Namun malangnya, bantuan yang dikongsi termasuk dalam dan luar negara itu dikatakan sering kali tidak diagihkan secara menyeluruh kerana lebih tertumpu kepada golongan penerima di negara tertentu sahaja, sekali gus didakwa berlakunya lambakan bantuan.

Justeru, dalam usaha memperluas bantuan agar tidak tertumpu kepada negara berhampiran, Islamic Aid Malaysia (IAM) mengambil langkah menjejaki umat Islam memerlukan di kawasan pedalaman Sri Lanka menerusi program Ziarah Korban Sri Lanka yang turut melibatkan kerjasama dengan Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).

Presidennya, Zawahir Abdullah berkata, pihaknya memilih daerah Kininiya, Trincolee, Sri Lanka kerana populasinya terdapat majoriti penduduk umat Islam, namun kurang mendapat perhatian mana-mana organisasi terutama dari luar sebelum ini.

“Kita dapati masih tidak banyak bantuan masuk ke Sri Lanka, jika ada pun lebih menyasarkan bantuan kepada penerima di sekitar pusat bandar atau tidak jauh dari itu.

“Dalam ziarah korban ini, kita mengenal pasti kawasan umat Islam paling sesuai dan sukarelawan IAM serta peserta perlu mengharungi perjalanan lebih tujuh jam menerusi jalan darat dari ibu negaranya, Colombo untuk ke kawasan bantuan.

“Kebanyakan penerima terdiri daripada keluarga miskin yang bekerja sebagai buruh kampung, petani dan nelayan.

“Kita berharap sumbangan ini dapat meringankan bebanan mereka dan pada masa sama menyempurnakan ibadah korban peserta kepada penerima yang benar-benar memerlukan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika mengikuti program Ziarah Korban Sri Lanka, baru-baru ini. Seramai 20 peserta yang terdiri daripada sukarelawan IAM, peserta korban dan media tempatan termasuk Utusan Malaysia menyertai program tersebut.

Pada program itu, sebanyak 130 haiwan korban termasuk lembu, kerbau dan kambing dikorbankan dan diagih kepada umat Islam di daerah tersebut.

PENGANJURAN SISTEMATIK

Dalam pada itu, pemandu dan penunjuk arah rombongan, Nizar Jamaldeen Mohamed berkata, penganjuran program ziarah korban itu dilihat antara yang terbaik berbanding penganjuran mana-mana pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain sebelum ini.

Beliau yang juga sukarelawan IAM berkata, ini kerana susun atur aktiviti program dan pelaksanaan ibadah korban tersusun rapi serta menepati perancangan.

“Malah, program secara bergotong royong bersama penduduk kampung juga secara tidak langsung mengumpulkan anak muda dari kampung berhampiran untuk hadir bersama, sekali gus mengeratkan hubungan antara mereka dan peserta IAM,” ujarnya.

Sementara itu, seorang peserta, Maimanah Noon, 72, berpuas hati dengan penganjuran program tersebut yang disifatkan berjaya menepati golongan memerlukan.

“Memang letih kerana perlu mengharungi perjalanan jauh tetapi ia berbaloi. Saya gembira melihat amanah yang diberikan peserta korban dari Malaysia dapat diagihkan secara terus kepada penerima,” katanya ketika ditemui.

Walaupun berkerusi roda, namun Maimanah yang lebih dikenali sebagai Bonda mengakui, memperoleh banyak pengalaman baharu sepanjang mengikuti rombongan bersama IAM selama lima hari itu.

“Rakyat Sri Lanka jauh berbeza dengan beberapa negara yang pernah bonda sertai sebelum ini, walaupun kita tahu mereka susah, tetapi mereka tidak suka meminta-minta sehinggalah kita mempelawa mereka.

“Walaupun hidup susah tetapi mereka juga benar-benar menjaga kebersihan terutama sekitar kawasan rumah, berbeza sekali dengan apa yang bonda bayangkan sebelum sampai ke sini,” jelasnya.