Menurutnya, disebabkan pelbagai laporan negatif melalui media seperti pertempuran dan sebagainya, menyebabkan umat Islam seluruh dunia takut berkunjung ke Al-Aqsa.

Sheikh Yusuf menjelaskan bahawa keadaan di Al-Aqsa adalah selamat walaupun umat Islam memang sukar atau terdapat halangan untuk menjejakkan kaki ke Baitulmuqaddis disebabkan kawasan berkenaan diperintah oleh rejim Israel termasuk dari segi urusan mendapatkan visa.

Jelas beliau, jika umat Islam berterusan meminggirkan Al-Aqsa, tidak mustahil satu hari nanti kawasan suci itu akan terlepas terus ke tangan Israel dan kelak jangan dipersalah kepada rakyat Palestin apabila ia terjadi, sebaliknya seluruh umat Islam harus dipersalah.

Ditanya mengenai fatwa yang melarang umat Islam mengunjungi Al-Aqsa, beliau yang menolak fatwa berkenaan menjelaskan, di Baitulmuqaddis selain mufti, beliau sendiri sebagai Imam 1 diberi hak mengeluarkan fatwa mengenai hukum-hakam berkaitan agama termasuk fatwa mengunjungi Al-Aqsa.

“Dalam hal mengunjungi Al-Aqsa, saya dan mufti mengatakan umat Islam digalakkan mengunjungi kiblat pertama umat Islam ini,” katanya sambil menyebut hadis Rasulullah SAW:

“Tidak perlu kamu bersusah payah kecuali tiga masjid iaitu Masjidilharam, Masjidku (Masjid Nabawi) dan Masjid Al-Aqsa”.

Kekacauan bukan di Baitulmuqaddis

SHEIKH Yusuf menjelaskan bahawa laporan media yang mengatakan bahawa bumi Palestin tidak selamat sebenarnya lebih tertumpu di Tebing Barat dan Gaza.

“Umat Islam harus faham perkara ini, malah penduduk Palestin dari Tebing Barat dan Gaza disyaratkan perlu mendapatkan permit keselamatan jika hendak memasuki kawasan Baitulmuqaddis.

“Memang banyak perkara perlu dijelaskan mengenai Al-Aqsa ini. Jika seseorang tidak mengunjungi Al-Aqsa, orang itu tidak akan faham situasi sebenar. Setelah mengunjungi Al-Aqsa barulah faham keadaan sebenar,” katanya.

Beliau juga menjelaskan, ramai rakyat Palestin yang tinggal di luar Baitulmuqaddis seperti bekerja di Jordan dan negara-negara lain sehingga kini belum pernah berpeluang menjejakkan kaki ke Al-Aqsa.

“Ini kerana semua urusan visa bagi membolehkan mengunjungi Al-Aqsa ditentukan oleh rejim Israel. Oleh itu, jika umat Islam dari negara lain seperti Malaysia dan sebagainya berpeluang mengunjungi Al-Aqsa, ambil kesempatan ini untuk mengunjunginya selagi peluang itu masih ada,” katanya.

Menurutnya, ada juga pemimpin Palestin seperti duta dan sebagainya juga belum pernah menjejakkan kaki di Al-Aqsa. Malah dalam kalangan orang Arab sendiri amat tipis untuk merasa berada di Al-Aqsa,” katanya.