Kesannya, bukan sahaja boleh menjejaskan pegangan akidah pelaku, malah perkara itu turut membawa kepada keruntuhan tamadun dan membantutkan pembangunan negara apabila terhakisnya nilai integriti dalam diri individu.

Lebih membimbangkan, gejala negatif yang ternyata bertentangan dengan syariat Islam itu menjadi ukuran tahap keimanan umat Islam, sekali gus menggambarkan imej buruk dan mendatangkan kebencian terhadap Islam secara keseluruhannya.

Kepada Mega Mimbar, Utusan Malaysia, Penasihat Agama kepada Perdana Menteri merangkap Pengerusi, Institut Wasatiyyah Malaysia (IWM), Tan Sri Dr. Abdullah Muhammad Zin mengulas perkara tersebut.
 

Mimbar: Bagaimana pemerhatian awal Tan Sri berkenaan isu ini? 

Abdullah Muhammad Zin: Masalah ini bukan sahaja berlaku di negara ini tetapi bersifat global termasuk seluruh rantau ASEAN dan negara-negara Islam lain. Dalam isu ini banyak punca yang boleh disentuh, bagaimanapun saya memilih yang utama iaitu disebabkan masalah hati atau kerohanian Islam.

Rasulullah bersabda maksudnya: “Ingatlah bahawa dalam jasad itu ada segumpal darah. Jika ia baik, maka baik pula seluruh jasad. Jika ia rosak, maka rosaklah seluruh jasad. Ketahuilah bahawa ia adalah hati,” - Riwayat Bukhari

Ulama terkemuka, Syeikh Muhammad al-Ghazali dalam kitabnya ‘al-Janibu al-A’thifi Mina al-Islam’ menjelaskan kerohanian Islam adalah sangat penting dalam pengajian dan penghayatan Islam, tetapi ia diabaikan sekian lama dengan tidak diberi penumpuan secukupnya serta sedikit sekali dibicarakan. Umat Islam lebih menumpukan dalam bidang fikah, berbanding ilmu berkaitan hati dan kerohanian.

Kerohanian Islam adalah ilmu berkait rapat dengan akhlak dan hati. Ia perlu diberi penekanan seperti bidang fikah yang sentiasa bergerak mengikut peredaran semasa. Ini penting kerana solat bukan sahaja dinilai daripada syarat sahnya secara zahir (luaran) tetapi kekhusyukkan yang diperoleh menerusi hati (dalaman).

Boleh huraikan lebih lanjut mengenai kerohanian Islam?

Diisyaratkan oleh Rasulullah SAW menerusi hadis dinyatakan tadi, ia adalah hati. Jika tubuh sihat tetapi hati tidak sihat, tidak seimbang juga, malah lebih penting. Ideologi ini membawa maksud bukan sahaja kekuatan luaran, tetapi dalaman adalah sangat penting.

Hati yang dimaksudkan ini bagaikan kuasa penggerak. Jika kuasa penggerak itu tiada, maka seseorang itu akan mati sebelum sampainya ajal. Malah firman Allah SWT maksudnya: “..sesungguhnya Allah tidak merubah keadaan suatu kaum sehingga mereka merubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri..” (ar-Ra’d: 11)

Jika ingin menjadi insan yang baik, kita perlu berusaha menjadi yang terbaik. Begitu juga dengan hati, kita perlu berusaha menjadikan hati yang penuh nilai kerohanian tinggi sebagai benteng utama dalam kehidupan seharian.

Bagaimana contoh yang ditunjukkan Rasulullah dalam membentuk kerohanian Islam?

Surah al-Muzzammil ayat 1 hingga 8 merupakan satu manhaj atau petunjuk jalan yang sangat unggul untuk seluruh umat Islam hayati dan ikuti. Antaranya Allah menyuruh mendirikan solat malam (qiyamullail) walaupun hanya sedikit. Selain itu, Allah juga menggalakkan membaca al-Quran dengan tertib dan berzikir.

Ketiga-tiga manhaj ini adalah tarbiah rohani yang mampu membentuk kekuatan Islam sebenar bagi setiap individu. Buktinya, inilah juga yang dilakukan oleh Rasulullah pada peringkat awal untuk membentuk kerohanian Islam.

Sejauh mana nilai kerohanian dapat mencegah perkara mungkar dalam situasi hari ini?

Nilai kerohanian Islam ini adalah seperti imuniti. Oleh kerana kurangnya penumpuan terhadap nilai ini, maka tiada kawalan dalam diri kita, lebih-lebih lagi dalam dunia moden yang semakin mencabar hari ini.

Terdapat dua jenis musuh utama, yang pertama adalah diri kita sendiri manakala kedua dibantu dengan bisikan dan hasutan syaitan. Sebagai contoh, institut integriti sentiasa memperkasa kempen tetapi gejala rasuah masih berpanjangan dan tidak selesai. Nilai kerohanian inilah memainkan peranan besar sebagai benteng membawa kebaikan kepada kesejahteraan masyarakat dan negara.

Usaha yang boleh dilakukan dalam menularkan kesedaran nilai kerohanian Islam kepada masyarakat?

Tidak lain tidak bukan menerusi pendidikan pada semua peringkat umur termasuk di pusat pengajian tinggi. Aspek pendidikan yang perlu diterapkan adalah:

1 Tarbiah ruhiah (kerohanian) bagi memperkukuh akidah dan keimanan

2 Tarbiah khulqiah (akhlak) - Ibu bapa memainkan peranan besar dalam menunjukkan contoh teladan yang baik

3 Tarbiah jismiah (fizikal) - Memberi penekanan terhadap kekuatan dan kesihatan tubuh dengan bersukan

4 Tarbiah al-Ijtima’iyah (kemasyaratan) - Menanam nilai kemasyarakatan dan rasa tanggungjawab terhadap orang lain bermula dari kanak-kanak seperti membantu serta berbuat baik kepada masyarakat

Usaha dalam melahirkan Muslim terbaik?

Muslim terbaik adalah insan abrar iaitu didefinisikan sebagai seorang yang mukhsin (bersifat ihsan), muttaqin (bertakwa), kathirul birri (banyak melakukan kebaikan), soleh wal muslih (seorang yang baik dan menyebarkan kebaikan).

Golongan mukhsin ini sebagaimana dalam hadis maksudnya: “(Jibril) bertanya: “Apakah ihsan itu? Rasulullah menjawab: “Kamu menyembah Allah seolah-olah melihat-Nya dan jika kamu tidak melihat-Nya sesungguhnya Dia melihatmu,” - Riwayat Bukhari

Pendidikan kerohanian berkait rapat dengan ilmu tasawuf, manakala tasawuf pula sering dikaitkan dengan tarekat. Perlukah umat Islam mengikuti tarekat dalam usaha mendalami ilmu kerohanian?

Tarekat adalah satu jalan untuk mencapai kesempurnaan, namun terdapat banyak jalan lain. Bagi setiap syeikh atau guru contohnya, masing-masing mempunyai cara tersendiri. Tetapi pendiri tarekat ini bersetuju tiada amalan lebih afdal daripada membaca al-Quran dan zikir ‘lailahaillallah’.

Oleh itu, pelbagai saluran 
ilmu lain juga boleh dipelajari 
dan diamalkan bagi memupuk nilai kerohanian Islam yang sempurna.