Manusia paling jahat sekalipun tetap mahu ke syurga, walaupun nafas dan zikir hariannya penuh dengan kejahatan.

Walaupun begitu, apa guna harapan tanpa usaha? Islam adalah agama amal dan bukti. Ia ditegakkan dengan usaha yang ikhlas dan bukan hanya angan-angan kosong:

“(Balasan baik yang dijanjikan oleh Allah itu) tidak akan didapati hanya dengan angan-angan kamu semata-mata, dan tidak pula dengan angan-angan ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani). Sesiapa yang melakukan kejahatan, dia akan dibalas dengan kejahatan itu, dan dia pula tidak akan mendapat - selain daripada Allah - seorang pun yang akan melindunginya, dan tidak ada juga yang dapat menolongnya,” (al-Nisa’ [4:123]).

Namun, ada sesetengah manusia yang nasibnya kurang baik kerana lahir dalam keluarga dan situasi bermasalah. Kesannya, hidup mereka tenggelam dalam kegelapan. Kenapa Allah benarkannya berlaku sedangkan kuasa-Nya yang tidak terbatas mampu melakukan apa sahaja? Adilkah Tuhan?

ADILKAH ALLAH?

Allah Yang Maha Bijaksana menetapkan dunia ini sebagai negeri ujian. Ada manusia diuji dengan susah agar dia sabar yang menjadi sebab gandaan pahala untuknya. Ada yang lahir senang agar tahu bersyukur, sekali gus memanjangkan nikmatnya kepada yang susah.

Banyak sekali firman Allah mengulas hakikat ujian hidup manusia di dunia, antaranya:

“Dan Dialah yang menjadikan kamu khalifah di bumi dan meninggikan sesetengah kamu atas sesetengahnya yang lain beberapa darjat, kerana Dia hendak menguji kamu pada apa yang telah dikurniakan-Nya kepada kamu. Sesungguhnya Tuhanmu amatlah cepat azab seksa-Nya, dan sesungguhnya Dia Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani,” (al-An’am [6:165]).

Berbalik kepada tajuk kita! Ada sesetengah manusia diuji dengan meletakkan mereka dalam lorong gelap pelacuran. Lidah dan mata zahir manusia senang sahaja menghukum mereka sebagai wanita jalang, perosak rumah tangga, pembawa wabak kotor dan sebagainya.

Pernahkah kita terfikir atau bertanya apa cita-citanya ketika kecil dahulu? Adakah profesion pelacur menjadi pilihannya? Manusia waras pasti tidak akan memasukkan profesion ini dalam senarai hidup mereka, namun situasi dan keadaan meletakkan mereka dalam lorong gelap ini.

Soalnya, masih adakah peluang dan sinar cahaya untuk mereka? 


RAHMAT ALLAH MAHA LUAS

Apa jawapannya? Cukuplah hadis ini menjadi jawapan bahawa rahmat Allah sentiasa melimpahi hamba-Nya:

Abu Hurairah meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: “(Pada suatu hari) seekor anjing terjelir lidahnya kerana kehausan yang hampir membunuhnya. (Kelakuan si anjing diperhati) seorang pelacur Bani Israel. Pelacur itu pun menanggalkan kasutnya lalu mencedok air untuk anjing tersebut. Dia diampunkan disebabkan kejadian itu.” - Sahih Bukhari.

Ada yang cuba mempertikai hadis ini: “Hadis ini tidak logik menurut neraca keadilan. Masakan hanya dengan memberi minum kepada seekor anjing, dosa besar yang dilakukan si pelacur terus diampunkan Allah?”

Cara menjawab persoalan:


1. Hadis ini adalah sahih. Setelah terbukti ia sahih, maka kita wajib terimanya dengan penuh keimanan. Jika isinya kelihatan pelik atau tak logik, kefahaman kita yang perlu disahihkan bukannya menolak terus kalam Rasulullah SAW yang mendapat bimbingan wahyu.

2. Allah adalah Tuhan Yang Maha Pengasih, bukannya diktator yang gila menghukum. Rahmat-Nya kepada makhluk dilimpahi tanpa batas iaitu lebih luas daripada kemurkaan-Nya. Itu dapat kita lihat daripada doa para malaikat:

“Malaikat yang memikul Arasy dan malaikat yang berada di sekelilingnya, bertasbih memuji Tuhan-Nya; dan beriman kepada-Nya; serta mereka memohon ampun bagi orang yang beriman (dengan berdoa merayu): wahai Tuhan kami! rahmat-Mu dan ilmu-Mu meliputi segalanya; maka berilah ampun kepada orang yang bertaubat serta menurut jalan-Mu, dan peliharalah mereka daripada azab neraka,” (Ghafir [40:7]).

Banyak contoh limpahan Rahmat Allah kepada hamba-Nya, antaranya:

“Abu Hurairah r.a. meriwayatkan Nabi SAW pernah menceritakan sebuah kisah; Ada seorang lelaki yang selalu melampaui batas terhadap dirinya (dengan melakukan berbagai dosa). Apabila hampir mati, dia berpesan kepada anaknya; apabila aku mati kelak bakarlah jasadku kemudian tabur abu mayatku agar diterbangkan angin, kerana sesungguhnya jika Tuhan menemuiku sudah pasti Dia akan menyeksaku dengan seksaan yang belum pernah diberikan kepada sesiapa pun.

“Setelah dia mati, anaknya melaksanakan segala wasiatnya. Lalu Allah berfirman kepada bumi: “Kumpulkan segala abunya yang ada padamu (wahai bumi).” Bumi pun segera melakukan arahan Allah dan lelaki itu dihadapkan kepada Allah. Allah bertanya kepada lelaki itu (sedang Dia sudah mengetahui sebabnya): “Apa yang mendorong kamu berbuat begitu?” Lelaki itu menjawab: “Wahai Tuhan-Ku kerana (aku terlalu) takutkan-Mu.” Berikutan jawapan itu, Allah langsung mengampunkan dosanya,” - Sahih Bukhari.

3. Jika di dunia ini kita boleh terima hak seorang raja memberi pengampunan khusus yang boleh mengurangkan hukuman pesalah, mengapa kita mahu nafikan hak yang jauh lebih hebat kepada Allah?

  •  Jika Allah terpaksa tunduk kepada hukum tanpa ada ruang budi bicara, maka kuasa ketuhanan-Nya boleh luntur.
  •  Allah sebagai Tuhan boleh menghukum makhluk atas sebarang jenayah.
  •  Allah juga sebagai Tuhan Yang Maha Pengasih boleh mengampunkan sesiapa sahaja apabila Dia mahu. Itulah kuasa Tuhan yang sebenar.   


4.Bukan semua yang melakukan dosa mahu terjebak ke dalam kancah dosa. Banyak sekali didengari kisah wanita dipaksa menjadi pelacur dan tiada cara untuk keluar daripadanya. Hati kecil mereka selalu berdoa agar dibebaskan daripada neraka itu.

Perkara ini pernah berlaku pada zaman Rasulullah SAW terhadap beberapa hamba wanita yang dipaksa lacur oleh tuannya. Firman Allah:

Dan janganlah kamu paksa hamba perempuan kamu melacurkan diri ketika mereka mahu menjaga kehormatannya, kerana kamu berkehendakkan kesenangan hidup di dunia. Dan sesiapa yang memaksa mereka, maka sesungguhnya Allah - sesudah paksaan yang dilakukan kepada mereka - Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani,” (al-Nur [24:33]).

Ayat ini mengisahkan perihal beberapa hamba wanita milik ‘Presiden Persatuan Orang Munafik Madinah, Abdullah bin Ubay’. Dia memaksa hamba wanitanya melacur. Selepas Islam datang, hambanya (yang dikatakan bernama Musaykah, Mu’adhah, Umaymah, ‘Amrah, Arwa dan Qutaylah) ingkar arahan. Apabila dia berkeras memaksa mereka melacur, Allah menurunkan ayat ini (Sahih Muslim dan Tafsir Ibn Kathir).