Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Mohd. Azmi Abdul Hamid menegaskan bahawa tindakan tegas dan berkesan perlu diambil serta merta bagi menghentikan tindakan Presiden Syria, Bashar al-Assad itu, sekali gus mengembalikan keadilan kepada rakyat negara berkenaan.

“Situasi di Syria sudah sampai pada peringkat yang memerlukan campur tangan berterusan masyarakat antarabangsa, namun serangan Amerika Syarikat yang melancarkan 59 peluru berpandu Tomahawk ke atas Syria bukannya mampu menyelesaikan masalah, sebaliknya mengeruhkan lagi keadaan,” katanya.

Tambah Mohd. Azmi, masyarakat antarabangsa termasuk Malaysia bukan sahaja perlu mengutuk rejim Syria berkaitan kekejaman dan pelanggaran undang-undang antarabangsa, sebaliknya menekan rakannya Rusia dan Iran supaya menghentikan sokongan ke atas Bashar.

Katanya, kejadian sama iaitu penggunaan bahan kimia pernah berlaku di Damascus pada Ogos 2013 yang membunuh ratusan orang awam, namun tiada tindakan konkrit diambil terhadap Bashar.

“Sikap pasif masyarakat antarabangsa itu secara tidak langsung mengukuhkan rejim Bashar untuk menggunakan strategi sama seperti yang berlaku melalui kejadian terbaharu itu,” katanya.

 

KECEWA DENGAN MYANMAR

Dalam perkembangan berasingan, Mohd. Azmi berkata, penolakan Myanmar terhadap resolusi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) baru-baru ini mengenai penghantaran pasukan pencari fakta terhadap keganasan tentera negara berkenaan terhadap Rohingya sama sekali tidak boleh diterima.

Katanya, resolusi tersebut merupakan keputusan majoriti anggota Jawatankuasa Majlis Hak Asasi Manusia PBB (UNHRC) dan berasaskan penemuan banyak bukti berlakunya jenayah genosid yang dilakukan oleh tentera Myanmar.

Tegas beliau, masyarakat antarabangsa tidak boleh berkompromi dengan Myanmar kerana laporan penindasan dan penghapusan etnik terbukti berlaku dan negara itu cuba menyembunyikan hakikat berkenaan.

“Sepatutnya PBB sejak awal lagi perlu menghantar pasukan penyiasat kerana bukti keganasan tentera sangat jelas. Jika tidak berlaku penghapusan etnik kenapa Myanmar tidak membenarkan media untuk mendapat akses ke kawasan tragedi. Badan dunia itu tidak lagi memberi erti penubuhannya jika Myanmar terus dibiar menindas dan meneruskan genosid terhadap etnik Rohingya,” tegas Mohd. Azmi.