Asasnya, al-Quran merakamkan pengertian bukan Muslim sebagai golongan yang tidak menganut agama Islam, ia tidak mengarah pada suatu kelompok sahaja, tetapi mencakupi lima kelompok seperti yang terdapat dalam Surah al-Hajj, ayat 17 dan Surah al-Jaasiyah ayat 24 iaitu :

- al-Sabiun: mempercayai kuasa alam semesta.

- al-Majus: menyembah api, tuhan cahaya, tuhan gelap.

- al-Musyrikun: mengakui adanya tuhan tetapi menyekutukannya dengan penyembahan berhala, matahari.

- al-Dahriyah: tidak mengakui alam semesta ini ada yang mengaturnya, alam wujud dengan sendiri, dikenali sebagai golongan atheis.

- ahli kitab: Penganut agama samawi seperti Yahudi dan Nasrani, ahli zimmah - komuniti Yahudi atau Nasrani menetap di wilayah Islam dan mendapat perlindungan pemerintah Muslim.

KEADILAN SEJAGAT ISLAM

Nilai persamaan, toleransi, keadilan dan persaudaraan sejagat merupakan prinsip utama membina hubungan sesama manusia tanpa sebarang perbezaan. Dalam hubungan ini, al-Quran merakamkan antaranya:

- Larangan mencela tuhan orang kafir (surah al-An’am: 108).

- Menghormati ibadah, tempat ibadah orang bukan Islam (Surah al-Baqarah: 139, al-Qasas:55, al-Syura: 15, al-Kafirun: 1-6, al-Hajj: 40).

- Larangan berdebat dengan ahli kitab kecuali dengan cara berhikmah (Surah al-Ankabut: 46).

- Mengiktiraf kemuliaan setiap manusia tanpa mengira etnik (Surah al-Hujurat: 13).

- Kebebasan membuat pilihan sama ada untuk beriman atau sebaliknya (Surah Yunus: 99).

- Keadilan kepada semua mengikut undang-undang (Surah an-Nisaa’: 58).

- Perbezaan etnik bukan alasan untuk menafikan hak (Surah al-Maaidah: 8).

- Kelonggaran kepada Muslim menjalin hubungan dengan bukan Muslim selagi tidak memusuhi Islam (Surah al-Mumtahanah: 8).

- Kebebasan beragama, penjelasan bahawa agama di sisi Allah ialah Islam (Surah al-Baqarah: 256).

- Menghormati peribadi orang lain, larangan mencemuh, mengutuk, memanggil dengan panggilan tidak disukai (Surah al-Hujurat: 11).

TIADA KONFLIK AGAMA

Sunah merakamkan tidak pernah terjadi sebarang konflik berbau agama antara Muslim dengan bukan Muslim:

- Rasulullah mengupah Abdullah Ibn Uraiqit, seorang kafir sebagai penunjuk jalan ketika berhijrah ke Madinah.

- Rasulullah mengambil pembantu orang Yahudi:

“Daripada Anas r.a.: Ada seorang Yahudi pembantu Rasulullah SAW sakit, lalu baginda menjenguknya dan duduk di samping kepalanya, kemudian baginda bersabda: Masuklah Islam kamu!, kemudian dia memandang wajah ayahnya yang duduk di samping. Kemudian ayahnya berkata : Ikuti Abu al-Qasim (Rasulullah), maka dia masuk Islam . Rasulullah beredar sambil berkata : Segala puji bagi Allah yang telah menyelamatkannya daripada neraka,” - Riwayat Bukhari.

- Rasulullah bekerjasama dengan orang Yahudi mengusahakan kebun:

“Daripada Nafi’ daripada Abdullah r.a. berkata: Rasulullah SAW memberikan tanah Khaibar kepada orang Yahudi untuk diusahakan, diberikan kepada mereka separuh daripada hasilnya,”- Riwayat Bukhari.

- Rasulullah menjalankan interaksi sosial yang baik:

“Daripada Aisyah r.a. berkata: Rasulullah SAW ada membeli makanan daripada seorang Yahudi dengan menggadaikan baju besi baginda,” - Riwayat Bukhari dan Muslim.

Sirah turut merakamkan:

- Sahifah Madinah sebagai perlembagaan negara Madinah dan sekitarnya menjamin kebebasan beragama kepada bukan Muslim selagi memberi kesetiaan terhadap perjanjian tersebut.

- Surat Rasulullah dan kemudiannya oleh Khalifah Abu Bakar r.a. kepada penduduk Najran yang majoritinya kaum Nasrani memberi kebebasan mengamalkan agama masing-masing.

- Jaminan keselamatan penduduk bukan Islam oleh Khalifah Umar al-Khattab r.a. apabila kota Baitulmaqdis dibuka pada tahun 637M.

- Terdapat sumber rujukan orang Yahudi Syria ‘menunggu dengan sabar’ ketibaan tentera Muslimin kerana menderita bawah pentadbiran zalim Rom Timur (Kristian) pada abad kelima, keenam dan awal abad ketujuh Masihi.

- Terdapat rekod menyatakan respons Yahudi terhadap pembukaan pertama Muslim ke atas Baitulmaqdis ‘disifatkan sebagai positif’ kerana menyingkirkan pentadbiran Rom Timur, membebaskan Yahudi daripada penindasan.

- Terdapat beberapa sumber lain menyatakan orang Yahudi mengalu-alukan kedatangan tentera Muslimin dan membantu ketika pembukaan Syria, sekumpulan Yahudi menyertai tentera Muslim ketika pengepungan Baitulmaqdis.

Islam tidak memerintahkan umatnya memerangi pihak yang tidak menerima dakwah. Jika mereka terus berbaik-baik dengan orang Islam, tanggungjawab mereka sama seperti hak umat Islam yang lain.

Golongan memusuhi Islam wujud sepanjang zaman dan mereka tidak akan membiarkan dakwah Islam berkembang. Malah, ada yang mengusir umat Islam dari tanah air mereka sendiri seperti di Palestin. Hanya orang yang memerangi Islam dan umatnya serta golongan yang menghalang usaha dakwah sahaja yang diperintah untuk diperangi.

Firman Allah: “Muhammad itu Rasulullah dan orang yang bersamanya bersikap keras terhadap orang kafir, sebaliknya berkasih sayang sesama sendiri. Engkau melihat mereka rukuk dan sujud, mengharap limpah kurnia daripada Tuhan mereka serta keredaan-Nya,” (Surah al-Fath : 29).

Islam mengiktiraf umat manusia berbangsa-bangsa dan tidak semuanya seagama. Kepelbagaian adalah satu fitrah. Ia tidak boleh diubah dengan memaksa mereka memeluk Islam. Kesedaran seseorang insan memeluk Islam ialah kerana hidayah Allah SWT.