Pemilihan media sosial seperti Facebook, Instagram, Telegram, WhatsApp, Twitter atau WeChat dilakukan kerana mempunyai bilangan pengguna yang tidak mengira sempadan geografi, jantina dan umur, berbanding media tradisional.

Tidak kiralah sama ada diuruskan oleh sekumpulan individu prihatin atau badan bukan kerajaan, sambutan-nya amat luar biasa. Lebih-lebih lagi, jika tragedi itu masih baru.

Namun dalam keterujaan tersebut, sudah pasti akan ada terpalit sedikit kegusaran atau kesangsian fi dalam hati penderma terhadap sumbangan tunai atau barangan yang dihulurkan.

Kita tidak tahu pihak manakah yang benar-benar jujur. Berpakaian macam orang agama atau mengenakan uniform rasmi organisasi tertentu, adakah benar-benar boleh dipercayai?

Ini ditambah pula, kita sering kali membaca atau mendengar laporan kes-kes penipuan berkenaan di media utama. Penipuan itu bukan berjalan dalam sehari dua tetapi makan bertahun-tahun lamanya.

Justeru dalam menangani suasana berkenaan, Infaq Channel Sdn. Bhd. tampil dengan satu aplikasi telefon pintar yang bukan hanya mengumpul penerima di bawah satu bumbung tetapi wujudnya ketelusan terhadap transaksi derma dan juga latar belakang penerima sumbangan itu.

Pengasas bersama merangkap Ketua Pegawai Teknologinya, Mohd. Izairi Yamin memberitahu, semua organisasi penerima derma, termasuk masjid yang terdapat dalam aplikasi dikenali eInfaq itu telah diselidiki latar belakang mereka berasaskan perundangan negara ini.

Beliau berkata, usaha sedemikian juga perlu bagi mengelakkan pihak tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan terhadap sikap prihatin dan kemurahan hati umat Islam tempatan dalam menderma.

“Semua organisasi itu telah kami siasat latar belakang mereka dengan pihak berkuasa berkaitan seperti Bank Negara, majlis agama Islam negeri, Pendaftar Pertubuhan, dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia.

“Samalah juga jika ada pihak tertentu yang mahu mengumpul derma bagi membantu mangsa tragedi kecemasan seperti banjir, kebakaran, tanah runtuh,” katanya ketika ditemui Mega Mimbar selepas majlis memperkenal platform mudah alih itu di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ahmad Tajuddin Ahmad Idra dan Ketua Pegawai Operasinya, Khoirul Anan Mohamed Sarif.

Menyentuh aspek transaksi derma, Mohd. Izairi menyatakan bahawa semuanya akan dibuat secara telus supaya penderma tahu destinasi duit derma mereka itu dan semuanya boleh dilihat di laman web rasminya iaitu www.einfaq.com.

Beliau berkata, transaksi tersebut bukan hanya memudahkan masyarakat dan penderma tahu aliran derma yang mereka lakukan tetapi juga akan diaudit oleh pihak berwajib secara berkala.

“Bukan hanya sebagai amanah orang ramai tetapi usaha ini juga selaras dengan matlamat kami yang mahu mempopularkan budaya infaq dalam kalangan umat Islam tempatan.

“Budaya itu tidak seharusnya dilakukan secara bermusim atau bila ada musibah sahaja. Kami mahu ia dilakukan secara setiap masa dan tidak mengenal usia,” katanya.