Pada sekitar pemerintahan Shah Abbas iaitu pada 1587 – 1629, baginda telah membina sebuah kompleks istana yang besar di pusat pemerintahan baharu ketika itu. Pusat pemerintahan Dinasti Safavid telah ditukar dari Tabriz ke Qazvin yang terletak di Isfahan.

UNIK, LUAR BIASA

Kompleks istana yang dibina oleh baginda dikatakan agak luar biasa kerana tidak seperti istana pemerintah Islam lain yang terletak dalam lingkaran tembok keselamatan. Tanpa tembok yang menjadi sempadan antara pemerintah dan rakyat, maka rakyat boleh masuk ke istana tanpa protokol yang biasa terdapat di istana pemerintah lain. Kompleks Istana Safavid ini mempunyai beberapa bahagian berasingan yang terletak berhampiran di sekeliling sebuah dataran yang boleh dimasuki oleh orang awam.

Ali Qapu dikatakan bermaksud keagungan dalam bahasa Parsi. Fungsi utama Ali Qapu ialah sebagai satu daripada empat pintu masuk ke kawasan istana. Walaupun merupakan pintu masuk namun ia sendiri adalah satu bangunan enam tingkat pada asalnya yang kemudian ditambah dengan satu lagi ruang terbuka di bahagian atas.

Ia mempunyai pelbagai ruang bersesuaian dengan fungsinya sebagai sebuah istana pemerintah yang digunakan untuk majlis sambutan diraja dan empayar. Seni binanya dianggap sebagai sebuah bangunan yang penuh dengan ciri-ciri unik dari segi teknikal dan hiasan.

Antara medium hiasan yang digunakan di Istana Ali Qapu ini ialah seni lukis dan seni ukir. Setiap tingkat dalam bangunan Ali Qapu mempunyai ciri hiasan tersendiri yang berbeza dengan tingkat di bawahnya. Sebagai sebuah tempat bagi majlis diraja pada waktu itu, kemewahan hiasan ini menjadi satu daya tarikan dan status.

Juru hias dalaman Ali Qapu sewaktu pembinaannya ialah seorang pelukis terkenal di zaman tersebut iaitu Reza Abbasi dan anak-anak murid beliau. Satu bahagian istana yang menjadi kekaguman ramai ialah dewan muzik istana. Ia adalah satu ruang luas yang terletak di bahagian tengah di tingkat paling atas, tingkat enam.

Dewan muzik ini dilengkapi dengan seni bina bersifat akustik yang bersesuaian dengan fungsinya. Terletak di ruang terbuka yang diterangi cahaya semula jadi ketika hari siang mahupun malam, ruang ini dapat menjalinkan alam dan muzik dalam sesuatu majlis. Ukiran tebuk ‘stucco’ berbentuk alat muzik, barangan seramik dan tembikar Safavid yang menjadi lapisan hiasan dalam bahagian kubahnya adalah sangat unik dan belum pernah digunakan di tempat lain pada waktu itu.

Namun begitu, sebelum pertengahan abad ke-17 Masihi, kegemilangan dan peranan Istana Ali Qapu semakin pudar kerana pemerintah Dinasti Safavid selepas Shah Abbas telah membina istana lain yang mengambil alih peranan Istana Ali Qapu sebagai pusat pemerintahan Safavid. Istana ini masih lagi berdiri teguh sehingga ke hari ini sebagai satu warisan seni bina Islam di Iran.

  • Ali Qapu bermaksud keagungan dalam bahasa Parsi.
  • Luar biasa seni binanya berbanding dengan istana pemerintah lain
  • Istana lain dibina dalam lingkaran tembok keselamatan
  • Istana ini dibina tanpa tembok, sekali gus membolehkan rakyat masuk ke istana tanpa protokol
  • Antara medium hiasan yang digunakan ialah seni lukis dan seni ukir.
  • Setiap tingkat dalam istana mempunyai ciri hiasan berbeza antara satu dengan lain.