Namun apa yang membezakan antara manusia itu adalah sebagaimana diperkatakan oleh Rasulullah SAW dalam sebuah hadis diriwayatkan oleh Thabrani bermaksud, “Sebaik-baik manusia adalah yang paling bermanfaat bagi sesama manusia.”

Ia sejajar dengan penekanan Islam yang tidak hanya memfokuskan usaha menjaga hubungan dengan Allah (hablumminallah) semata-mata tetapi juga sesama manusia (hablumminannas).

Antaranya adalah usaha berterusan Kulliyyah Teknologi Komunikasi dan Maklumat (KICT), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Gombak, Selangor.

Kulliyyah atau fakulti universiti itu mewajibkan pelajar mereka membangunkan program pembangunan dan aplikasi teknologi maklumat (IT) yang boleh dimanfaatkan dalam kehidupan seharian manusia sebelum menamatkan pengajian masing-masing.

Dekan kulliyyah berkenaan, Prof. Dr. Abdul Wahab Abdul Rahman memberitahu, usaha yang dimulakan sejak enam semester lalu itu memerlukan setiap pelajar membangunkan produk masing-masing bermula pada tahun pertama pengajian mereka.

Beliau mengakui pada peringkat awal program itu, ia dilihat sebagai antara kursus pengajian sahaja tetapi dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini, pihaknya telah melakukan penambahbaikan agar ia lebih berdaya saing.

“Antaranya, melibatkan penyertaan organisasi perniagaan berkaitan, Alumni UIAM dan pihak berkepentingan lain agar inovasi pelajar dapat dikembangkan di luar kepompong universiti,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di UIAM Gombak, baru-baru ini.

Selaras dengan itu, Abdul Wahab memberitahu, pihaknya memberi kebebasan kepada pelajar untuk membina apa sahaja program pembangunan atau aplikasi ICT yang difikirkan berpotensi memenuhi keperluan atau menyelesaikan kemaslahatan masyarakat umum.

Beliau menambah, proses pembangunan projek tersebut akan dipantau dan diselia oleh tenaga pengajar KICT secara lebih teliti agar ia memenuhi matlamat universiti.

“Setiap hujung semester, produk mereka akan dinilai berasaskan tahap mana projek itu disiapkan melalui Pameran Projek Tahun Akhir Kulliyyah Teknologi Komunikasi dan Maklumat (KICT FYP Showcase) UIAM,” katanya.

Bagi semester kali ini lebih 200 pelajar KICT terlibat dengan pelbagai jenis projek berteraskan pembangunan dan aplikasi ICT dan rata-rata projek itu masih dalam proses pembangunan tetapi dijangka siap sebelum tamat pengajian.

Antaranya, berbentuk pendidikan Islam, hubungan sosial, permainan, sains, rekreasi, galakkan membaca dan berbentuk penyelidikan serta pembangunan berkaitan kehidupan semasa.

 

Jangan ada sifat syok sendiri

Abdul Wahab memberitahu, pihaknya memberi penekanan dengan mengingatkan pelajar agar memastikan projek mereka itu tidak bersifat syok sendiri.

Ini kerana, beliau tidak menolak kemungkinan akan ada syarikat-syarikat tertentu yang mungkin berminat untuk mengembangkan projek mereka hingga ke tahap pengkomersialan.

Apa tidaknya, sebelum ini terdapat beberapa syarikat besar yang bukan hanya menunjukkan minat terhadap hasil ciptaan pelajar itu, tetapi ada yang meminta agar pelajar berkenaan menyiapkan projek mereka semasa menjalani latihan industri di syarikat mereka pada semester akhir.

“Lagipun bagi saya, adalah sesuatu yang membazirkan masa dan tenaga jika pelajar beranggapan ia hanya antara tugasan bagi memastikan mereka memiliki ijazah bila tamat pengajian nanti.

“Kita perlu mengorak langkah untuk jadi pencipta, sebagaimana para ilmuwan Islam zaman silam dan bukan lagi sekadar pengguna semata-mata,” katanya.

 

Tingkat nilai komersial

Abdul Wahab berkata, pihaknya telah merangka beberapa perancangan bagi memastikan hasil ciptaan atau inovasi pelajar mereka mendapat perhatian sewajarnya pihak industri.

Langkah sedemikian perlu kerana berdasarkan pemerhatian, pelajar berkenaan mempunyai idea dan bakat bagi mengetengahkan hasil ciptaan atau inovasi ke pasaran semasa.

Cuma, apa yang diperlukan kini sokongan dan bantuan syarikat-syarikat tempatan bagi memastikan ciptaan atau inovasi pelajar berkenaan tidak hanya untuk memenuhi keperluan pengajian sahaja.

Antara yang terkini adalah kerjasama dengan SME Corp. Malaysia (SME Corp.) bagi menarik minat lebih banyak syarikat-syarikat tempatan dan juga memperkasakan kekuatan dalaman pelajar kulliyyah berkenaan.

“Melalui SME Corp. itu, ia akan membolehkan kami membina kerjasama strategik dengan syarikat-syarikat yang berpotensi dan pelajar kami turut berpeluang mengikuti kursus bagi memperkasakan kekuatan dalaman.

“Kekuatan dalaman itu perlu supaya pelajar berupaya menangani apa sahaja cabaran dan dugaan supaya projek mereka bukan hanya dapat disiapkan pada masanya tetapi juga berkualiti,” katanya.