Itulah hukum alam yang kita lihat saban hari. Radar sang lalat sangat sensitif dengan sampah, najis atau sesuatu yang busuk. Itu kisah sang lalat, apa pula daya tarikan syaitan? Ayuh kita perhati apa kata Allah:

“Dan sesiapa yang tidak endahkan pengajaran (Al-Quran yang diturunkan oleh Allah) Yang maha Pemurah, Kami akan adakan baginya syaitan (yang menghasut dan menyesatkannya), lalu syaitan itu menjadi temannya yang tidak renggang daripadanya. Dan sesungguhnya syaitan itu tetap menghalangi mereka dari jalan yang benar, sedang mereka sangka bahawa mereka orang yang mendapat hidayah petunjuk,” (al-Zukhruf [43:36-37]).

Dalam ayat lain Allah tegaskan perkara yang sama:


“Dan Kami wujudkan untuk mereka teman rapat (daripada jin dan manusia), lalu teman itu menghiaskan kepada mereka (fahaman sesat) mengenai perkara dunia yang ada di hadapan mereka serta perkara akhirat yang ada di belakang mereka; dan (dengan sebab itu) tetaplah hukuman (azab) atas mereka bersama umat (yang sesat) daripada jin dan manusia yang terdahulu daripada mereka. Sesungguhnya mereka semua adalah golongan yang rugi (bawaan hidupnya),” (Fussilat [41:25]).

Juga firman Allah:

“Tidakkah engkau mengetahui (Wahai Muhammad) bahawa Kami telah menghantarkan syaitan kepada orang kafir untuk menggalakkan mereka mengerjakan perbuatan kufur dan maksiat dengan bersungguh-sungguh?,” (Maryam [19:83]).


JAHAT KERANA ALLAH?


Berbeza dengan sang lalat, sesungut dan deria hidu syaitan lebih cepat mengesan bau busuk hati jantung manusia yang sakit. Manusia yang cantik penuh haruman boleh sahaja dihinggapi atau dihurung si syaitan apabila bau busuk jiwanya terlepas keluar dan menyentuh radar si syaitan.

Setelah melihat firman Allah dalam ayat di atas, mungkin ada yang cuba bermain helah takdir dengan berkata: “Bukan salah saya jika saya jadi jahat. Allah yang menghantar syaitan untuk menghasut saya.”

Jawapannya:

  • Dampingan syaitan yang disebut ayat di atas berpunca daripada kegemaran anda yang suka benda kotor! Syaitan umpama lalat! Jika bertemu yang kotor segeralah dihurungnya. Jika tegas menjaga kebersihan fizikal, pasti lalat hilang minatnya.
  • Samalah dengan hurungan syaitan, jika menjaga hati jantung daripada segala penyakitnya pasti syaitan tidak mampu mendekati. Syaitan sendiri mengaku betapa dia sangat alah kepada jiwa suci penuh iman dan takwa:

“Iblis berkata: “ Wahai Tuhanku! Kerana Engkau telah menjadikan daku sesat, (maka) demi sesungguhnya aku akan memperelok segala jenis maksiat kepada Adam dan zuriatnya di dunia ini, dan aku akan menyesatkan mereka semuanya, “Kecuali antara zuriat Adam itu para hamba-Mu yang dibersihkan daripada sebarang syirik (dan dosa),” (al-Hijr [15:39-40]).

  • Jika hurungan sang lalat boleh mengundang kuman pembawa penyakit, dampingan atau hurungan syaitan jauh lebih bahaya impaknya.
  • Mata hati orang yang dihurung syaitan akan mengalami rabun hidayah dan akhirat.

Rabun ini menghalang seseorang daripada melihat kebenaran walaupun kebenaran itu berdiri tegak di depan mata zahirnya. Jika kanta mata hatinya terus dibiarkan rabun tanpa rawatan, ia boleh jadi sakit buta akhirat yang kronik. Apabila sudah buta, ubatnya hanyalah bakaran api neraka! Mohon dijauhkan oleh Allah.


CONTOH KRITERIA MANUSIA DIHURUNG SYAITAN

Dalam sejarah manusia, sudah banyak orang yang tersesat jauh setelah dihurung oleh syaitan. Mereka dicontohkan Allah dalam firman-Nya:

“Dan bacakan kepada mereka (wahai Muhammad), khabar berita seorang yang kami beri kepadanya (pengetahuan mengenai) ayat (Kitab) Kami. Kemudian dia menjadikan dirinya terkeluar daripada mematuhinya, lalu dia diikuti syaitan (dengan godaannya), maka jadilah dia daripada orang yang sesat,” (al-A’raf [7:175]).

  • Ulama Tafsir menyebut lelaki berilmu yang menjual agamanya dalam ayat ini adalah Bal’am bin Abar atau Bal’am bin Ba’ura’ iaitu seorang ilmuwan Bani Israel daripada umat Nabi Musa a.s.
  • Pada mulanya dia dihantar kepada kerajaan Madyan sebagai utusan dakwah Nabi Musa. Setelah disogok dengan habuan dunia, Bal’am langsung belot dan meninggalkan agamanya. (Tafsir Ibn Kathir). Ternyata pembelotannya itu menjadi sebab dia dihurung oleh syaitan yang membawanya lebih jauh daripada jalan Allah. 

l Selain Bal’am, Imam Ibn Kathir turut menamakan lelaki yang dicela dalam ayat ini sebagai Ummayah bin Abi al-Salt.
  • Dia antara orang Mekah yang banyak mengetahui ilmu agama daripada kitab terdahulu. Bukan itu sahaja, dia banyak menulis syair ketuhanan yang sangat bagus sehingga mengundang pujian Baginda SAW: “Hampir sahaja Umayyah bin Abi al-Salt itu Islam,” - Sahih Bukhari.
  • Walaupun mengetahui kebenaran Rasulullah SAW, Umayyah enggan beriman kerana tidak mahu tunduk kepada seorang Rasul yang bukan berasal dari kabilahnya.
  • Ini adalah ego dan sifat sombong yang menjadi punca dirinya dihurung oleh syaitan. 


PEDOMAN

Apa yang perlu dibuat bagi mengelakkan jiwa daripada dihurung oleh syaitan? Ikutilah panduan agama dan sentiasa siap siaga menepis serangan syaitan dengan ilmu dan doa kepada Allah. Ketika mentafsirkan perkataan al-Khannas dalam Surah al-Nas, Abdullah ibn Abbas berkata:

“Syaitan senantiasa mencangkung pada hati anak Adam, apabila manusia lupa dan lalai, dia akan membisikkan kejahatan, apabila manusia mengingati Allah syaitan akan tenggelam,” (Tafsir al-Tabari)

Marilah kita berusaha menenggelamkan syaitan yang mencangkung dalam jiwa kita. Bersihkan hati jantung kita dengan sabun taubat. Semburlah ia dengan semburan pewangi iman dan takwa. Mudah-mudahan semburan itu berfungsi mengusir syaitan dan menarik cinta Allah.