Kami bersetuju dengan pandangan pakar rujuk maqasid syariah kontemporari, Dr. Jasser Auda, yang berpandangan, kebebasan beragama tidak termasuk bawah hifz al-Din, tetapi termasuk dalam ayat bermaksud ‘tiada paksaan dalam beragama’.

Tidak berlaku dalam mana-mana tempoh zaman pemerintahan Islam yang memaksa golongan bukan Islam untuk meninggalkan agama mereka atau menegah mereka daripada melaksanakan urusan syiar agama selagi tidak mengganggu dan memberi ancaman kepada umat Islam.

Ini menepati apa yang diperintahkan oleh Rasulullah SAW berkenaan penduduk Najran. Antara ucapan Baginda SAW maksudnya:

“..agar tidak diroboh biara mereka, tidak dikeluarkan atau dihalau pendeta dan paderi mereka serta tidak difitnahkan mereka atas agama mereka selama mana mereka tidak melakukan sesuatu yang menggugat keamanan…” - Riwayat Abu Daud

Profesor Syariah Islamiah dan anggota Majma’ Buhuth al-Azhar, Dr. Muhammad Syahat al-Jundi berkata: “Semua hak orang bukan Islam sama seperti hak orang Islam.”

Kebebasan beragama yang diangkat oleh Islam juga tidaklah bermakna Islam memelihara agama syirik dan kufur, namun kebebasan tersebut adalah bagi memelihara kesatuan masyarakat berbilang agama dan bangsa, sebagaimana amat ditekankan menerusi konsep fiqh at-taayush as-silmiy.

Kebebasan beragama dan menghormati hak penganut agama lain tidak bermakna memberikan layanan sama rata kepada setiap agama. Keadilan bererti memberikan hak kepada yang berhak pada kadar tepat.

Menurut Syeikh Abdul Qadir Audah, jika persamaan semuanya antara yang bersamaan maka itu adalah keadilan. Sebaliknya, jika persamaan semuanya berkhilaf dalam akidah, maka itu adalah kezaliman yang melampau. (Lihat al-Tasyri’ al-Jina’i fi al-Islam, 1/332).

Berdasarkan perbahasan ulama, kami berpandangan pemeliharaan kebebasan beragama boleh dianggap secara tidak langsung sebagai wasilah (landasan) untuk mencapai maqasid memelihara kesucian, keagungan dan kehormatan agama Islam.

Agama Islam dipandang mulia apabila meraikan kebebasan beragama dan suasana kebebasan beragama yang harmoni juga memberi persepsi positif dalam kalangan orang bukan Islam terhadap agama Islam.

IJTIHAD KONTEMPORARI

Menurut pandangan ulama kontemporari, konsep hifz al-Din tidak lagi sekadar terikat dengan tafsiran-tafsiran lama.

  • Allamah Ibn Asyur membahaskan bahawa konsep hifz al-Din perlu dikembangkan untuk mencakupi kebebasan beragama, dan menganggapnya satu daripada prinsip asas agama Islam (hurriyyah al-i’tiqad)
  • Syeikh Abdul Majid Najjar berpandangan, banyak hukum yang disyariatkan bagi memelihara haqq at-tadayyun (hak untuk beragama) iaitu bagi memudahkan manusia untuk beragama.
  • Syeikh Muhammad az-Zuhaily pula meletakkan haq at-Tadayyun sebagai satu daripada landasan ke arah mencapai hifz al-Din.
  • Selain itu, Dr. Jasser Auda turut menyebut perkataan ulama berkenaan konsep kebebasan beragama yang diletakkan bawah hifz al-Din, meskipun beliau sendiri tidak bersetuju dengan pembahagian tersebut.

Perbahasan tentang hifz al-Din ini timbul berikutan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Mujahid Yusof Rawa baru-baru ini menyatakan bahawa maqasid syariah hifz al-Din bukan bermaksud menjaga agama Islam sahaja, tetapi semua agama atas dasar Islam sebagai rahmatan lil alamin (rahmat ke seluruh alam).

Kami juga mengambil maklum penjelasan menteri yang merungkai kekeliruan dalam kalangan masyarakat awam bahawa beliau maksudkan, memelihara kebebasan beragama dan menjaga hak penganut agama lain untuk beragama secara aman damai sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Ini sekali gus menafikan dakwaan bahawa beliau mempromosi fahaman pluralisme yang menyamaratakan semua agama.

Untuk kenyataan penuh boleh layari di http://muftiwp.gov.my/ms/artikel/bayan-linnas/2529-bayan-linnas-142-maqasid-syari-ah-dan-hifz-al-din-satu-penjelasan.