memperkasa perkhidmatan yang dibekalkan kepada orang ramai menerusi pembayaran zakat dalam talian.

PERKASAKAN ONLINE

Jelasnya, generasi muda pada masa ini sangat cenderung menggunakan kemudahan perkhidmatan dalam talian bagi membuat pembayaran dan pelbagai urusan harian lain.

“Pembayaran zakat secara tradisional dilihat tidak mencatat peningkatan memberangsangkan, maka kita di PPZ-MAIWP akan memperhebat portal yang dimiliki ke tahap yang lebih baik bagi memudahkan orang ramai terutama generasi muda membuat pembayaran zakat secara online atau dalam talian.

“Kita bukan sahaja mahu melihat jumlah pungutan zakat meningkat tetapi jumlah pembayar zakat juga bertambah menerusi aplikasi perkhidmatan dalam talian yang disediakan,” katanya.

Tegasnya, tidak timbul isu berhubung akad apabila pembayaran dibuat secara dalam talian, sebaliknya perkhidmatan tersebut sangat memudahkan orang ramai menunaikan kewajipan berzakat.

Tidak menafikan kepentingan usaha dakwah secara berterusan PPZ-MAIWP kepada orang ramai tentang kepentingan berzakat, beliau menjelaskan bahawa taklimat zakat, perkhidmatan van zakat bergerak, dakwah santai serta penglibatan bersama agensi lain termasuk pihak pengurusan masjid dalam memberi kesedaran kepada orang ramai tetap diteruskan dari semasa ke semasa tanpa ada tempoh.

Tambahnya, PPZ-MAIWP menyediakan 11 buah kaunter zakat termasuk di Wilayah Persekutuan Labuan bagi memberi perkhidmatan terbaik kepada pembayar zakat termasuk khidmat nasihat.