Jauh sekali beza antara sifat amanah, profesional dan pengetahuan para doktor yang menghabiskan masa bertahun-tahun belajar ilmu perubatan berbanding dengan khutbah penjual ubat ajaib yang cuma berguru sebulan dua lantas terus menjadi pakar perubatan dalam semua bidang.

Jika bukti para doktor berasaskan penemuan saintifik, ‘bukti’ penjual ubat ajaib pula adalah testimoni kampungan dengan bau suam-suam saintifik.

Sebenarnya jenayah moral selalu sahaja dilakukan oleh para penjual ubat ajaib di luar sana. Ketika membuka bicara tentang keberkesanan dan keajaiban ubat mereka, banyak sekali ‘auta diubah suai menjadi fakta’.

Dosa pahala menipu fakta langsung diketepikan demi sedikit keuntungan. Janji ubat laku dan laris. Bila poket sudah padat berisi, nasib pesakit yang menerima akibat buruk daripada ubat ajaib mereka langsung diketepikan. Nasiblah kamu! Siapa suruh percaya promosi ‘gempak’ ubat aku?

Mereka ini adalah syaitan bertubuh manusia! Bolehkah menggelar manusia sebagai syaitan? Apa kata al-Quran? Memang Allah sebut kewujudan ‘spesis syaitan manusia’ yang selalu ada pada setiap zaman.

Firman Allah: “Dan demikianlah Kami jadikan bagi setiap Nabi itu musuh daripada jenis ‘syaitan manusia dan jin’, sesetengahnya membisikkan kepada sesetengahnya yang lain kata-kata dusta yang indah susunannya untuk memperdaya pendengarnya,” (al-An’am[6:112]).

Ayat ini pada asasnya membicarakan dua jenis musuh para nabi yang akan sentiasa wujud. Contoh syaitan manusia yang wujud pada zaman Rasulullah SAW adalah para pembesar Quraisy seperti Abu Jahal, al-Walid bin al-Mughirah dan sebagainya yang tidak putus-putus mengganggu Baginda dan cuba memadamkan cahaya Islam. Berdasarkan ayat ini, syaitan manusia dan syaitan jin bersatu pada satu sifat iaitu ‘penipu yang bermulut manis’.


LICIK MENYUSUN STRATEGI


 Mereka bijak menyusun kalam indah bagi menyesatkan atau menipu manusia. Antara contoh yang disebut Allah adalah janji manis beracun sesetengah Musyrikin Mekah kepada umat Islam di Mekah:

“Dan berkata pula orang yang kufur ingkar kepada orang beriman: Ikutlah jalan agama kami, dan kami sedia menanggung kesalahan kamu (kalau kamu mengira perbuatan itu salah). Padahal mereka tidak akan dapat menanggung kesalahan orang yang bersalah itu sedikit pun, dan sesungguhnya mereka adalah berdusta. Dan sesungguhnya mereka akan menanggung beban dosa mereka dan beban (dosa orang yang mereka sesatkan) bersama dengan beban dosa mereka sendiri; dan sesungguhnya mereka akan ditanya pada hari kiamat kelak tentang apa yang mereka pernah ada-adakan secara dusta itu,” (al-‘Ankabut [29:12-13]).

Berbalik kepada isu penjual ubat ajaib! Sesetengah mereka sanggup menipu atau mensensasikan sesuatu fakta sehingga yang minimum menjadi maksimum. Senjata mereka sama dengan syaitan manusia dan syaitan jin yang disebut Allah dalam ayat di atas iaitu “kata-kata manis untuk menipu.”

Para pesakit yang buntu dan tersepit akhirnya terperdaya dengan kalam manis beracun si penjual ubat. Lalu para pesakit berhabis harta membeli ubat yang ‘bukan ubat pun’ untuk sakit mereka.

Selain itu, ubatan mereka turut menjadi masalah tambahan kepada para petugas kesihatan di hospital. Usaha dan kegigihan para doktor yang bertungkus lumus saban hari menjaga pesakit kronik dengan pelbagai kawalan serta pantang larang dimusnahkan dengan mudah oleh ubat ajaib yang mereka jual.


JENAYAH 
BERCABANG!

Jenayah mereka sebenarnya sudah bercabang tiga iaitu menganiaya, menipu pesakit dan menyusahkan para doktor.Adakah mereka ingat tindakan itu tiada audit dosa pahala, syurga neraka di sisi Allah?

Pesan saya kepada para penjual ubat di luar sana. Jangan memandai kerana anda tidak akan jadi pandai dengan memandai-memandai!. Tambah parah jika cubaan memandai anda menyebabkan ‘mangsa’ anda semakin parah di katil hospital.

Jika mangsa masih boleh diselamatkan, Alhamdulillah! Dosa anda tidaklah parah, tetapi apa akan jadi jika ubat anda menjadi sebab mangsa hilang nyawa? Apa agaknya audit Allah untuk anda di akhirat kelak? Bunuh tanpa niat atau penipuan yang menyebabkan kematian?

TANGGUNG BEBAN BESAR

Pastinya dosa kerana menganiaya orang lain tidak mudah dihapuskan Allah hanya dengan lafaz istighfar atau solat taubat dua rakaat. Ia perlu diselesaikan secara berdepan dengan empunya badan, jika tidak, maka malanglah anda di akhirat kelak.

Sabda Rasulullah SAW:
“Sesiapa yang melakukan kezaliman kepada saudaranya yang melibatkan maruah atau apa sahaja (hak temannya), maka mohonlah halal (ampunan daripadanya semasa di dunia ini sebelum sampai waktu (kiamat) yang dinar atau dirham tidak mampu menebus. Sebaliknya jika dia (penzalim temannya) memiliki amal soleh (sedikit kebaikan), ia akan diambil (untuk diberikan kepada mangsanya) pada kadar kezaliman yang dilakukan. Jika dia tidak memiliki kebaikan, kejahatan mangsanya akan diambil lalu dipikulkan padanya,” - Sahih Bukhari.

Oleh itu, sebelum anda bersila panggung menyusun ayat manis penuh auta tentang keajaiban ubat anda, renunglah hadis ini:

“Sesungguhnya seorang hamba (manusia) boleh sahaja bercakap sesuatu perkara yang tidak dapat dipastikan kebenarannya, lalu (perkara itu) akan menjerumuskannya semakin dalam ke dalam neraka sejauh antara timur dan barat,” - Sahih Bukhari dan Muslim).