Ketua Pengarah IKIM, Profesor Dr. Azizan Baharuddin berkata, usaha-usaha itu akan mengetengahkan program yang mengupas isu-isu agama dan permasalahan berbangkit dalam kalangan masyarakat.

“Di IKIM, kami sentiasa memanggil pakar-pakar agama dari seluruh dunia seperti dari Jepun, Afrika Selatan dan Perancis untuk bersama-sama mengupas isu-isu agama yang bangkit sama ada dalam masyarakat kita, atau di seluruh dunia.

“Sebagai contoh, kami ada mewujudkan program bersifat menyelesaikan masalah mental dan berbincang bagaimana masalah mental boleh dirawat dengan menggunakan ilmu agama selain daripada rawatan hospital,” katanya pada sidang akhbar selepas perasmian Karnival Ulang Tahun Ke-25 IKIM, di sini, hari ini.

Karnival itu dirasmikan oleh bekas Perdana Menteri yang juga Pengerusi IKIM, Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Pada majlis itu Abdullah turut melancarkan lima buah buku terbitan IKIM.

Sementara itu, Dr. Azizan berkata, berlandaskan prinsip Transformasi Nasional 50 (TN50), IKIM sedang giat memberi pendekatan agama dalam bentuk baharu kepada generasi muda menggunakan platform internet dan media sosial.

Ujarnya, antara usaha yang bakal dilaksanakan adalah dengan melancarkan dokumentari dan e-book.

“Dalam memberi pendekatan agama kepada generasi muda, kami perlu melaksanakan bentuk-bentuk pendidikan yang baharu.

“Jika sebelum ini, kami sering memberi pengetahuan ilmiah melalui buku, dan juga radio secara umumnya. Oleh itu, bentuk pendekatan yang baru amat penting dalam menarik minat mereka supaya mereka tidak melihat pendekatan agama yang diberi dalam cara yang lama,” katanya.

Sementara itu, karnival itu dianjurkan sempena sambutan ulang tahun ke-25 IKIM yang ditubuhkan pada tahun 1992.

Lima buah buku yang diterbtkan adalah IKIM 25 Tahun Memupuk Kefahaman, Kenapa Islam: Menyanggah Pegangan Kaum Pluralis, Challenging Issues for Science & Technology In Malaysia: An Overview, Lasik Untuk Jiwa dan Segelas Air Segenggam Kopi. - UTUSAN ONLINE