“... Dan tolong-menolonglah kamu dalam perkara kebaikan dan ketakwaan, dan jangan sekali-kali kamu memberi pertolongan di atas perkara kejahatan dosa yang membawa kepada perseteruan, dan takut olehmu akan Allah. Sesungguhnya Allah akan mengenakan seksaan yang amat dahsyat.”

Namun dalam banyak keadaan, kita seolah-olah hanya memahami pada ayat surah itu yang menyebut “... Dan tolong-menolonglah kamu dalam perkara kebaikan dan ketakwaan...” sahaja apabila timbulnya keinginan untuk berwakaf atau bersedekah.

Kealpaan kita pada baris ayat seterusnya “...dan jangan sekali-kali kamu memberi pertolongan di atas perkara kejahatan dosa yang membawa kepada perseteruan...” Keadaan ini menjadi lebih ketara apabila terdapat pemungut derma tampil kononnya dengan surat kebenaran majlis agama Islam negeri dan gambar bakal penerima manfaat.

“Kita sering lihat tabung-tabung derma atau wakaf di restoran atau ketika sedang makan, kita didatangi individu yang mendakwa mewakili pihak penerima manfaat di negeri atau negara tertentu bersama gambar dan dokumen yang kononnya dari majlis agama Islam negeri.

“Maka, kita tersentuh dan terus menghulurkan duit dengan niat untuk berwakaf atau bersedekah tanpa memikirkan bahawa ada juga kemungkinan, kita bakal dapat dosa kerana bersubahat kepada kegiatan tidak bermoral,” kata kata Prof. Datuk Dr. Sudin Haron.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Wakaf Malaysia (YWM) itu berkata demikian ketika membentangkan kertas kerjanya bertajuk ‘Peranan Wakaf Dalam Pembangunan Sosioekonomi Ummah’ di Seminar Celik Wakaf peringkat Wilayah Persekutuan di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Justeru, beliau menyarankan agar amalan berwakaf atau bersedekah itu disalurkan terus kepada pihak yang diiktiraf oleh kerajaan seperti majlis agama Islam negeri atau agensi-agensi bawahnya.

“Ini kerana pengurusan duit atau harta wakaf kita itu dilakukan dengan telus dan menepati hukum-hukum syarak,” katanya lagi.

Wakaf ikut saluran demi ummah

Saranan sedemikian amat penting dalam situasi kedudukan umat Islam di Malaysia masa kini. Pembangunan sosioekonomi umat Islam, walaupun merupakan penduduk majoriti tetapi masih berada pada tahap membimbangkan.

Isu kemiskinan, penipuan dalam hidangan halal, pengangguran, pembabitan remaja dengan gejala tidak sihat dan penguasaan ekonomi yang teruk adalah antara isu sosioekonomi melingkari umat Islam sejak bertahun-tahun.

“Saya melihat amalan wakaf itu boleh memberi sinar harapan untuk menyelesaikan isu-isu sosioekonomi berkenaan kerana ia tidak terhad kepada harta tetapi juga wang tunai.

“Tetapi, kejayaan itu boleh dicapai sekiranya amalan tersebut dilakukan melalui saluran yang diiktiraf oleh kerajaan iaitu majlis agama Islam negeri atau agensi wakaf bawah mereka,” kata Sudin.

Apa tidaknya, bukti kejayaan pembangunan harta wakaf di negara ini sudah ada tetapi ia mungkin tidak begitu diketengahkan dalam kalangan masyarakat umum di negara ini.

Ia bukan hanya terhad kepada masjid, tanah kubur dan sekolah agama tetapi turut membabitkan harta komersial seperti hotel, bazar, kios, serta dalam bidang pendidikan, kemahiran, kesihatan, perindustrian, perladangan dan hospitaliti.