Peristiwa itu sekali gus menzahirkan betapa pentingnya hubungan silaturahim dalam Islam malah ia secara tersirat berada di tangga kedua selepas pembinaan masjid yang merupakan Rumah Allah. Malah Rasulullah juga banyak bersabda mengenai kepentingan menjaga, menguatkan hubungan silaturahim sesama umat Islam.

Menyedari kepentingan kekuatan umat Islam itu, kira-kira 12 tahun lalu satu inisiatif dilaksanakan hingga tertubuhnya Majlis Silaturahim Keluarga Keturunan Haji Awang Kemachi dan Keluarga Wan Puteh Mentuan (Maswapem) oleh Siti Aishah Mat Ali, 71, iaitu generasi kedua daripada keturunan tersebut.

Keturunan Maswapem dikatakan bermula kira-kira 153 tahun lalu di Kampung Kemachi, 10 kilometer jaraknya dari Kota Bharu, Kelantan. Lelaki itu ialah Awang @ Wan Nawang bin Ismail bin Ludin yang dilahirkan sekitar 1864 dan meninggal dunia pada 1924 itu keturunannya berasal dari Yunan, Tanah Besar China.

Beliau mempunyai akhlak terpuji dan arif dalam ilmu agama. Pada usia muda iaitu sekitar 30-an diberikan kepercayaan menjadi Imam Mukim Binjai, bersebelahan Kampung Kemachi pada 1894.

“Sehingga kini terdapat lebih 1,000 ketua keluarga Maswapem di seluruh negara dengan anggaran bilangan zuriat melebihi 5,000 orang. Adalah agak mustahil untuk kesemua waris berkunjung ke setiap rumah untuk mengenali atau beramah mesra antara satu sama lain dalam masa singkat.

“Sebab itulah kita adakan perhimpunan keluarga melibatkan kesemua jelujur dalam dua sesi iaitu di Kota Bharu, Kelantan pada 23 September lalu dan di Kuala Lumpur pada 30 September lalu bagi yang bermastautin di sekitar Lembah Klang,” kata Siti Aishah atau lebih mesra dengan panggilan Mok Soh yang juga bekas pensyarah di Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya (UM).

Dalam kedua-dua majlis itu, kira-kira 1,000 ahli keluarga Maswapem hadir dan ramai juga yang gagal menghadirinya kerana beberapa kekangan yang tidak dapat dielakkan.

Sempena perhimpunan keluarga itu, Maswapem turut melancarkan buku coffee table, “Sedekad Bersama Maswapem” yang memuatkan sejarah perjalanan keturunannya termasuk gambar-gambar setiap jelujur dan aktiviti yang dijalankan sejak penubuhannya pada 2005.

BERMULANYA MASWAPEM

Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang mahu dilapangkan (dimurahkan) baginya rezeki (dalam keberkatan) atau dipanjangkan umur (dalam keberkatan) maka hubungkanlah tali silaturahim,” - Sahih Bukhari dan Muslim.

Ibrah daripada hadis itu, Mok Soh menggerakkan inisiatif mengumpul dan mengeratkan silaturahim keturunan moyangnya.

“Benih berputik ketika Allahyarham suami, Mohd. Kassim Ahmed menjalankan tugasnya sebagai Ahli Parlimen Machang (1982-1990) dan Timbalan Menteri Pertanian. Ketika itu ramai orang datang ke rumah meminta jasa baik seorang wakil rakyat untuk beraneka jenis urusan.

“Ramai juga terdiri daripada waris-waris tidak dikenali, ketika itu Almarhum ibu, Sepiah Awang mendorong agar saya mengambil cakna waris-waris ini. Maka bermula minat menjalinkan silaturahim,” katanya.

TITIK PERTEMUAN

Satu mekanisme dipilih untuk mengenali keluarga yang sebegini ramai. Caranya:

  • Berhimpun dalam majlis makan-makan sambil berkenalan.
  • Akhirnya diperkenal Maswapem pada 2005
  • Setiap tahun majlis silaturahim diadakan di Kuala Lumpur dan Kelantan.
  • Selain itu, tarikh penting kalendar Islam seperti Maulidur Rasul, Israk Mikraj, Aidiladha dan Aidilfitri diisi dengan agenda bagi pertemuan.