Orang yang istiqamah akidahnya tetap bernafas dengan tauhid. Walau apa yang datang melanda, Tuhannya hanya Allah. Akhlak sentiasa dijaga agar dirinya menjadi cermin Islam kepada yang lain. Amal solehnya juga konsisten walaupun tidak banyak. Dia tahu amal yang sedikit tetapi konsisten lebih baik daripada amalan bertimbun tetapi bermusim.

Sabda Rasulullah SAW ini dipegang dengan teguh: ”Aisyah r.a. menceritakan bahawa Rasulullah SAW pernah ditanya apakah amalan yang paling dicintai Allah? Baginda menjawab: Amalan yang berterusan dilakukan walaupun sedikit jumlahnya,” - Sahih Bukhari dan Sahih Muslim.


BUKAN SEKADAR HIASAN


Arahan istiqamah bukan calang-calang! Ia ditegaskan khusus oleh Allah dalam al-Quran. Pastinya ayat yang mengarahkan istiqamah bukan untuk menjadi hiasan dinding tetapi perlu dipasak ke dalam hati:
“Oleh itu, hendaklah engkau (wahai Muhammad) sentiasa tetap teguh di atas jalan yang betul sebagaimana yang diperintahkan kepadamu, dan hendaklah orang yang rujuk kembali kepada kebenaran mengikutmu berbuat demikian; dan janganlah kamu melampaui batas hukum Allah; sesungguhnya Allah Maha Melihat akan apa yang kamu kerjakan,” (Hud[11:112]).

Rasulullah SAW pun beruban apabila mengenangkan surah Hud: “(Isi kandungan) surah Hud, al-Waqiah, al-Mursalat, al-Naba’ dan al-Takwir menyebabkan aku beruban,” - Sunan Tirmizi.

Mengapa sampai beruban? Ia adalah kiasan kepada betapa beratnya isi kandungan semua surah tersebut. Menurut Abdullah Ibn ‘Abbas, ayat yang mengarahkan Baginda agar sentiasa istiqamah itu sangat sukar dilaksanakan sehingga seakan ia memutihkan kepala Baginda SAW (Tafsir al-Razi).

Dalam sebuah hadis Rasulullah SAW berpesan kepada sahabatnya agar turut istiqamah dalam beriman kepada Allah:

“Seorang lelaki berkata: Wahai Rasulullah beritahu padaku suatu perkara dalam Islam (yang cukup untukku bertanya padamu) tanpa aku perlu bertanya sesiapapun selepasmu. Rasulullah menjawab: Sebutlah aku beriman kepada Allah, kemudian berpegang teguhlah (dengannya),” - Musnad Ahmad.

Bukan setakat Rasulullah SAW, Nabi Musa dan Harun a.s. turut diarahkan agar istiqamah dalam perjuangan mereka menentang kezaliman Firaun:

Allah berfirman: “Sesungguhnya telah dikabulkan doa kamu berdua, oleh itu hendaklah kamu tetap (menjalankan perintah-Ku seterusnya)”, dan janganlah kamu menurut jalan orang yang tidak mengetahui (peraturan janji-Ku),” (Yunus [10:89]).


ELAK SEMPITKAN PENGERTIAN


Dalam memahami tuntutan istiqamah, kita tidak seharusnya mengurung maknanya dalam kepompong kecil sahaja. Jangan ingat tuntutan istiqamah hanya berlegar dalam kandang politik, sosial, ekonomi atau penghayatan sunah sahaja. Kita perlu pancarkan makna istiqamah secara menyeluruh seiring dengan sifat Islam yang syumul. Tuntutan istiqamah perlu meliputi segala perkara dan ruang hidup manusia.

  • Jika ada hafiz al-Quran yang istiqamah mengulang kaji hafazan tetapi gagal memahami atau menghayati ayat yang saban hari dibacanya, dia belum benar-benar istiqamah.
  • Jika ada pejuang politik Islam, pejuang akidah atau pejuang amalan sunah Rasulullah SAW yang istiqamah dalam medan masing-masing tetapi gagal istiqamah dengan akhlak ketika berselisih pandangan, mereka belum benar-benar istiqamah.
  • Kesimpulannya, seruan fastaqim atau tetaplah istiqamah dalam ayat 112 Surah Hud terdahulu perlu merangkumi seluruh isi Islam merangkumi akidah, syariat dan akhlak.

Jika kita pernah terbabas daripada landasan istiqamah yang sebenar, usahlah bimbang kerana manusia tidak terlepas daripada kesilapan. Apa yang penting, perlu sentiasa memperbaharui istiqamah seiring dengan istighfar kepada Allah sebagaimana firman-Nya:

“Katakanlah (wahai Muhammad): “Sesungguhnya aku hanyalah seorang manusia seperti kamu; diwahyukan kepadaku bahawa Tuhan kamu hanyalah Tuhan yang Satu; maka hendaklah kamu tetap teguh di atas jalan yang betul lurus (yang membawa kepada mencapai keredaan-Nya), serta pohonlah kepada-Nya mengampuni (dosa kamu yang telah lalu). Dan (ingatlah), kecelakaan besar bagi orang yang mempersekutukan-Nya (dengan sesuatu yang lain),” (Fussilat [41:6]).

Allah itu Maha Adil. Walau istiqamah sangat sukar dilakukan, namun tuaiannya sangat manis. Ia sudah mula dirasai oleh para pejuang semasa di dunia, setelah melangkah ke alam barzakh dan setelah bangkit di akhirat kelak (Tafsir Ibn Kathir):

“Sesungguhnya orang yang menegaskan keyakinannya dengan berkata: “Tuhan kami ialah Allah”, kemudian mereka tetap teguh di atas jalan yang betul, akan turunlah malaikat kepada mereka dari semasa ke semasa (dengan memberi ilham): “Janganlah kamu bimbang (daripada berlakunya kejadian yang tidak baik terhadap kamu) dan janganlah kamu berdukacita, dan terimalah berita gembira bahawa kamu akan beroleh syurga yang telah dijanjikan kepada kamu,” (Fussilat [41:30]).

Marilah kita sama-sama menyingsing lengan, melipat kaki seluar dan mengatur langkah dengan gigih agar mampu terus istiqamah dalam memenuhi tuntutan agama.

Agama adalah pakaian insan yang tidak boleh ditanggalkan sehingga mati. Meninggalkan istiqamah dalam sebahagian sudut agama boleh diumpamakan seperti seorang manusia berbaju tanpa seluar, atau berseluar tanpa baju, atau lengkap berbaju dan berseluar tetapi sebelah lengan bajunya hilang, atau lengkap berpakaian tetapi kasutnya hilang sebelah. Pandangan ini nampak sangat janggal dan pelik. Jauhi kejanggalan ini dan kekallah istiqamah dengan ajaran Islam secara syumul.