Jawapan: Dakwaan ini tidak benar. Doa akhir tahun adalah doa kepada Allah dan terpulang kepada sesiapa yang ingin berdoa pada waktu tersebut, begitu juga kepada sesiapa yang enggan berbuat demikian. Ini kerana doa pada waktu tertentu seperti akhir tahun adalah pilihan sahaja, bukan suatu bentuk kewajipan.

apakah membela ikan puyu dapat menghindarkan diri dan keluarga daripada gangguan syaitan?

Jawapan: Saya tidak mengetahui dalil bagi isu ini. Mungkin ada amalan pemeliharaan ikan puyu atau haiwan tertentu bagi mengelakkan gangguan syaitan dan sihir.

Tidak salah untuk membela ikan puyu, ia adalah sekadar ikan sahaja. Seeloknya untuk kita lebih rajin membaca al-Quran seperti surah al-Baqarah.

Mengenai surah ini terdapat riwayat yang lebih pasti, seperti rumah yang dibacakan surah berkenaan maka ia tidak akan dimasuki oleh syaitan. Dalam riwayat hadis lain, syaitan tidak akan memasuki rumah yang dibacakan surah al-Baqarah selama tiga hari.

Dalam riwayat lain, surah al-Baqarah tidak mampu ditembusi oleh ahli sihir. Antara maksudnya ialah sihir tidak akan berjaya jika seseorang itu rajin membaca surah al-Baqarah.

Terdapat juga riwayat tentang kelebihan membaca dua ayat terakhir daripada surah al-Baqarah iaitu ayat 285 dan 286. Sesiapa yang membaca dua ayat ini pada waktu malam maka mencukupi baginya. Kemungkinan antara maksudnya ialah pemeliharaan Allah dengan berkat bacaan dua ayat ini, begitu juga dengan membaca ayat Kursi.