Kalangan yang berpendirian begini memegang pandangan bahawa oleh kerana Islam adalah di bawah bidang kuasa negeri sebagaimana diperuntukkan oleh Jadual Kesembilan Senarai II Butiran 1, Kerajaan Persekutuan tidak mempunyai kuasa untuk membuat apa-apa tindakan mengenai agama Islam. Semua perkara yang bersangkutan dengan Islam adalah eksklusif berada dalam bidang kuasa negeri.

Ruangan kali ini cuba menelusuri pandangan dan mengkaji keabsahannya. Sekiranya ia benar, maka perubahan dasar yang drastik perlu dilakukan dan ia bakal mengakibatkan pelbagai perkhidmatan awam terpaksa disusun atur semula serta dana yang diberikan kepada Jakim pula boleh dianggap sebagai tidak sah.

Memang tidak dinafikan, dalam kerangka sistem Perlembagaan Persekutuan, Islam terletak di bawah kuasa negeri dan Ketua Agama Islam adalah Sultan negeri itu sendiri. Bagi negeri-negeri yang tidak mempunyai Sultan atau Raja, Yang di-Pertuan Agong merupakan Ketua Agama Islam bagi negeri tersebut. Parlimen bagaimanapun mempunyai kuasa yang sama dengan negeri-negeri lain untuk membuat sebarang undang-undang Islam dan Kerajaan Persekutuan mentadbir agama Islam bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan.

Jakim tidak mempunyai kuasa perundangan sama ada mengambil tindakan seperti menuduh orang Islam atas kesalahan jenayah syariah atau apa-apa kuasa negeri yang lain. Jabatan itu sekadar badan yang mengambil peranan menyelaras dan menyeragamkan pengamalan Islam antara negeri-negeri. Terpulanglah kepada negeri-negeri untuk membuat keputusan mereka sendiri.

BUKAN SEPENUHNYA KUASA NEGERI

Namun begitu sebenarnya tidak semua perkara berkaitan Islam terletak 100 peratus di bawah bidang kuasa negeri. Umpamanya beberapa undang-undang Persekutuan yang mempunyai kaitan atau menyentuh pengamalan Islam diluluskan oleh Parlimen.

Antara undang-undang tersebut adalah:

1 Akta Perubatan Tradisional dan Komplementari 2016 (Akta 775)

* Antaranya bertujuan memperuntuk dan mengiktiraf pengamalan perubatan Islam.

* Persoalannya, bagaimanakah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dapat memastikan perubatan Islam itu benar di sisi Islam dan bukannya khurafat, sihir, syirik atau yang bertentangan dengan hukum syarak.

* Sebagai sebuah entiti Persekutuan pastinya KKM memerlukan sebuah badan Persekutuan bagi membantunya. Tidak munasabah KKM terpaksa merujuk 14 buah negeri bagi suatu perkara.

* Oleh itu, Jakim adalah entiti yang dirujuk dan ia bertepatan dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan dalam Jadual Kesembilan Senarai I Butiran 4(k) yang menyebut Kerajaan Persekutuan mempunyai kuasa dalam penentuan hukum syarak, selain daripada undang-undang diri, bagi tujuan-tujuan undang-undang Persekutuan.

* Undang-Undang Persekutuan yang dimaksudkan itu adalah Akta Perubatan Tradisional dan Komplementari 2016.

2 Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Akta 301)

* Tapisan penerbitan dilakukan bagi mengelakkan ajaran sesat dan bertentangan dengan Islam disiarkan.

* Sudah pasti Kementerian Dalam Negeri tidak mempunyai kemahiran khusus memantau dan meneliti penerbitan berkaitan hukum syarak ini.

* Oleh itu, Jakim menjadi organisasi yang memantaunya bagi tujuan undang-undang Persekutuan iaitu Akta Percetakan dan Penerbitan tersebut.

3 Akta Tabung Haji 1995 (Akta 535)

* Bagi urusan haji pula umpamanya sebuah jabatan Persekutuan iaitu Jabatan Wakaf dan Haji (Jawhar) menguruskannya melalui Tabung Haji.

* Urusan dibuat mengenai kuota haji, visa, pengamalan logistik dan sebagainya diurus oleh entiti Persekutuan.

* Ini adalah kerana hubungan antarabangsa iaitu antara Malaysia dan Arab Saudi dilakukan oleh Kerajaan Persekutuan.

* Kerajaan Arab Saudi tidak akan berunding dengan negeri-negeri mengenai perkara ini. Jadi entiti di peringkat Persekutuan yang menjalankan fungsi ini.

4 Akta Bank Islam 1983 (Akta 276)

5 Akta Percetakan Teks al-Quran 1986 (Akta 326)

 

PENGGUNAAN DANA AWAM

Jika meneliti peruntukan Perkara 12(2) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan bahawa dana awam boleh digunakan bagi pembangunan agama Islam. Dana awam daripada Kerajaan Persekutuan adalah sah digunakan oleh Kerajaan bagi maksud tersebut.

Persoalannya:

* Bagaimanakah dana tersebut hendak diuruskan, bagaimana ia mahu digunakan dan siapa yang akan memantaunya?

Jawapannya:

Sebab itulah Jakim diletakkan terus di bawah Jabatan Perdana Menteri dan berada di bawah seliaan Menteri di Jabatan Perdana Menteri. Adalah mustahil dana tersebut digunakan secara semberono dengan terus disalurkan kepada negeri. Jakim merupakan pengurus kepada dana tersebut bagi memberi erti kepada Perkara 12(2) Perlembagaan Persekutuan tersebut.

Oleh yang demikian, saya tidak nampak bagaimana dikatakan Jakim itu tidak berperlembagaan. Situasi akan berbeza sekiranya Jakim bertindak dalam perlaksanaan undang-undang jenayah syariah di luar Wilayah-Wilayah Persekutuan umpamanya kerana ia adalah bidang kuasa negeri. Sehingga hari ini tiada sebarang campur tangan Jakim terhadap bidang kuasa negeri-negeri.

Dalam sebuah negara yang mengamalkan prinsip federalisme dan terdapat dua badan perundangan iaitu Persekutuan dan negeri. Hubungan antara kedua badan perundangan ini mestilah akrab dan saling lengkap melengkapi bukan bersaing antara satu sama lain.

Bagi maksud ini, Jakim memainkan peranan penting bagi menyelaraskan pelbagai isu melalui pelbagai jawatankuasa antaranya Jawatankuasa Muzakarah Fatwa Kebangsaan, Jawatankuasa Teknikal Undang-Undang Syarak/Sivil, Lembaga Penasihat Penyelarasan Pelajaran dan Pendidikan Agama Islam dan banyak lagi tanpa mengambil kuasa negeri-negeri.

Dalam hal di atas, saya tidak nampak apa-apa perkara yang boleh menggugat keabsahan penubuhan Jakim atau mana-mana entiti Persekutuan selagi mana ia tidak mengambil kuasa negeri.

Penubuhan Jakim yang bermula dengan Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Islam (MKI) (1968) oleh Majlis Raja-Raja dan kemudiannya menjadi Bahagian Hal Ehwal Islam (Baheis) (1974) di Jabatan Perdana Menteri sebelum dinaiktaraf menjadi Jakim pada 1 Januari 1997 menjadi platform dalam memenuhi keperluan masyarakat Islam.

 

Jakim

* Tidak mempunyai kuasa perundangan sama ada mengambil tindakan atas kesalahan jenayah syariah atau apa-apa kuasa negeri yang lain.

* Sehingga kini, langsung tiada sebarang campur tangan Jakim terhadap bidang kuasa negeri-negeri.

* Sekadar badan menyelaras dan menyeragamkan pengamalan Islam antara negeri-negeri.

* Bagaimanapun bukan semua perkara berkaitan Islam terletak 100 peratus di bawah bidang kuasa negeri, antaranya:

* Akta Perubatan Tradisional dan Komplementari 2016 (Akta 775)

* Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Akta 301)

* Akta Tabung Haji 1995 (Akta 535)

* Akta Bank Islam 1983 (Akta 276)

* Akta Percetakan Teks al-Quran 1986 (Akta 326)

* Jakim adalah pengurus dana awam bagi pembangunan agama Islam berdasarkan peruntukan Perkara 12(2) Perlembagaan Persekutuan