Ia telah digunakan oleh kebanyakan tamadun sebagai satu daripada alat untuk menentukan masa menggunakan cahaya matahari dan bayangnya di atas sesuatu permukaan. Para cendekiawan dan jurutera dunia Islam telah mencipta pelbagai alat untuk mengukur masa dan jam matahari yang digunakan oleh tamadun sebelum Islam turut diperkemas.

Jam matahari dalam dunia Islam mempunyai kegunaan yang lebih daripada sekadar pemberitahuan masa. Di Turki terdapat sebuah jam matahari yang dibina sejak abad ke-15 Masihi. Lokasi asalnya ialah di halaman Istana Topkapi berhampiran dengan Perpustakaan Sultan Ahmet III.

Jam matahari ini telah dilukis oleh Setiausaha Perbendaharaan Dinasti Uthmaniyyah ketika pemerintahan Sultan Mehmet bernama Sulayman Bey. Ia kemudiannya mengalami kerosakan fizikal dan dibaiki ketika pemerintahan Sultan Selim III. Kerja membaiki jam ini memakan belanja sebanyak satu lira emas atau bersamaan 1,000 kurus’s (nilai pada waktu itu).

Kerja pemulihannya dijalankan oleh seorang kakitangan Sultan Selim III yang dikenali sebagai Seyyed Abdullah.

Jam matahari Dinasti Uthmaniyyah di Istana Topkapi ini dibina menggunakan batu dan diletakkan di kawasan lapang dan ia juga mempunyai empat anak tangga untuk melihat permukaannya dengan jelas.

Bahagian permukaan jam matahari adalah rata dan diperbuat daripada batu marmar, manakala pada bahagian tengahnya mempunyai sebuah lubang supaya dapat mengalirkan air hujan ke bawah tanpa mengganggu permukaan jam. Diagram di bahagian permukaan jam ini dibuat seperti bentuk sepasang sayap seekor rama-rama.

Selain daripada jam matahari, di Istana Topkapi terdapat sebuah lagi jam matahari Dinasti Uthmaniyyah yang dibuat secara menegak. Ia diperbuat daripada kepingan batu marmar dan dipasangkan pada dinding sebuah masjid yang terletak di kawasan dikenali sebagai Masjid Mihrimah pada hari ini.

Masjid ini dibina oleh Sultan Abdul Hamid I pada abad ke-18 Masihi. Jam ini dibuat bagi kegunaan Jabatan Penjaga Masa Masjid untuk tujuan pengurusan waktu solat. Diagram Jam Matahari di masjid ini juga menggunakan pembahagian masa 12 jam seperti yang digunakan di Istana Topkapi.

Umat Islam merupakan masyarakat yang sangat peka kepada perubahan masa kerana rutin harian setiap umat Islam telah ditentukan dengan tugas hakiki iaitu solat lima kali sehari.

Bagi menunaikan solat lima waktu, umat Islam perlu merujuk kepada pergerakan matahari dan bagi memudahkan tujuan ini jam matahari merupakan antara penyelesaiannya. Jam matahari dalam dunia Islam juga turut diletakkan di masjid bagi memudahkan urusan mengumandangkan azan apabila tibanya waktu solat. Waktu solat juga berkait dengan ibadah yang lain iaitu puasa dan zakat.