Memang lazim apabila sesuatu perkara kurang enak melibatkan institusi agama Islam pantas komentar berbaur negatif dilontarkan tanpa melihat isu sebenarnya. Sebagai contoh, dalam isu maahad tahfiz ini, elemen jenayah telah didapati oleh pihak berkuasa menjadi punca terbakarnya pusat ini. Kebakaran tersebut bukan akibat kelalaian atau kecuaian pengendali maahad tahfiz tersebut walaupun mereka ditohmah dan dilabelkan dengan pelbagai gelaran.

Dalam masa yang sama bukanlah saya katakan sekolah agama ini begitu sempurna sehingga tidak boleh dikritik. Memang terdapat banyak kelemahan yang perlu dibaiki sama ada dari segi kurikulum, kokurikulum, premis, keselamatan, tenaga pengajar dan lain-lain lagi.

Sebagai antara seorang daripada produk sekolah agama saya dapat menjiwai kekurangan dan kekangan ini. Dahulu kami serba kekurangan. Tenaga pengajar yang kebanyakannya hanya dilantik kontrak, tiada makmal sains yang lengkap (bagi yang menawarkan pelajaran akademik), kemudahan dan pelbagai perkara yang serba kekurangan. Namun kami sedar itu bukan tiket untuk kami tidak cemerlang dalam segala lapangan diceburi.

BUKAN HERDIK TAPI KENA BANTU

Kekurangan yang ada di sekolah agama bukanlah memerlukan herdikan. Bantulah institusi pendidikan agama agar ia setanding dengan institusi pendidikan lain. Kita lihat sekolah Cina yang begitu terkehadapan dari sudut kurikulum, kokurikulum dan premisnya mendapat sokongan serta derma daripada bangsa Tionghua. Sikap ini perlu ditiru oleh orang Islam bagi membangunkan sekolah agama.

Walaupun tidak dinafikan terdapat banyak sekolah agama kerajaan yang dibangunkan oleh Kerajaan Persekutuan dan negeri-negeri namun permintaan untuk memasuki sekolah agama ini begitu meningkat kerana ibu bapa Islam sedar kejayaan dunia sahaja tidak mencukupi bagi orang Islam.

Ini adalah disebabkan tusukan ilmu kerohanian amat penting untuk membangunkan generasi kita pada masa akan datang. Usaha kerajaan ini harus diberikan pujian kerana prihatin keperluan pendidikan Islam dalam negara.

Bagaimanapun pihak kerajaan perlu terus memainkan peranan ke atas sekolah agama persendirian dengan memantau kurikulum, kokurikulum dan tahap keselamatan sekolah-sekolah berkenaan. Institusi tersebut perlu diwajibkan pendaftaran dengan pihak berkuasa agama supaya mudah diselia oleh pihak kerajaan.

Menutup sekolah agama yang sedang beroperasi serta merta adalah tindakan bersifat simplistik yang akan mendatangkan pelbagai kesan kepada pengendali sekolah, pelajar dan ibu bapa. Mereka perlu dibantu bukan dihukum.

INISIATIF PROAKTIF

Sudah sampai waktunya pendaftaran dan kawalan terhadap sekolah agama ini diperketat supaya keupayaan menjaga keselamatan bagi sekolah agama dipertingkatkan.

Apa yang terjadi sudah pun terjadi. Menoleh ke belakang hanya menangisi kejadian tersebut tanpa melakukan penambahbaikan hanya akan memberi peluang kepada pengulangan peristiwa hitam tersebut. Walaupun saya faham keluarga mangsa berhak meratapi kematian orang tersayang namun sebagai masyarakat awam kita perlu pastikan tiada lagi keluarga yang akan mengalami kedukaan sama pada masa hadapan.

Oleh demikian saya merayu:

  • Pihak berkuasa dapat mengambil peranan aktif agar suatu undang-undang khusus mengawal pendaftaran dan operasi sekolah agama ini digubal secepat mungkin bagi menangani isu ini.
  • Bagi orang awam pula marilah bersama-sama membantu institusi pendidikan Islam yang kekurangan dana agar dapat meningkatkan tahap keselamatan di sekolah mereka.
  • Bagi kalangan profesional mereka juga boleh memberi khidmat bakti dalam bidang kepakaran masing-masing bagi meningkatkan keselamatan ini.

* Inilah mujahadah kita, perjuangan kita, sumbangan bakti kita demi generasi akan datang.

PEMANGKIN PERUBAHAN

Mudah-mudahan peristiwa sedih ini menjadi pemangkin kepada perubahan institusi pendidikan Islam sama ada dikawal selia pihak kerajaan atau swasta. Juga diharapkan ia mampu menganjak paradigma masyarakat dalam melihat sekolah agama Islam. Lihatlah mereka daripada lensa pembangunan bukan menyekat dengan parameter yang tidak masuk akal atau menghapuskannya.

Sekolah agama sudah wujud sejak sebelum negara merdeka lagi. Sekolah agama sudah menabur bakti kepada negara sekian lama. Ramai tokoh besar dilahirkan dari sekolah agama. Perkasakan sekolah agama pasti suatu hari nanti kita akan mempunyai pemimpin agung yang seimbang dunia akhirat muncul di Malaysia.

Kita sebenarnya kehilangan dua kumpulan anak-anak pada masa hadapan:

1. Anak-anak pelajar tahfiz tersebut yang telah meninggalkan kita selama-lamanya walaupun mereka merupakan aset besar kepada agama.

2. Anak-anak di bawah umur yang sedang direman dalam siasatan polis. Mereka dilaporkan sebagai anak-anak tidak bersekolah yang dikatakan merancang pembakaran maahad tahfiz tersebut.

  • Anak-anak ini jika dididik dengan betul mungkin tidak akan menjadi sebegitu malah mungkin juga dapat menjadi kebanggaan negara sekiranya mendapat didikan sempurna.

Rata-ratanya kita tidak menyangka anak-anak di bawah umur ini boleh melakukan kesalahan yang sangat besar ini sebagaimana didedahkan pihak polis. Walau apapun alasannya, merosakkan harta awam dan mengambil nyawa tanpa cara yang sah di sisi undang-undang bukanlah suatu pilihan.