Ia berkait rapat dengan lapan nilai murni iaitu jujur, benar, amanah, adil, bertanggungjawab, telus, cekap dan bijaksana seperti yang digariskan dalam Pelan Integriti Nasional (PIN) yang dilancarkan kerajaan pada 23 April 2004.

Membudayakan integriti bukanlah satu perkara mudah kerana manusia secara fitrah adalah makhluk sosial yang suka bermasyarakat dan sentiasa memiliki naluri kebendaan atau materialistik.

Atas premis itu, Imam Abu Ishak as Shatibi di dalam kitabnya, al-Muwafakat fil usuluddin wa Syariah menggariskan bahawa perlu ada undang-undang dan tadbir urus bagi menyelesaikan maslahah kehidupan manusia di muka bumi.

Maslahah ini bertujuan agar naluri dan keinginan manusia yang pelbagai dan sering berubah-ubah itu dapat dipenuhi.

Dalam hubungan ini, Islam menggariskan lima jenis hukum yang wajar diikuti umat manusia bahkan telah disepakati ulama iaitu fardu atau wajib, haram atau makruh tahrimi, makruh atau makruh tanzihi, mandub atau sunat, dan mubah atau harus.

Begitulah unik dan indahnya ajaran Islam yang menggariskan panduan hukum-hakam untuk diikuti setiap manusia berasaskan syariat yang diturunkan. Ini bertepatan dengan firman Allah SWT dalam Surah al-Jaathiyah ayat 18:

“Kemudian Kami jadikan kamu menjalankan syariat daripada hukum agama; maka turutlah ia, dan janganlah dituruti hawa nafsu orang yang tidak mengetahui.”

HALA TUJU KE ARAH LEBIH BAIK

Selaras dengan itu, Transformasi Nasional 2050 (TN50) atau dalam literal Arabnya ‘At-Tahawwul Watani’, mengungkap sebuah gagasan yang mempunyai dasar yang jelas, strategi tuntas bakal membawa Malaysia ke arah lebih dinamik, maju dan berdaya saing.

Gagasan ini adalah satu proses transisi sebuah negara kepada yang lebih baik pada masa hadapan.

Transformasi bercorak kemanusiaan ini merangkumi nilai insaniah unggul, akhlak mulia yang berpaksikan prinsip maqasid syariah di samping melaksanakan pendekatan wasatiyyah atau kesederhanaan. Pendekatan ini juga mampu menyelesaikan permasalahan masyarakat yang dibelenggu oleh isu-isu ekstremisme, radikalisme melampau dan soal integriti.

Pengurusan integriti sememangnya sangat penting kerana ia dapat menentukan jatuh bangun dan maju mundur sesebuah negara. Kehakisan nilai ini akan menyebabkan wujudnya jenayah kolar putih, gejala sosial, rasuah, diskriminasi, penindasan dan penyalahgunaan kuasa.

Kelemahan integriti yang berpunca daripada sikap mudah lupa diri akan menyumbang kepada keruntuhan nilai moral dan kecemerlangan yang dicapai.

PERLU BANGKIT SEMULA

Sedarlah, suatu ketika dahulu kita pernah menjadi satu bangsa yang kuat, berkuasa dan terkenal.

Namun, selagi masalah integriti tidak ditangani, selagi itu kita tidak akan maju dan sekadar cukup berpuas hati dengan kejayaan kecil. Manusia yang berintegriti akan memikul tanggungjawab dengan penuh amanah dalam menentukan survival ummah, organisasi dan negara terpelihara.

Firman Allah SWT dalam surah al-Ahzab ayat 72: “Sesungguhnya Kami telah kemukakan amanah kepada langit dan bumi serta gunung-ganang, maka mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakannya; dan manusia sanggup memikulnya. Sesungguhnya manusia itu amat zalim dan jahil.”

Oleh demikian, iman yang mantap sangat penting bagi memastikan nilai integriti terus membugar. Malah menghayati dan mengamalkan kehidupan berintegriti memberikan impak mendalam terhadap keseluruhan objektif yang ditetapkan sama ada untuk organisasi, negara malah untuk individu.

Kes-kes akibat pengabaian nilai integriti yang dilaporkan sejak kebelakangan ini seharusnya menyedarkan kita betapa usaha-usaha berkaitan pemupukan budaya integriti dan tadbir urus baik perlu diperhebat bagi melahirkan sebuah warga kerja yang amanah, produktif serta mempunyai pekerti mulia.

Justeru, marilah kita sama-sama berazam untuk melaksanakan tugasan yang diberikan dengan penuh amanah, berintegriti dan bertanggungjawab. Ikhlaskanlah hati dan diri kita agar segala pekerjaan kita menjadi ibadah dan mendapat keredaan Allah SWT.