- Lia, Kuala Lumpur.

UKE: Adil adalah seseorang itu berpegang kuat (istiqamah) kepada ajaran Islam, menunaikan kewajiban agama, mencegah dirinya daripada melakukan dosa besar seperti berzina, minum arak dan menderhaka kepada ibu bapa serta berusaha tidak melakukan dosa kecil.

Lawan kepada adil adalah fasik. Maka wali yang adil iaitu yang tidak fasik menjadi keutamaan dalam syarat wali supaya dapat melaksanakan tanggungjawab seperti mana dikehendaki agama.

Sebenarnya sebahagian besar ulama mutaakhirin dalam mazhab Syafie seperti Imam al-Ghazali, pendapat pilihan Imam Nawawi dan sebagainya, telah mengeluarkan fatwa bahawa sah wali fasik menjadi wali, selepas beristighfar .

Maka, hendaklah disuruh si bapa beristighfar dan silakan berbincang dengan tuan kadi atau naib kadi bagaimana perlu dibuat ketika ingin berakad nikah. Mereka ada cara sendiri untuk selesaikan masalah ini.

Qada solat dan puasa arwah?

Bapa saudara sebelah ibu saya, sering memberitahu adik-adiknya bahawa wajib mengqada solat dan puasa arwah nenek yang tidak dilakukan selama sembilan tahun ketika arwah nyanyuk.

Adakah wajib diganti solat dan puasa arwah nenek saya selama sembilan tahun dia nyanyuk? Bukankah syarat sah solat dan puasa adalah waras?

Hairulanam Mat Swadi, Ipoh.

UKE: Tiada qada dan tiada fidyah bagi sembahyang yang ditinggalkan oleh orang yang telah meninggal dunia berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Imam Malik bin Anas dalam kitab al-Muwatta daripada Ibn Umar RA.

Berkenaan puasa yang ditinggalkan oleh si mati sewaktu hidupnya, maka hendaklah dilihat kenapa si mati meninggalkan puasanya. Maka daripada sebab itulah boleh dilihat sama ada kena qada atau fidyah oleh ahli keluarganya.

Al-Imam al-Nawawi Rahimahullah di dalam kitabnya al-Minhaj menyebutkan bahawa bagi mereka yang berbuka puasa kerana uzur dan berpanjangan uzur atau sakitnya itu sehinggalah mati, maka tidak ada puasa ke atasnya, dan tidak perlu membayar fidyah baginya dan tidak pula orang lain berpuasa baginya.

Sekiranya seseorang itu mampu untuk mengqadakan puasa yang ditinggalkan sama ada sebab uzur ataupun tidak, namun tidak diqadakan sehingga dia mati, adapun mazhab al-Qadim (dan ia adalah yang rajih dan disahihkan oleh golongan muhaqqiq), dalam keadaan begini dibolehkan bagi wakil untuk berpuasa bagi pihak si mati. Sekiranya berterusan keuzuran seseorang itu sehingga dia meninggal dunia seperti sakit yang berterusan, berpanjangan safarnya, pengsannya, hamilnya, menyusunya dan seumpamanya, maka ia tidak dikira berdosa.

Tidak wajib ke atasnya sesuatu pun dan begitu juga bagi pihak wakilnya (saudara terdekat) kerana kewajiban berpuasa tidak dapat dilaksanakan sehinggalah dia meninggal dunia maka telah gugur hukum berpuasa buatnya.

Maka sama ada ahli keluarganya ingin qada berpuasa atau membayar fidyah untuk si mati atau tidak, hendaklah dilihat kenapa si mati meninggalkan puasanya.

Berkaitan fidyah bagi pihak si mati, para ulama berpendapat para waris wajib melaksanakan urusan fidyah berkenaan sebagaimana tanggungjawab melangsaikan hutang-hutang yang lain.

Kenapa disunatkan bunuh 
 cicak?

Membunuh cicak adalah sunat. Kenapa umat Islam disunatkan membunuh cicak dan apakah kelebihannya?

- Khairul, Muar.

UKE: Daripada Abu Hurairah RA, dia berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Barang siapa yang membunuh cicak sekali pukul, maka dituliskan baginya pahala seratus kebaikan, dan barang siapa memukulnya lagi, maka baginya pahala yang kurang daripada pahala pertama. Dan barang siapa memukulnya lagi, maka baginya pahala lebih kurang daripada yang kedua.” (Riwayat Muslim No. 2240).

Berdasarkan hadis di atas, para ulama sepakat menyatakan sunat membunuh cicak. Ini kerana cicak termasuk haiwan perosak, pengotor dan boleh membawa penyakit.

Harus diingat cicak termasuk dalam kategori pest (perosak) seperti nyamuk, kutu, tikus, pijat, lipas dan lain-lain. Semua haiwan ini digalakkan untuk dibasmi demi menjaga kesihatan manusia.

Berkata Imam al-Nawawi dalam Syarh Sahih Muslim: “Nabi memerintahkan dan menggalakkan untuk membunuh cicak kerana ia termasuk mu’ziyat (haiwan-haiwan yang boleh mengganggu kesihatan manusia).

Hukum kongsi mesin basuh 
 dengan bukan Islam?

Apakah hukum menggunakan mesin basuh dobi yang sama dengan bukan Islam?

- Zainal, Rembau.

UKE: Selagi tiada jelas, tidak ada najis aini (yang boleh dilihat) di dalam mesin basuh itu, maka hukumnya harus.