Sememangnya Lina tidak mahu mengaibkan sesiapa. Berdiam diri lebih baik daripada terpaksa menjelaskan keadaan sebenar. Apa yang berlaku dalam rumah tanggaanya, tiada siapa yang boleh tahu. Hanya dia dan bekas suami mengetahui hakikat sebenar punca runtuhnya mahligai yang dibina 25 tahun lalu!

Ia bukan satu jangka masa yang pendek. Jangka masa itu sebenarnya membuatkan Lina tidak mampu untuk meneruskannya. Biarlah… sekalipun sayang dengan mahligai perkahwinan yang dibina, namun sampai bila dia harus beralah?

Suami? Dia tidak pernah berubah. Puas dinasihati, dibantu, didorong dan pelbagai lagi diusahakan Lina agar suami mencari nafkah untuk keluarga. Namun semuanya gagal. Suami lebih senang menjadi ‘sura rumah’. Makan minumnya ditanggung dan keperluannya juga dibelikan.

Lina penat. Anak-anak yang membesar sememangnya memerhatikan tingkah laku papa mereka. Namun mereka tak mampu bersuara. Cuma sesekali si anak meluahkan rasa simpati kepada si ibu.

“Kesian mama. Demi kami, mama kena kerja keras. Makan minum kami, mama kena fikirkan. Tapi kami tak mahu mama dan papa berpisah”. Itu luahan hati anak-anak. Sekalipun masih pada usia setahun jagung, mereka bijak untuk menilai. Dan demi permintaan anak-anak, perkahwinan mereka berdua terus bertahan.

Kini semuanya sudah meningkat dewasa. Paling membanggakan, anak-anak yang dibesarkan dengan titik peluh dan keringatnya tidak pernah menghampakannya. Semuanya berjaya melangkahkan kaki ke menara gading.

Suatu hari Lina membuat keputusan untuk bercerai.Anak-anak? Masing-masing tidak membantah kerana mereka tahu mama mereka telah lama bersabar. Untuk berlaku adil, biarlah mama membuat keputusan hidupnya.

Dua tahun berlalu. Lina senang dengan kehidupan yang dilaluinya dengan status baharunya, janda! Tapi siapa sangka, dalam diam ada orang yang meminati dirinya. Besannya sendiri! Inilah yang dikatakan jodoh. Semuanya telah ditentukan Allah SWT. Anak-anak mendesak agar si mama menerima lamaran tersebut. Lina tidak upaya menolak. Kalau dulu besan, kini sudah menjadi suami!

Malangnya, perkahwinan inilah yang menjadi buah mulut orang. Perceraian dengan bekas suami dikatakan berpunca daripada kecurangan Lina dengan besannya sendiri. Mana tidaknya, besannya itu seorang usahawan berjaya.

Tapi, apa yang mampu dia katakan. Adakah dia perlu membuka aib bekas suami yang tidak menyumbang apa-apa dalam membina keluarga mereka selama ini. Dalam nikmat yang Allah limpahkan, ada dugaan yang Allah berikan untuk menguji diri.

 

TIP KAUNSELOR

1. Sebagai hamba Allah yang beriman, perlu yakin bahawa setiap ujian itu mempunyai hikmah. Firman Allah SWT bermaksud: “Tidak ada kesusahan (atau bala bencana) yang menimpa (seseorang) melainkan dengan izin Allah; dan sesiapa yang beriman kepada Allah, Allah akan memimpin hatinya (untuk menerima apa yang telah berlaku itu dengan tenang dan sabar); dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu,” (at-Taghaabun: 11).

2. Sebagai Muslim, menjaga aib antara satu sama lain adalah sesuatu yang dituntut. Apatah lagi sebagai seorang isteri. Perlu dimaklumi, buruk bagaimana pun sikap suami, ia hanya berhak didedahkan di hadapan seseorang yang boleh menjaga amanah.

3. Isteri juga berhak mengadu kepada pihak berkuasa atau orang yang mempunyai autoriti untuk mendengar aduan.

4. Apa yang berlaku dalam rumah tangga, menjadi tanggungjawab pasangan untuk saling menjaga aib pasangannya. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang menutup aib seorang Muslim, maka Allah akan menutup aibnya di dunia dan akhirat,” – Riwayat Muslim.

5. Suami adalah ketua bagi keluarga yang dibina, sekali gus tanggungjawab memberi nafkah dan memberi perlindungan adalah tanggungjawabnya. Isteri pula hanya membantu. Justeru, jangan sesekali meletakkan tanggungjawab nafkah kepada isteri atau kepada orang lain.