Setelah tiba, kami terus menuju ke Bascarsija yang merupakan bandar lama di Bosnia. Bascarsija berasal daripada perkataan Turki, ‘bas’ bermaksud ‘utama’ dan ‘carsi’ bermaksud ‘bandar’.

Bascarsija merupakan pusat bandar utama di Bosnia pada masa lalu. Bagaimanapun, sebahagian besar daripada bandar tersebut musnah sewaktu kebakaran besar pada abad ke-19.

Antara tarikan utama di Bascarsija adalah Masjid Gazi-Bey iaitu masjid terbesar di Sarajevo yang dibina pada 1530. Masjid ini dibina oleh seorang Gabenor Empayar Ottoman bernama Gazi Husrev Bey, dengan menggunakan wang wakaf.

Sewaktu pembinaannya, sebuah madrasah dan perpustakaan juga dibina di sekitar masjid itu yang menjadi tumpuan rakyat tempatan. Rumah Allah tersebut menjadi tempat utama bagi rakyat Bosnia beribadah dan simbol pusat ilmu serta kebudayaan bagi rakyat tempatan.

Adalah menarik juga untuk dinyatakan bahawa Masjid Gazi-Bey juga merupakan masjid pertama di dunia yang menerima bekalan elektrik pada 1898!

Bagaimanapun, sewaktu perang Bosnia pada 1994, masjid itu menjadi sasaran utama tentera Serbia yang sengaja memusnahkan kawasan mempunyai nilai kebudayaan dan sejarah penting buat rakyat Bosnia.

Sebahagian besar daripada struktur penting masjid itu musnah sewaktu perang tersebut. Pada 1996, masjid itu dibina semua dengan bantuan pihak luar. Namun, kebanyakan daripada struktur asal masjid itu terhapus dan tidak dapat dibina semula.

Kami juga berpeluang menaiki tramway sewaktu menuju ke Vrelo Bosne, iaitu sebuah taman yang popular dengan keindahan semula jadi. Tramway merupakan antara satu daripada sumber pengangkutan utama rakyat Bosnia dan ia juga merupakan tramway pertama dibina sewaktu Empayar Austria-Hungary pada 1885.

Kebanyakan daripada struktur klasik bangunan di Bascarsija masih dikekalkan hingga kini, sehinggakan pengunjung akan merasai seolah-olah mereka sedang berada pada masa silam sewaktu berkunjung ke sana.

PERKUBURAN MANGSA PERANG

Kami kemudiannya mendaki bukit untuk menuju ke ‘Kubu Kuning’ (dibina dengan batu-batan berwarna kuning) yang berada di puncak bukit Sarajevo.

Semasa mendaki bukit, kami berpeluang mengunjungi tanah perkuburan peringatan mangsa korban Perang Bosnia 1994.

Kawasan tanah perkuburan tersebut sangat bersih dan semua batu nisan berwarna putih tersusun kemas di sepanjang kawasan bukit tersebut.

Suasana suram dan kesedihan jelas dirasai sewaktu kunjungan kami. Malah, masih terdapat ramai rakyat tempatan yang mengunjungi perkuburan tersebut dan meninggalkan bunga di perkuburan kepada yang tersayang.

Di puncak bukit di kubu kuning, pelancong berpeluang menyaksikan pemandangan penuh di seluruh Sarajevo yang ternyata sangat indah.

Mengikut tradisi, pada Ramadan, sepucuk meriam akan diletuskan dari puncak bukit bagi menandakan waktu berbuka puasa.

Penduduk Bosnia majoritinya beragama Islam, oleh itu makanan halal sangat mudah diperoleh di Sarajevo. Malah, sahabat saya dari Bosnia mengesyorkan kami untuk mencuba makanan tempatan, borek’ dan ‘cevapi’ sewaktu kami berkunjung ke sana.

Cevapi merupakan roti daging yang sangat enak, sementara borek pula merupakan roti yang digilis nipis seperti roti canai dan pembeli boleh memilih pelbagai jenis inti berlainan.

Memandangkan kami melawat Bosnia sewaktu musim panas, hampir semua kedai di sepanjang jalan Bascarsija menjual ais krim murah yang sangat enak.

Setiap ais krim hanya berharga satu Konvertibilna marka (mata wang Bosnia) yang bersamaan dengan RM2 dan terdapat pelbagai pilihan ais krim yang boleh membuat para pengunjung rambang mata.