Tampak tegas sekali notis yang terpampang di kaki Bukit Nur yang menempatkan di atas puncaknya, Gua Hira’ tempat kali pertama wahyu diturunkan kepada Rasulullah SAW. Notis itu bertujuan membendung perbuatan sesetengah pihak yang menganggap pendakian ke Gua Hira’ sebagai ibadah.

Saya mendaki bukan kerana ingin bersolat dalam gua tersebut tetapi demi mencari sedikit pengajaran di sebalik tempat bersejarah ini. Ustaz Ahmad Husni Abd. Rahman yang membimbing kami dalam pendakian membuka celotehnya selepas kami turun dengan ibrah (pengajaran) pendek.

Menurutnya perumpamaan bukit pernah digunakan oleh Rasulullah SAW ketika mengajar para sahabat, antaranya:

“Sesiapa yang menyaksikan jenazah sehingga mendirikan solat, maka baginya pahala satu ‘qirat’, sesiapa yang menyaksikannya sehingga dikebumikan maka baginya pahala sebanyak ‘dua qirat’. Lalu ditanyakan apakah dua qirat itu? Rasulullah menjawab: Ia seperti dua buah bukit yang besar,” - Sahih Bukhari dan Muslim.

Dalam hadis lain Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya orang beriman (sangat gerun) melihat dosanya seperti dia sedang berdiri di bawah bukit yang dirisaukan menimpanya, manakala orang yang jahat pula hanya melihat dosanya seperti seekor lalat melintasi hidungnya,” - Sahih Bukhari dan Sunan Tirmizi.

Bukan setakat Rasulullah SAW, Nabi Musa a.s. juga menerima wahyu Taurat di atas Gunung Tur Sinai. Ia dijelaskan al-Quran:

“Engkau (wahai Muhammad) juga tidak berada dekat Gunung Tursina ketika Kami menyeru (Nabi Musa dan memberi wahyu kepadanya dahulu), tetapi (diturunkan) rahmat (al-Quran) daripada Tuhanmu (menerangkan kisah itu) supaya engkau memberi amaran kepada kaum (mu) yang telah lama tidak didatangi sebarang Rasul pemberi amaran sebelummu, semoga mereka beroleh pengajaran (serta insaf mematuhinya),” (al-Qasas [28:46]).

Juga firman Allah SWT:

“Dan ketika Nabi Musa datang pada waktu yang Kami telah tentukan itu, dan Tuhannya berkata-kata dengannya, maka Nabi Musa (merayu dengan) berkata: “Wahai Tuhanku! Perlihatlah kepadaku (Zat-Mu Yang Maha Suci) supaya aku dapat melihat-Mu”. Allah berfirman: “Engkau tidak sekali-kali akan sanggup melihat-Ku, tetapi pandanglah ke gunung itu, maka kalau ia tetap berada di tempatnya, nescaya engkau akan dapat melihat-Ku”, Setelah Tuhannya “Tajalla” (menzahirkan kebesaran-Nya) kepada gunung itu, (maka) “Tajalli-Nya” menjadikan gunung itu hancur lebur dan Nabi Musa pun jatuh pengsan. Setelah ia sedar semula, berkatalah dia: “Maha Suci Engkau (wahai Tuhanku), aku bertaubat kepada-Mu, dan akulah orang yang awal pertama beriman (pada zamanku),” (al-A’raf [7:143]).


MESEJ TERSIRAT

Secara strateginya, Rasulullah SAW memilih Gua Hira’ kerana ia adalah lokasi strategik. Dari kemuncaknya kita dapat melihat Kaabah dan Mekah dengan jelas. Walaupun Baginda mengasingkan diri, mata dan jiwa Baginda sentiasa memerhati keadaan Mekah dari jauh. Sikap cakna masyarakat sebegini wajar dicontohi umat Islam walau di mana pun berada.

Soalan yang dibangkitkan oleh Ustaz Husni ketika memberi tazkirah memang menarik.

  • Mengapa mesti Nabi Musa a.s. dan Rasulullah SAW mendaki ke tempat tinggi untuk menerima wahyu?
  • Mengapa wahyu pertama kepada Baginda SAW dimulakan dengan arahan ‘Baca’ nun di atas bukit yang tinggi?
  • Apa pula yang mahu dibaca sedang al-Quran belum pun sempurna penurunannya?


Rasional:

1. Pemilihan tanah tinggi sebagai tempat mula wahyu secara signifikannya menunjukkan bahawa wahyu itu ‘tinggi’ sifatnya. Bukan boleh diabaikan begitu sahaja. Mengabaikan arahan daripada ‘Kuasa Yang Tinggi’ bakal mengundang padah di dunia dan akhirat.

2. Mendaki ke bukit atau gunung juga bukan kerja mudah. Banyak keringat dan tenaga diperlukan. Seakan-akan Allah mahu mengajar kita, jika mahu menegakkan agama Allah sudah pasti memerlukan keringat, tenaga, pengorbanan dan keazaman yang tinggi.

3. Setelah sampai ke kemuncak kita tidak akan kekal di atas sana. Kesudahannya perlu turun juga ke bawah. Itu signifikan lain walau sehebat mana sekalipun seorang manusia, akhirnya dia terpaksa tunduk merendah diri di hadapan Allah.

4. Arahan ‘Baca’ kepada Rasulullah SAW di tempat yang tinggi seakan-akan mengajar umat Baginda agar berfikiran tinggi dalam memilih bahan bacaan. Membaca ilmu yang tinggi bakal menjadikan umat Islam tinggi darjat iman dan tamadunnya.


KERDILNYA MANUSIA


Pada saya tazkirah pendek Ustaz Husni itu adalah pandangan hikmah beliau yang boleh diterima akal. Ia mengingatkan saya kepada beberapa ayat berkaitan amanah Islam dan al-Quran yang dibandingkan dengan gunung atau bukit:

“Sesungguhnya Kami telah kemukakan tanggungjawab amanah (Kami) kepada langit dan bumi serta gunung-ganang (untuk memikulnya), maka mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakannya (kerana tidak ada pada mereka persediaan untuk memikulnya); dan (pada ketika itu) manusia (dengan persediaan yang ada padanya) sanggup memikulnya. (Ingatlah) sesungguhnya tabiat kebanyakan manusia adalah suka melakukan kezaliman dan suka pula membuat perkara-perkara yang tidak patut dikerjakan,” (al-Ahzab [33:72]).

Juga firman Allah: “Sekiranya Kami turunkan al-Quran ini ke atas sebuah gunung, nescaya engkau melihat gunung itu khusyuk serta pecah belah kerana takut kepada Allah. Dan (ingatlah), misal-misal perbandingan ini Kami kemukakan kepada umat manusia, supaya mereka memikirkannya,” (al-Hasyr [59:21])

Semoga pendakian ke Gua Hira’ dan tazkirah berkaitan bukit serta gunung ini menjadi sebab untuk kita terus membuka hati ‘meninggikan’ kalimah Allah dan melihat betapa kerdilnya diri ini.