Bagaimana anda tahu mengenai SEBENARNYA.MY?

Logo Kaji Selidik Pembaca

Bagaimana anda tahu mengenai SEBENARNYA.MY?

Bagaimana anda tahu mengenai SEBENARNYA.MY?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

Hotel 'mesra Muslim' dapat sambutan

PEMANDANGAN Klana Beach Resort dari pandangan sudut atas, sebelah 6
PEMANDANGAN Klana Beach Resort dari pandangan sudut atas, sebelah kanan ialah Kompleks Baitul Hilal, manakala sebelah kiri ialah hotel berkenaan.

SEJAK beroperasi pada 2011, Klana Beach Resort di Port Dickson, Negeri Sembilan terus mendapat sambutan pengunjung terutama yang memilih penginapan mengikut garis panduan Islam.

Dengan penyediaan makanan halal dan juga tanpa minuman keras dihidangkan, ternyata memberi kelebihan kepada hotel berkonsepkan ‘mesra Muslim’ ini.

Menurut Pengurusnya, Che Dzarudin Che Omar, cabaran mengendalikan hotel yang mematuhi tuntutan syarak adalah berbeza dengan hotel biasa lain.

Bagaimanapun, katanya, konsep tersebut telah dapat diterima dengan baik bukan sahaja oleh pelancong Muslim malah mereka yang bukan beragama Islam.

Tidak hairanlah apabila jumlah pengunjung semakin bertambah saban tahun terutama sekali melibatkan pelancong dari Singapura dan Indonesia.

“Memang cabaran yang kita hadapi adalah untuk menarik pelancong bukan Muslim, tetapi semakin ramai yang faham dengan konsep hotel ini. Mereka terima bahawa tiada minuman keras di sini.

“Mereka juga gembira apabila kita menghidangkan makanan halal kerana mereka tahu penyediaannya yang bersih dan dimasak dengan betul. Makanan halal ini memberi kelebihan kerana pengunjung berbilang agama boleh tinggal di hotel ini,” ujarnya ketika ditemui baru-baru ini.

Diberikan taraf sangat bersih oleh pihak Majlis Perbandaran Port Dickson dengan Gred ‘A’, hotel ini turut dianugerahkan IQS-3 Standard Kualiti Islam dari Universal Crescent Standard Centre (UCSC).

Hotel ini juga mendapat penarafan hotel tiga bintang bawah seliaan Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) dan Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (Jawhar).

Mengulas lanjut, Che Dzarudin berkata, walaupun berstatus hotel tiga bintang namun layanan dan tarikan di Klana Beach Resot adalah setanding di hotel lima bintang.

Ujarnya, ini sekali gus meletakkan hotel yang memiliki 82 bilik biasa dan tiga penginapan berkonsep apartmen itu antara 10 hotel terbaik dalam kawasan pelancongan di Port Dickson.

Sudah tentu antara tarikan utama di hotel ini terletak pada kemudahan balai cerap moden di Kompleks Baitul Hilal berdekatan hotel tersebut, yang memberi peluang pengunjung melihat sendiri fenomena cerapan cakerawala dan ilmu falak.

Di kubah utama kompleks tersebut menempatkan teleskop terbesar di negara ini berukuran 24 inci. Kemudahan melihat bintang dan cakerawala itu dibuka dari pukul 10.30 malam hingga 12 tengah malam.

Che Dzarudin yang berpengalaman kira-kira 34 tahun dalam bidang perhotelan berkata, balai cerap tersebut menarik kehadiran ramai pengunjung untuk menginap semula di hotel berkenaan dan menikmati peluang melihat cakerawala.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, hotel yang bernaung bawah MAINS itu merancang untuk melakukan kerja naik taraf dengan mengaplikasikan konsep astronomi di bilik-biliknya.

Ujarnya, ini antara lain melibatkan pengubahsuaian di bahagian dinding dan katil bagi menonjolkan imej futuristik sesuai dengan konsep yang ingin diterapkan.

Sementara itu, ujarnya, pihak pengurusan juga hotel tidak melupakan program kemasyarakatan dan amal pada setiap tahun dengan sumbangan kepada pihak yang memerlukan.

Ujarnya, setiap kali Ramadan, pihak hotel akan mendermakan RM2 bagi setiap pakej bufet yang dibayar pelanggan untuk disedekahkan kepada anak-anak yatim.

Ujarnya, bagi tahun ini, pihaknya telah menyerahkan sumbangan tersebut kepada Pertubuhan Kebajikan Anak-Anak Yatim & Miskin Negeri Sembilan (Peyakin) di Permai Kundur, Rembau baru-baru ini.

Artikel Berkaitan
Video Pilihan
Artikel Lain