Tidak keterlaluan jika dikatakan Islam bukan sekadar agama tetapi adalah suatu kultur atau budaya yang mana segala tindak tanduk umatnya diberikan panduan. Panduan itu dibuat demi kebaikan umat Islam itu sendiri.

Ia dapat dilihat dengan jelas apabila Islam bukan sahaja menitik beratkan urusan ritual semata-mata tetapi perkara-perkara fizikal juga diberikan panduan yang sempurna. Malah apabila dikaji sepenuhnya dengan kajian saintifik terbukti terdapat pelbagai manfaat dari sudut fizikal.

Sebab itulah agama Islam yang merupakan suatu cara hidup menekankan banyak aspek kesopanan dan akhlak. Ia bukan sahaja akan dilihat baik pada neraca sosial tetapi dari sudut kesihatan juga membawa kebaikan yang besar.

BERSIFAT SYUMUL

Saya pernah berdiskusi dengan beberapa rakan bukan Islam yang mempersoalkan kenapa terdapat terlalu banyak panduan dalam agama Islam sehingga seolah-olah umat Islam ini tidak langsung mempunyai hak dalam menentukan kehidupannya. Umat Islam dikatakan dikongkong dengan pelbagai peraturan sedangkan sebagai makhluk yang cerdik manusia perlu diberikan kebebasan sepenuhnya.

Memang ketika ini terdapat ramai yang teruja dengan kemampuan logik akal. Golongan ini mendambakan kebebasan penuh kerana percaya mereka adalah golongan yang cerdik dan perlu diberi kepercayaan untuk menentukan hala tuju untuk diri mereka. Namun golongan ini alpa kemampuan akal manusia adalah terhad dan tidak menyeluruh.

Hal ini terbukti apabila setiap hari ada penemuan baharu berkaitan apa sahaja yang memperbetulkan kesilapan penemuan silam. Jika panduan daripada Yang Maha Berkuasa dan Yang Maha Mengetahui pun dipinggirkan apakah jaminan logik akal manusia ini betul pada setiap waktu.

Umpamanya perkara sekecil memasuki tandas pun Islam menetapkan kaedah terbaik seperti berdoa, memasuki tandas dengan kaki kiri dan menutup kepala. Saya sendiri pernah ditertawakan apabila memberitahu rakan-rakan saya tentang adab memasuki tandas ini.

Tetapi ketawa mereka ini terhenti apabila diterangkan:

  • Sifat kaki kiri itu adalah menarik ke belakang dan sifat kaki kanan pula menolak ke hadapan.
  • Jika seseorang memasuki tandas dengan kaki kiri, kaki itu akan menarik ke belakang jika tergelincir menyebabkannya dapat mengimbangi badannya dan tidak terus jatuh.
  • Tetapi jika orang tersebut menggunakan kaki kanan memasuki tandas, kaki kanan tersebut akan terus menolak ke hadapan dan menyebabkannya mungkin terjatuh.

HIKMAH TERSIRAT

Nampaknya ketika ini manusia lebih mahu penjelasan dan justifikasi berbanding dengan dikemukakan dalil-dalil daripada nas al-Quran dan Hadis. Namun hakikatnya orang sebegini tidak melihat suruhan Allah dan Rasul-Nya itu mempunyai kebaikan yang mungkin tersurat atau tersirat.

Sebab itulah dalam Islam terdapat pelbagai adab yang dianjurkan. Semuanya untuk kebaikan manusia dan alam sejagat. Cuma kemampuan akal yang terhad menyebabkan sebahagian manusia masih mempersoalkannya. Sebahagian lagi terlalu ego mahukan kebebasan mutlak sedangkan segala nikmat yang diberikan Allah itu langsung tidak diendahkan.

Allah memberi kebebasan kepada manusia dalam ruang lingkup yang dibenarkan. Apa yang tidak dibenarkan mempunyai implikasi negatif yang mana Allah mahu hindarkan daripada manusia. Itulah sebabnya Islam diturunkan untuk memberi rahmat kepada sekalian alam.

Islam tidak sekadar ritual sahaja tetapi adalah suatu kultur budaya yang mesti dipertahankan untuk manfaat manusia dan alam itu sendiri. Islam perlu difahami dalam maknanya sendiri bukan diberikan analogi dengan agama-agama lain yang menumpukan aspek ritual dan kerohanian semata-mata. Islam adalah suatu cara hidup yang penuh dengan panduan berdasarkan al-Quran dan Sunah yang merupakan manual besar gaya hidup bagi umat Islam.

Contoh lain pula seperti di alam akhirat nanti setiap anggota tubuh manusia akan saling mendedahkan rahsia diri yang selama ini tidak pernah diketahui oleh sesiapapun seperti firman Allah SWT:

“Pada hari ini (Hari Kiamat), Kami tutup mulut kamu; dan berkatalah kepada Kami tangan mereka dan kaki mereka memberi kesaksian terhadap apa yang dilakukan oleh mereka dahulu,” (Yasin:65)

Manakala dalam Surah An-Nur, ayat 24: “Pada hari (ketika) lidah, tangan dan kaki mereka menjadi saksi atas mereka terhadap apa-apa yang dikerjakan oleh mereka dahulu.”

Selain kaki dan tangan, lidah juga akan memberi kesaksian pada hari akhirat. Lidah adalah anggota yang dianggap lebih tajam daripada pedang kerana boleh menuturkan kata-kata keji dan fitnah, mengumpat, berdusta, dan sebagainya.

Semua anggota tersebut akan berperanan sebagai saksi terhadap diri sendiri seperti dalam Surah Fussilat, ayat 21.

“Dan mereka berkata kepada kulit mereka: “ Mengapa kamu menjadi saksi terhadap kami?” Kulit mereka menjawab: “Allah yang menjadikan sesuatu pandai berkata telah menjadikan kami pandai berkata, dan Dialah yang menciptakan kamu pada kali yang pertama dan hanya kepada-Nyalah kamu dikembalikan.”

KAJIAN SAINTIFIK

Mengkaji ayat-ayat tersebut, pakar komunikasi merumuskan komunikasi paling efektif sehingga mencapai tahap 83 peratus bukanlah melalui perkataan yang diucapkan tetapi melalui komunikasi non-verbal seperti bahasa badan. Inilah sebenarnya intipati ayat-ayat di atas yang harus dikaji oleh umat Islam.

Teras asas kepada al-Quran dan Sunah ini perlu dirungkaikan oleh umat Islam bagi mengorek rahsia-rahsia dalam al-Quran dan Sunah agar orang Islam dan bukan Islam dapat memahami setiap perintah dan tegahan yang digariskan itu sebenarnya mempunyai hikmah tersendiri.

Selagi hikmah ini tidak digali kalangan orang yang masih terlalu teruja dengan kemampuan akal akan terus mempertikaikan falsafah dan perintah agama. Malah pelbagai nistaan dilakukan terhadap agama kerana mereka tidak memberikan sebarang ruang kepada agama untuk mengisi hati mereka.