Ia sebagaimana firman Allah SWT maksudnya: “Allah pelindung (yang mengawal dan menolong) orang yang beriman. Mengeluarkan mereka daripada kegelapan (kufur) kepada cahaya (iman). Dan orang kafir penolong mereka ialah taghut yang mengeluarkan mereka daripada cahaya (iman) kepada kegelapan (kufur). Mereka itulah ahli neraka dan kekal di dalamnya.” (al-Baqarah : 257)

Umat Islam perlu menyedari bahawa Allah mengurniakan pelbagai keistimewaan kepada umat Islam yang menjadi punca kemuliaan, kemenangan dan kebahagiaan di dunia serta akhirat. Antaranya:

Keistimewaan ajaran

Islam itu sendiri

  • Ia merupakan nikmat yang tidak boleh dibandingkan dengan segala nikmat lain. Islam adalah agama yang terdiri daripada akidah, syariah dan akhlak.
  • Ajaran Islam adalah nikmat kekal selamanya berbanding dengan nikmat lain yang akan luput dan berakhir. Ini terbukti Islam adalah agama yang diterima oleh Allah berbanding agama lain.

Firman Allah dalam surah al-Imran ayat 19 maksudnya: “Sesungguhnya ugama (yang benar dan diredai) di sisi Allah ialah Islam.”

  • Kejayaan Rasulullah menyebarkan agama Islam kepada masyarakat Arab daripada tidak bertamadun kepada kemajuan. Daripada buta huruf kepada berilmu dan daripada bermusuhan kepada perpaduan hingga mampu menguasai sebahagian besar dunia.
  • Namun, hari ini terdapat umat Islam mula melupakan dan meninggalkan ajaran Islam sebenar. Ada yang terpengaruh dengan aliran pemikiran fahaman liberal yang ingin bebas daripada ajaran agama Islam.
  • Ada juga yang terpengaruh dengan fahaman plural yang menganggap semua agama adalah sama kononnya untuk mengejar kemajuan dunia, sedangkan yang dikejar tidak tercapai, manakala akhirat tergadai.

Umat Islam bersaudara

  • Umat Islam adalah umat yang satu. Wujudnya kesatuan ini kerana hubungan akidah dan ukhuwah Islamiah. Ikatan ini merentas sempadan geografi, bangsa, warna kulit dan keturunan yang menjangkau hampir sepertiga penduduk dunia.

Firman Allah maksudnya: “Sesungguhnya Islam inilah agama kamu, agama yang satu asas pokoknya, dan Akulah Tuhan kamu; maka sembahlah Daku.” (al-Anbia: 92)

  • Ayat ini menjelaskan keimanan kepada Allah menjadi ikatan persaudaraan yang kukuh dalam kalangan umat Islam hingga ke hari ini.
  • Ukhuwah Islamiah inilah yang menyatukan muhajirin dan ansar serta mendamaikan kabilah Arab yang dulunya berperang antara satu sama lain.
  • Islam berjaya mengikis sifat jahiliah yang saling bermusuhan kepada hidup dalam suasana harmoni. Ikatan persaudaraan diajar oleh Rasulullah ini membuahkan kekuatan umat yang memberi kemuliaan kepada Islam.
  • Namun kini, kerana hanyut dengan keduniaan, mengejar pangkat, harta benda, dan kedudukan menurut kepentingan diri serta hawa nafsu, ikatan ukhuwah ini mula dilupakan.
  • Natijahnya umat Islam mula hilang kekuatan dan semakin lemah serta lebih malang lagi dipermain oleh musuh dengan mudah.

Negara umat Islam dilimpahi rezeki

  • Negara umat Islam dilimpahi dengan nikmat sumber alam dan hasil bumi yang kaya seperti minyak, gas serta sumber-sumber galian lain yang tidak terhitung banyaknya.
  • Segala nikmat kurniaan Allah adalah wasilah (jalan) kepada umat Islam untuk terus mengabdikan diri kepada Allah sebagai hamba dan menguruskannya dengan penuh amanah sebagai khalifah di bumi.
  • Umat Islam yang menggunakan nikmat Allah dengan baik seiring dengan perintah-Nya akan diberikan pahala yang besar di sisi Allah, sebaliknya bagi manusia yang menggunakan nikmat Allah untuk kepentingan diri sehingga melanggar perintah Allah, tergolong dalam golongan kufur serta dijanjikan azab pedih.
  • Amaran ini disebut oleh Rasulullah SAW: “Demi Allah, aku tidak bimbang kamu menjadi fakir, tetapi aku bimbang dibentangkan kepada kamu kemewahan dunia sebagaimana dibentangkan kepada umat terdahulu daripada kamu, lalu kamu berkelahi sebagaimana mereka berkelahi, maka dunia membinasakan kamu sebagaimana pernah membinasakan umat terdahulu.” - Riwayat Bukhari

Hadis ini menggambarkan kebimbangan Rasulullah terhadap umatnya yang akan dibinasakan jika hanyut dalam nikmat dunia kurniaan Allah.