Namun, ramai kurang menyedari dalam masa sama, yayasan yang ditubuhkan pada 1984 itu mempunyai misi lebih daripada itu iaitu bagi meningkatkan martabat dan kualiti ummah menerusi budaya amal jariah.

Antara usaha yang giat diadakan adalah meningkatkan taraf pendidikan masyarakat terutama di kawasan kurang tumpuan ramai menerusi Program Inspirasi Ramadan, Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Yapeim.

Ia adalah dengan memberi tip dan teknik penting kepada pelajar bagi memfokuskan persiapan mencapai kejayaan, di samping meningkatkan kesedaran ibu bapa berhubung keperluan mencapai kecemerlangan dalam bidang akademik dan sosial bagi anak masing-masing.

Dilaksanakan sejak 2016, Yapeim terus mengambil langkah proaktif mengembangkan program tersebut dengan memberi pendedahan kepada guru-guru sekolah terpilih menerusi konsep melatih pelatih (train of trainers).

Jika sebelum ini, penekanan lebih diberikan kepada pelajar dan juga ibu bapa, tahun 2018 Yapeim memberi tumpuan dalam meningkatkan taraf pendidikan murid secara holistik melibatkan program bersama guru.

Ia dengan menganjurkan bengkel khas menggunakan modul yang dibangunkan oleh guru-guru pakar bagi memberi pendedahan tentang perubahan teknik menjawab soalan dan peluang kepada guru untuk memantapkan teknik pengajaran serta pembelajaran.

Dalam perancangan awal, bagi tahap UPSR, seramai enam guru dipilih bagi setiap sekolah dengan dua subjek pilihan iaitu Bahasa Inggeris dan Matematik. Selain itu, turut dilaksanakan program pembentukan sahsiah diri melibatkan pelajar tahap dua di sekolah rendah pada tahun ini.

Manakala bagi tahap SPM, sebanyak 20 guru akan terlibat dari setiap sekolah yang akan memfokuskan sebanyak 10 subjek iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sejarah, Pendidikan Islam, Biologi, Sains, Matematik, Matematik Tambahan, Fizik dan Kimia.

Bengkel yang dijangka bermula pada Mac hingga April ini akan berlangsung selama satu hari di setiap peringkat negeri, daerah dan sekolah terpilih.

MEMPERKASA MURID

Walaupun memperkenal konsep baharu, Yapeim masih mengekalkan penekanan yang diberikan kepada murid menerusi Program Inspirasi UPSR dan SPM.

Tempoh pelaksanaan bagi Inspirasi UPSR pada tahun ini ialah selama 16 minggu iaitu bermula pada April sehingga Ogos, manakala bagi SPM bermula Jun hingga Oktober iaitu selama 5 bulan.

Kumpulan sasar untuk program ini adalah pelajar UPSR dan SPM yang mempunyai tahap pencapaian akademik sederhana dan lemah. Bagi peringkat pelaksanaan, Yapeim akan mengadakan kelas tambahan di sekolah, selain motivasi dan program Restu Ilmu pada peringkat negeri.

Program turut dibantu oleh tenaga pengajar dalam kalangan guru pakar, guru cemerlang dan jurulatih utama.

Program Inspirasi SPM

  • Bertujuan meningkatkan pencapaian akademik murid SPM terutama dalam golongan prestasi sederhana dan lemah khususnya di luar bandar
  • Murid akan diberi tip dan teknik menjawab soalan sebelum peperiksaan tersebut berlangsung dibantu oleh guru pakar
  • Pemilihan pelajar dan sekolah dilakukan oleh pihak Pejabat Pendidikan Daerah (PPD)
  • Membabitkan sebanyak 152 PPD dan 71,847 penerima manfaat di seluruh negara.

Program Inspirasi Ramadan

  • Program Pemantapan Kebajikan Ummah Yapeim iaitu menyantuni anak-anak yatim dan miskin terpilih pada bulan Ramadan
  • Diperkenal sejak 2016 dengan seramai 17,371 penerima manfaat
  • Pada 2017 sebanyak 19 lokasi dipilih di seluruh negara dengan peruntukan RM2.6 juta
  • Menerima sumbangan berupa wang tunai dan barangan produk usahawan Yapeim
  • Membabitkan penerima keseluruhan berjumlah 22,320 penerima di seluruh negara.

Program Inspirasi UPSR

  • Bertujuan meningkatkan pencapaian akademik UPSR terutama dalam golongan prestasi sederhana dan lemah khususnya di luar bandar
  • Murid dibimbing secara intensif teknik menjawab soalan sebelum peperiksaan.
  • Memberi motivasi kepada ibu bapa dan murid, klinik dan bengkel, program restu ilmu serta pameran produk Yapeim
  • Membabitkan sebanyak 1,903 sekolah dan 72,671. penerima manfaat di seluruh negara

REAKSI PPD

“Keputusan UPSR di Daerah Hulu Terengganu pada 2017 menunjukkan pencapaian terbaik setakat ini. Kejayaan ini adalah hasil kerjasama semua pihak termasuk Yapeim. Sebanyak 10 sekolah yang mengikuti program anjuran Yapeim menunjukkan peningkatan mendadak khususnya peratusan murid mendapat 6A.” – PPD Hulu Terengganu

“Pihak Yapeim perlu turut membuat program fokus kepada guru agar pembelajaran dan pemudahcaraan guru lebih berkualiti dan bakal meningkatkan keberhasilan murid.”– PPD Simunjan, Sarawak