Pengarah Bahagian Hab Halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Dr. Sirajuddin Suhaimee berkata, pihaknya sentiasa mengambil langkah memantapkan persijilan halal di negara ini termasuk pembaharuan Sijil Pengesahan Halal secara dalam talian.

Katanya, memikul tanggungjawab besar kepada masyarakat Islam dan menjayakan agenda negara sebagai hab halal serantau, Jakim berusaha memastikan proses pemantauan serta penguatkuasaan berjalan dengan sempurna menerusi pemantapan integriti dalam kalangan petugas.

“Dalam melaksanakan tanggungjawab besar ini, Jakim sepenuhnya berusaha memastikan umat Islam mendapat hak iaitu makanan halal dan memastikan garis panduan yang ditetapkan dipatuhi pemain industri.

“Untuk itu, Jakim telah menetapkan garis panduan teratur dan sempurna melibatkan sebanyak 13 ketetapan yang harus dipatuhi termasuk ketetapan dalam proses persijilan halal,” katanya ketika membentangkan kertas kerja bertajuk Sinergi Jakim dan Universiti Dalam Membangunkan Ekosistem Halal Negara.

Pembentangan kertas kerja itu bersempena penganjuran Program Cakna Halal: Pemerkasaan Ekosistem Halal Negara yang dianjurkan oleh Majlis Profesor Negara (MPN) bersama rakan strategik termasuk Jakim dan beberapa institusi pengajian tinggi, baru-baru ini.

Majlis perasmian Program Cakna Halal itu disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif MPN, Prof. Datuk Dr. Raduan Che Rose.

Yang turut hadir Naib Canselor Universiti Sains Islam Malaysia, Prof. Datuk Dr. Musa Ahmad bagi membentangkan kertas kerja bertajuk Hala Tuju Universiti Dalam Memperkasa Agenda Halal Negara.

Mengulas lanjut, Sirajuddin berkata, meskipun pada permulaan pihaknya berhadapan pelbagai masalah dan rintangan termasuk kekurangan petugas untuk mengendalikan pelbagai 1,001 permasalahan yang timbul dalam kalangan masyarakat, namun atas berkat kesungguhan dalam mencari ruang dan peluang, segala cabaran berjaya dihadapi dengan baik.

Menurutnya, satu persatu langkah pemantapan berjaya diterjemahkan dengan sempurna, sekali gus memenuhi permintaan masyarakat pada peringkat akar umbi termasuk menyediakan laman web halal Jakim kepada orang ramai sebagai rujukan jika berhadapan masalah keraguan status halal.


KESEDARAN HALAL MENINGKAT

Tambah Sirajuddin, reaksi positif orang ramai termasuk melakukan tular terhadap sesuatu produk yang diragui halal atau tidak memenuhi piawaian tahap kebersihan di laman sosial menunjukkan tahap kesedaran mereka terhadap hak pengguna.

“Jakim turut menggiatkan usaha memberi kesedaran dalam kalangan pemain industri untuk mendapatkan persijilan status halal, bukan sahaja dapat meningkatkan hasil jualan malah memberi kelebihan melebarkan sayap ke pasaran luar,” katanya.

Jelasnya, kebanyakan negara luar mahukan status persijilan halal untuk berada pada produk yang ingin dipasarkan di negara mereka kerana meyakini ketelusan terhadap logo halal Jakim.

Untuk itu katanya, menjadi satu kelebihan buat syarikat tempatan mempunyai logo halal Jakim apabila mahu mendapat tempat di pasaran luar yang telah mengakui jaminan halal, keselamatan dan kebersihan menerusi status halal Jakim.

“Masyarakat juga boleh membantu Jakim dalam meningkatkan jumlah pemain industri untuk mendapatkan status logo halal menerusi kuasa pengguna.

“Ini kerana kuasa pengguna boleh mempengaruhi sesebuah syarikat untuk mendapatkan sijil halal kerana pengguna mempunyai kuasa membeli.

“Jika digunakan sebaiknya, perkara tersebut boleh mendorong syarikat yang belum mempunyai sijil halal untuk memilikinya,” katanya.