UKE: Dalam adat orang Melayu memang macam-macam pantang larang dikenakan kepada isteri yang hamil mahupun suaminya. Ada pantang larang yang boleh diikut dan ada yang hanya sekadar adat semata-mata dan tidak perlu diikut.

Islam menggalakkan kepada suami isteri agar banyak melakukan amalan-amalan baik seperti perbanyakkan membaca al-Quran dan bersolat sunat memohon kepada Allah agar dikurniakan anak yang sihat serta kesihatan yang baik kepada ibu dan anak.

Maka selagi mana yang dilakukan itu dibenarkan oleh syarak maka haruslah dilakukan oleh suami isteri itu dan mana yang haram, maka haramlah dikerjakan. Kenalah perhatikan adakah adat itu bercanggah atau tidak dengan hukum syarak. Kalau bercanggah maka abaikan sahaja adat-adat tersebut.

Berkenaan membunuh binatang berbisa yang mengancam keselamatan dan kalau dah betul membahayakan nyawa, kenapa tidak boleh dibunuh? Kalau boleh elak daripada dibunuh binatang itu maka itu pun bagus juga. Misalnya ular yang masuk ke dalam rumah. Kalau boleh dihalau atau ditangkap terlebih dahulu kerana ada peringatan daripada Nabi SAW berkenaan ular yang memasuki rumah.

Pertama, boleh dibunuh ular berbahaya yang berada di luar rumah kerana bisa dan bahayanya. Rasulullah SAW bersabda: “Bunuhlah ular berbisa dan yang pendek, sesungguhnya kedua-duanya dapat menghilangkan penglihatan mata dan menggugurkan kandungan.” (Muttafaq alaih).

Kedua, kita diperintahkan oleh Nabi SAW untuk menghalau ular terlebih dahulu dan jangan terus membunuhnya. Jika ular tersebut enggan keluar dari rumah, maka boleh kita membunuhnya. Nabi SAW bersabda: “Sesungguhnya rumah-rumah biasa ada ular yang masuk, maka jika engkau melihat salah satu ular tersebut, maka berilah peringatan terlebih dahulu sebanyak tiga kali. Dan jika ia pergi, maka itulah yang diharapkan. Dan jika ia enggan, maka bunuhlah, sesungguhnya ia adalah (syaitan) kafir.” (Hadis riwayat Muslim).

Orang Melayu selalu mengaitkan persoalan wanita hamil dengan istilah kenan. Takut kenan itu dan kenan ini. Maka saya nasihatkan agar sentiasalah suami isteri mengungkapkan istilah dan perbuatan yang baik kerana perkataan dan perbuatan juga
merupakan satu doa.

Sentiasalah berlintas di dalam hati, perasaan yang baik. Jangan ada lintasan yang tidak baik. Apa pun jika ada kesalahan, mohonlah ampun kepada Allah dan bermohon maaflah kepada orang yang kita berbuat salah kepadanya.

Tak pasti suami lafaz talak

Suami telah melafazkan taklik atau talak tiga kepada isteri dan isteri mendengar dengan jelas lafaz tersebut. Tetapi si isteri tidak tahu sama ada suami dalam keadaan sedar atau tidak pada masa itu kerana suami selalu mabuk kerana minum arak, namun di mahkamah suami bersumpah bahawa dia tidak pernah melafazkan talak itu. Jadi, mahkamah memutuskan bahawa talak tidak jatuh. Selepas beberapa bulan kemudian, mereka bercerai secara khuluk dan sekarang ingin berkahwin semula demi menjaga kebajikan anak. Adakah si isteri berdosa jika meneruskan perkahwinan tersebut dan apakah hukumnya menurut Islam? - Yang bertanya, Negeri Sembilan.


UKE: Apabila mahkamah memutuskan tidak jatuh talak, maka itulah keputusan yang patut diikuti. Apabila anda telah bercerai dengan cara khuluk dan jika ingin berkahwin semula dengan bekas suami anda itu, maka ia dibolehkan dengan cara akad nikah yang baharu.