Ini kerana integriti merujuk kepada tingkah laku dan akhlak mulia seperti sikap amanah, jujur, ikhlas, bertanggungjawab serta adil.

Ia selari dengan pandangan tokoh ulama, Ibn Manzur yang menyatakan bahawa, akhlak ialah cerminan kepada nilai yang terbit dalam diri dan naluri manusia.

Justeru, tidak hairanlah integriti sangat dituntut oleh agama Islam. Malah, himpunan nilai murni ini juga antara syarat yang menjadikan setiap pekerjaan dilakukan dinilai sebagai ibadat di sisi Allah SWT.

Bagi mencapai hasrat ini, langkah pertama yang perlu dilakukan ialah tazkiyah al-Nafs atau penyucian diri. Ia adalah meliputi sifat syirik dan segala penyakit hati yang merosakkan tauhid dan nilai manusiawi.

Ini kerana, apabila jiwa bersih, maka penghayatan integriti menjadi lebih mudah, sekali gus mampu menumbangkan sifat mazmumah seperti membuang masa, boros, ponteng kerja, tidak menepati janji, suka bertangguh-tangguh, menipu, rasuah, penyelewengan, salah laku dan salah guna kuasa.

Apa tidaknya, kebahagiaan seseorang Muslim banyak bergantung kepada bagaimana dia menyucikan dan membersihkan jiwa raganya. Manakala kecelakaan bagi dirinya juga terjadi bila jiwa tidak dipelihara dan dicemari perkara keji dan kotor.

Firman Allah maksudnya: “Sesungguhnya berjayalah orang yang menjadikan dirinya sedia bersih bertambah-tambah bersih. Dan sesungguhnya hampalah orang yang menjadikan dirinya susut dan terbenam kebersihannya.” (as-Syams : 9–10)

Seseorang Muslim seharusnya menyedari bahawa kekotoran jiwa bukan hanya menyebabkan manusia hilang sifat amanah dan integriti tetapi menjejaskan hubungannya dengan Allah SWT. Ini bukan sahaja mendatangkan kemurkaan-Nya, bahkan menerima azab yang sangat dahsyat.

Sejarah membuktikan perkara itu melalui kisah Firaun, Haman dan Qarun. Mereka ini antara yang rosak integritinya kerana terbelenggu dengan virus jahiliah.

Ulama terkemuka, Syeikh Muhammad Qutb dalam bukunya ‘Masyarakat Islam’ menjelaskan bahawa jahiliah mempunyai empat ciri iaitu:

  • Syirik dalam ibadah,
  • Wujud sikap menjauhi agama Allah
  • Wujud taghut (penegak kesesatan)
  • Melakukan ketidakadilan kerana mengikut hawa nafsu.

Justeru, umat Islam perlu melakukan islah dan membentuk sahsiah diri yang unggul selari dengan ajaran Islam. Ini kerana, sebaik-baik manusia ialah mereka yang suka melakukan kebaikan demi kebaikan sepanjang kehidupannya.

Sebagaimana sabda Rasulullah SAW maksudnya: “Daripada Abdul Rahman bin Abi Bakrah daripada ayahnya bahawa seorang lelaki bertanya: Wahai Rasulullah, siapakah sebaik-baik manusia. Jawab baginda: Sebaik-baik manusia ialah orang yang panjang umurnya dan bagus amalannya. Lelaki itu bertanya lagi: Siapakah pula seburuk-buruk manusia. Jawab baginda: Mereka yang panjang umurnya dan jahat pula amalannya.” - Riwayat Tirmizi