Melihat kepada kemudahan dan keperluan asas yang tidak lengkap, tiada siapa dari luar perkampungan itu menyangka terdapat 124 pelajar berusia antara lima hingga 15 tahun bernaung di situ yang tekun mendalami pengajian agama.

Suasana ceria pelajar menuntut ilmu dan keazaman tinggi lima tenaga pengajar berkhidmat secara sukarela di Madrasah Nurul Yaqin membuktikan bahawa mereka amat menghargai dan mensyukuri nikmat Islam yang dikurniakan Allah kepada mereka.

Biar apa pun kesukaran dihadapi, kewajipan menuntut ilmu dan menyebarkan risalah agama harus diperluas terutama kepada ahli kariah Kampung Thenot, sementelah tiada pusat pengajian agama Islam lain yang bertapak di daerah tersebut.

Menyedari kekurangan pusat pengajian agama di daerah itu, mendorong Pengetua Madrasah Nurul Yaqin, Abd. Syukur Rafi yang pernah menimba ilmu pengajian pondok di Malaysia dan Thailand selama 17 tahun merancang pembinaan pusat pengajian meskipun serba kekurangan.

Anak jati Kampung Thenot berusia 37 tahun itu berkata, dia terpanggil untuk menyebarkan ilmu agama di kampung halamannya itu setelah sekian lama menuntut ilmu di luar tanah air dan bertugas sebagai seorang guru di sebuah sekolah swasta di Kemboja.

Bersama isteri tercinta, Solehah Zakaria, Madrasah Nurul Yaqin ditubuhkan pada tahun lalu dengan harapan generasi muda di kampung itu dapat dibekalkan dengan ilmu Islam biarpun tanpa pelbagai kemudahan asas sempurna dapat disediakan kepada pelajar.

PERLU BANTUAN

Abd. Syukur berkata, terdapat dua sesi pengajian agama disediakan di Madrasah Nurul Yaqin iaitu bermula pada pukul 7 pagi hingga 11 pagi dan satu lagi sesi pengajian bermula pada pukul 1 tengah hari hingga pukul 5 petang.

“Antara subjek yang diajar adalah Fikah, Tauhid, Lughah, al-Quran, Hadis, Sirah dan Bahasa Melayu. Pada sebelah malam, kami turut mengadakan sesi pengajian buat golongan dewasa termasuk menyampaikan tazkirah bagi meningkatkan ilmu agama,” katanya yang ditemui Mimbar Utusan, baru-baru ini.

Ditanya mengenai harapan pada masa hadapan, Abd. Syukur menjelaskan, menjadi satu harapan besar buatnya dan komuniti Islam di Kampung Thenot untuk menyaksikan Madrasah Nurul Yaqin memiliki sebuah bangunan sendiri.

Menurutnya, ‘bangunan impian’ tersebut diharap dapat memberi keselesaan kepada pelajar, seterusnya menjadi motivasi terbaik mencipta kecemerlangan pada masa hadapan.

“Buat permulaan, dana sejumlah RM50,000 diperlukan untuk membeli sebidang tanah dan peruntukan seterusnya diperlukan bagi membina bangunan impian itu kepada para pelajar,” katanya yang turut melakukan kerja menanam padi bagi menampung keperluan harian keluarganya.

MENDAPAT PERHATIAN

Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Kekurangan dari pelbagai aspek kemudahan yang dihadapi Madrasah Nurul Yaqin telah membuka mata pihak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dari Malaysia untuk menghulurkan bantuan.

Akademi Ulul Ilmi yang bekerjasama dengan pengurusan Akademi Darul Syahadah (M) Sdn. Bhd. serta Global System Education Sdn. Bhd. (GSE) dan diperkuat dengan 40 sukarelawan menyertai misi menghulurkan bantuan sewajarnya kepada pusat pengajian tersebut baru-baru ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Akademi Darul Syahadah, Zainul Anuar Abdullah berkata, akademi itu bersedia menawarkan bantuan dalam bidang pendidikan agama Islam dengan sistem pembelajaran yang sempurna serta berupaya menyediakan tenaga pengajar berkelayakan untuk membantu pelajar dan pihak madrasah di Kemboja itu meningkatkan prestasi ke satu tahap lebih baik.

Katanya, setelah berkunjung ke Madrasah Nurul Yaqin baru-baru ini dan melihat banyak kekurangan peralatan mengajar seperti kitab-kitab dan buku-buku yang boleh dijadikan bahan rujukan di pusat pengajian tersebut.

“Kami bersetuju menawarkan bantuan pembelajaran sepenuhnya dalam kalangan pelajar yang terpilih dengan sistem pendidikan madrasah dimiliki kedua-dua pihak akademi yang bergabung demi memastikan anak tempatan di daerah Kemboja itu mampu melangkah lebih jauh,” katanya.

Mengulas lanjut, Zainul Anuar berkata, pihak Akademi Ulul Ilmi juga menawarkan pendidikan awal seperti taska dan tadika menerusi sistem pembelajaran oleh GSE.

Katanya, bantuan dan kerjasama itu diharapkan dapat meningkatkan tahap dan sistem pendidikan di madrasah yang terletak kira-kira enam jam perjalanan dari Phonm Penh.

Pemindahan kepakaran

SEKUMPULAN pelajar berpotensi bersama seorang guru yang boleh berbahasa Melayu bakal dibawa ke Akademi Darul Syahadah bagi mengikuti latihan dalam tempoh tertentu, seterusnya kembali ke daerah itu untuk mengajar dan melaksanakan sistem pendidikan yang lebih baik secara berperingkat-peringkat.

Zainul Anuar menjelaskan bahawa inisiatif itu lebih berkesan berbanding menghantar tenaga mahir Akademi Darul Syahadah ke Kampung Thenot. Ini kerana antara masalah yang bakal timbul ialah penguasaan bahasa, perbezaan budaya dan tempoh masa pembelajaran yang terhad, sekali gus membantutkan usaha meningkatkan kemahiran pelajar dengan lebih pantas.

Dalam pada itu, beliau berkata, madrasah itu juga terletak jauh di kawasan pedalaman dan terpaksa menyusuri jalan tanah merah di kebanyakan laluan perjalanan ke Kampung Thenot.

“Madrasah Nurul Yaqin turut berhadapan pelbagai kekurangan kemudahan asas termasuk bekalan air bersih. Penduduk di perkampungan tersebut masih bergantung kepada bekalan air perigi dan kemudahan tenaga elektrik juga sering terganggu pada setiap hari.

“Kemudahan bekalan elektrik juga baru diperoleh sejak setahun lalu. Oleh itu, banyak keperluan asas diperlukan bagi melancarkan sistem pembelajaran terbaik di madrasah ini,” katanya.

Bagaimanapun, kata Zainul Anuar, usaha dan misi bantuan untuk keperluan asas seperti pakaian dan keperluan harian serta penambahan daging korban dalam masa mendatang haruslah ditambah bagi keperluan penduduk di daerah ini.

“Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan, boleh berbuat demikian dengan menyalurkan derma ke akaun Bank Islam atas nama Akademi Ulul Ilmi iaitu menerusi akaun bernombor 05049010020895.

“Maklumat berhubung bantuan derma itu boleh dimaklumkan kepada Safi pada talian 019-3488687 atau Azrul di talian 012-2624846,” katanya.