Tamak harta dunia dan tiada sifat kasih sayang dalam diri ternyata memudahkan lagi tugas musuh Islam ‘memanfaatkan’ golongan muda Islam yang tidak mempunyai pegangan agama kukuh untuk dilatih menjadi pengganas.

Lebih menyedihkan, kumpulan pengganas yang dilatih oleh musuh Islam itu dijadikan boneka oleh kumpulan tersebut untuk menyerang dan memecah belah masyarakat Islam di seluruh dunia menerusi peperangan yang disifatkan sebagai syahid tetapi sebaliknya.

Begitu mudah generasi muda yang dimanipulasikan, sekali gus memberi gambaran buruk terhadap Islam seterusnya meningkatkan golongan Islamofobia terutama dalam masyarakat Barat.

Perkara itu diakui Presiden Lembaga Ahli Ulama dan Mashaikh Seluruh India (AIUMB), Syed Mohammad Ashraf Kichhouchhwi yang menegaskan bahawa kekosongan jiwa, ketamakan harta dunia dan kedangkalan ilmu agama menjadikan generasi muda Islam mudah dimanipulasi.

Beliau yang mempunyai kepakaran dalam bidang menentang keganasan berkata, ketaksuban melampau dengan fahaman salah dilihat telah mendorong anak muda Islam memilih jalan songsang untuk berjihad terutama menerusi keganasan dan berperang, hatta melakukan serangan ke atas umat Islam lain.

Katanya, menerusi fahaman atau ajaran salah yang diterima oleh golongan muda Islam, mereka kemudiannya direkrut oleh dalang untuk menjadi kumpulan tentera dengan memperjuang keganasan.

“Mereka (generasi muda Islam) tidak berjuang untuk Islam, sebaliknya diperguna demi kepentingan politik negara Barat. Duit dan kuasa dijadikan umpan oleh kuasa Barat.

“Malah kerana pengetahuan yang begitu cetek dalam agama, mereka mudah dimanipulasi dan dijadikan alat oleh musuh Islam untuk menghancurkan Islam itu sendiri,” katanya yang ditemui Mega Mimbar sempena lawatan kerja ke Malaysia, baru-baru ini.

Syed Mohammad Ashraf hadir ke negara ini bagi membincangkan penganjuran Persidangan Antarabangsa Ahli Sufi dan Kemanusiaan yang dijangka berlangsung di Delhi, India pada 12 Disember depan.

Penganjuran persidangan antarabangsa tersebut bakal melibatkan kerjasama wakil dari Malaysia iaitu World Syahadah Council (WSC).

TINGKAT KEFAHAMAN ISLAM

Mengulas lanjut, ahli sufi terkenal dari India itu berkata, penganjuran majlis ilmu perlu disertai anak-anak muda Islam untuk meningkatkan kefahaman tentang ajaran Islam sebenar, selain dada-dada umat Islam dipenuhi dengan kasih sayang dan zikir kepada Allah SWT.

Menurutnya, perkara tersebut adalah benteng terbaik untuk menghindarkan umat Islam daripada terjerumus dalam perkara batil dan fahaman salah.

Sehubungan itu, katanya, penganjuran persidangan antarabangsa yang bakal dianjurkan di Delhi pada hujung tahun ini dilihat mampu menjadi landasan terbaik dalam membentuk kefahaman sebenar tentang ajaran Islam, sekali gus menyatukan seluruh umat Islam dari serata dunia.

Jelasnya, berada di bawah satu payung iaitu kalimah syahadah, kesatuan utuh mampu dibentuk seterusnya merencana pembangunan akidah dan kemajuan negara-negara Islam.

Untuk itu katanya, semua Islam harus mengetepikan pegangan fahaman atau mazhab, sebaliknya terus bersatu di bawah kalimah yang satu.

“Lebih daripada 20 buah negara akan menghantar wakil ke persidangan antarabangsa ini bagi mengikuti pelbagai pembentangan kertas kerja, seminar dan dialog yang akan dilaksanakan. Semoga penganjuran ini akan menjadi titik tolak kepada pembangunan ummah yang lebih baik dan menyumbang kepada kecintaan yang lebih besar kepada Allah dan Rasul, seterusnya memberi manfaat kepada komuniti yang lebih besar di luar sana,” katanya.