Begitulah keadaan kebanyakan umat Islam Sri Lanka yang ditemui ketika penulis diberi peluang mengikuti rombongan Ziarah Korban anjuran Islamic Aid Malaysia (IAM) ke negara tersebut, baru-baru ini.

Ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang, majoriti mereka yang menyara hidup dengan bekerja sebagai petani, nelayan dan buruh kampung itu perlu mengorbankan usia muda termasuk persekolahan demi memperoleh sesuap nasi membantu keluarga.

Bukan tidak mahu mengubah hidup kepada lebih baik, namun kesan daripada perang saudara pada 1983 yang turut melibatkan penempatan umat Islam sebagai antara daerah paling teruk itu membantutkan perkembangan mereka berikutan kemusnahan dan kehilangan tempat tinggal.

Tidak hairanlah jika diperhatikan pembangunan Sri Lanka agak mundur, lebih-lebih lagi di perkampungan umat Islam. Tanpa binaan gah apatah lagi bangunan pencakar langit.

Eratkan lagi persaudaraan

Namun, rata-rata mereka reda, malah bersyukur kerana di sebalik keadaan tersebut secara tidak langsung mengeratkan lagi persaudaraan umat Islam dari seluruh dunia bagi menghulurkan bantuan termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dari Malaysia

Seorang penduduk, Nadem Abdillah, 32, ketika ditemui berkata, sebagai masyarakat beragama minoriti di negara tersebut, beliau mengharapkan umat Islam di seluruh dunia untuk tampil membantu mengubah kehidupan mereka.

Bukan mengharapkan sumbangan untuk dirinya, tetapi dia yang menyara kehidupan keluarga dengan hasil pendapatan sebagai petani berkata, sumbangan itu adalah bagi kelangsungan generasi akan datang.

“Kami sangat bersyukur dan terharu kerana ada pihak yang sudi membantu, tetapi lebih kami perlukan adalah bantuan untuk jangka masa panjang iaitu sesuatu yang boleh memberi manfaat kepada anak-anak kami.

“Ramai anak dan remaja di daerah Kinniya, Trincomalee ini tidak dapat menamatkan pengajian atau menyambung ke peringkat tinggi kerana keadaan keluarga yang miskin.

“Mereka terpaksa bekerja untuk membantu keluarga, apatah lagi untuk bersekolah memerlukan banyak belanja.

“Tambahan pula perkampungan kami terletak jauh dari bandar, bantuan seperti ini jarang sekali diterima,” katanya yang telah berkahwin dan mempunyai seorang anak.

Sementara itu, bagi Rinaz Mohamed, 22, walaupun berat hati untuk meninggalkan kampung dan pekerjaan sekarang, tetapi dia mengakui sentiasa memikirkan masa depan dan mengharapkan peluang pekerjaan lebih baik untuk dirinya.

“Saya telah lama berhenti belajar dan kini bekerja sebagai pemandu tuk-tuk (teksi motor beroda tiga).

“Dengan pendapatan tidak seberapa, pernah juga terfikir mencari pekerjaan lain di bandar, tetapi agak sukar kerana tidak berpendidikan tinggi dan tidak mempunyai kemahiran,” katanya mengakhiri perbicaraan.

 

Muslim Sri Lanka perlu bantuan

Umat Islam terutama NGO di negara ini disaran untuk memperluas bantuan mereka dan tidak tertumpu kepada negara-negara jiran tetapi juga memilih Sri Lanka.

Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Sri Lanka, Wan Zaidi Wan Abdullah berkata, ramai dalam kalangan umat Islam di negara itu memerlukan bantuan bukan sahaja aspek makanan dan sara hidup tetapi pendidikan serta perkembangan ekonomi.

“Jumlah penduduk Muslim di Sri Lanka adalah sekitar 10 peratus atau kira-kira 2 juta daripada keseluruhan penduduk Sri Lanka.

“Jika kita lihat semula sejarah, umat Islam adalah antara komuniti yang teruk terjejas akibat perang saudara antara penduduk tempatan dengan pemberontak Tamil Eelam.

“Secara umumnya, serangan turut dilancarkan ke atas penempatan majoriti umat Islam iaitu di Timur dan Selatan Sri Lanka, justeru keadaan ini mengambil masa panjang untuk membangunkan kehidupan baru.

“Oleh itu, saya amat mengalu-alukan usaha daripada mana-mana pertubuhan atau individu untuk membantu meringankan bebanan yang mereka hadapi, dalam masa sama meningkatkan taraf hidup mereka kepada lebih baik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa mengadakan Majlis Sambutan Aidiladha bersama penduduk Malaysia di Rumah Malaysia, Colombo, Sri Lanka, baru-baru ini.

Majlis yang diadakan setiap tahun itu bertujuan mengeratkan hubungan, di samping berkongsi permasalahan dihadapi kira-kira 250 penduduk Malaysia di negara itu yang terdiri daripada kakitangan swasta, pekerja syarikat pembinaan, wakil entiti perniagaan dan sebahagian kecil pelajar.

Wan Zaidi berkata, selain meringankan beban golongan yang memerlukan, penganjuran seumpama itu dilihat merupakan antara landasan terbaik bagi mengeratkan hubungan diplomatik antara negara bukan sahaja dalam aspek politik tetapi kemasyarakatan.

“Hubungan antara Sri Lanka dengan Malaysia telah terjalin sejak dahulu lagi dan rakyat negara ini umumnya memandang tinggi terhadap Malaysia.

“Hubungan ini perlu diperkasa dari semasa ke semasa dan menjadi tanggungjawab kita di suruhanjaya tinggi untuk memastikan hubungan ini terus terpelihara,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau turut memuji tindakan kerajaan Sri Lanka yang mengambil pelbagai langkah dalam usaha menjernihkan konflik yang berlaku terutama antara agama bagi keharmonian beragama penduduk negara itu.

“Kita bersyukur kerana umat Islam telah disepadukan bersama masyarakat tempatan dengan sebahagian mereka diserap dalam perkhidmatan awam.

“Sri Lanka mengamalkan kebebasan agama, walaupun sebelum ini wujud konflik, tetapi kini semua agama termasuk Islam terutama bebas dilaksanakan berbanding dulu,” katanya.

 

Belajar dalam kekurangan

Jika di Malaysia, hampir setiap kawasan penempatan mempunyai sekolah atau pusat pengajian masing-masing bermula dari peringkat awal persekolahan sehinggalah institusi pengajian tinggi.

Namun, situasi itu dilihat jauh berbeza dengan keadaan yang dialami penduduk Sri Lanka. Pelajar terpaksa berjalan jauh untuk bersekolah, lebih-lebih lagi pusat pendidikan Islam kerana hanya terdapat di kawasan tertentu.

Justeru, pelbagai usaha dilakukan bagi menubuhkan madrasah pengajian Islam bagi memberikan pendidikan kepada kanak-kanak Sri Lanka agar tidak keciciran terutama berhubung ajaran agama Islam.

Pengetua Madrasah Lil Banat, Mohamad Sanoos Mohamad Hanifah berkata, sejak ditubuhkan pada 2010, madrasah tersebut hanya mempunyai dewan dan beberapa kelas yang serba daif untuk kemudahan pelajar.

Namun tambahnya, keadaan itu tidak menghalang atau melemahkan semangat pelajar madrasah tersebut untuk belajar, malah kemasukan pelajar kian meningkat saban tahun.

“Bermula hanya tujuh pelajar pada awal penubuhan, kini madrasah ini mempunyai seramai 174 pelajar dengan 16 tenaga pengajar. Madrasah ini ditubuhkan demi memenuhi keperluan umat Islam di daerah ini yang kurang pendedahan mendalami Islam.

“Walaupun sudah tujuh tahun ditubuhkan, namun perkembangan pembangunan kemudahannya sangat perlahan kerana kita kekurangan dana dan jarang sekali mendapat bantuan pihak luar. Oleh itu, pelajar terpaksa belajar dalam keadaan segala kekurangan,” katanya yang merupakan antara pengasas madrasah berkenaan.

Madrasah yang menempatkan pelajar keluarga miskin dan asnaf itu menawarkan sebanyak 16 mata pelajaran asas kepada pelajar termasuk Matematik, Bahasa Arab, Pendidikan Islam dan subjek-subjek akademik lain.

Justeru, Mohamad Sanoos turut memohon keprihatinan dan sumbangan orang ramai untuk menaik taraf pusat pengajian tersebut bagi menjayakan perancangan membina makmal komputer selain menambah pelbagai alat kemudahan belajar.