Mengikut perspektif sejarah, isu takfir lazimnya dikaitkan dengan tindakan ekstrem golongan Khawarij yang mengkafirkan para sahabat dan membunuh Sayidina Ali bin Abi Talib k.w. kerana dianggap tidak mengikut hukum Allah dan mengkafirkan sesiapa yang tidak sependirian dengan mereka selepas peperangan Siffin.

Isu takfir diheret ke gelanggang politik oleh golongan ini sejak awal tercetus perpecahan tersebut. Motif mereka adalah mendapat sokongan masyarakat dalam usaha menentang kerajaan yang dipimpin oleh Sayidina Ali.

Tindakan tersebut menyebabkan umat Islam berpecah-belah dan berpuak-puak. Rentetan daripada isu ini melahirkan pelbagai aliran ekstrem lain hingga ke hari ini.

Isu kafir mengkafir sebegini pada asasnya menimbulkan pelbagai fitnah yang membawa implikasi buruk kepada umat Islam. Masyarakat kelihatan begitu mudah dan terburu-buru menghukum kafir ke atas saudara seagama hanya kerana wujudnya percanggahan pendapat dengan mereka seolah-olah hanya sedikit sahaja kaum Muslimin yang berbaki di muka bumi ini.

Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Sesiapa solat seperti solat kita, berkiblatkan kiblat kita dan memakan sembelihan kita, maka dia adalah seorang Muslim yang dijamin oleh Allah dan Rasul-Nya. Maka janganlah kalian mengkhianati jaminan Allah itu,” - Riwayat Bukhari.

PERLUKAN KEBIJAKSANAAN

Amar makruf dan nahi mungkar perlu kepada hikmah (kebijaksanaan) dan peringatan yang baik. Jika ada yang perlu didebatkan sekalipun dilakukan dengan cara terbaik.

Allah SWT berfirman maksudnya: “Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad!) dengan hikmah (kebijaksanaan) dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau seru itu) dengan cara yang lebih baik,” (Surah al-Nahl : 125)

Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia yang bersidang pada 21 November 1984 telah membincangkan mengenai isu kafir mengkafir sesama orang Islam.

Mesyuarat membuat keputusan antaranya menasihati seluruh umat Islam agar tidak mempermain isu agama untuk meraih sokongan politik dan menghentikan isu kafir mengkafir ini dengan serta merta. Semua pihak termasuk media dilarang mensensasikan isu ini demi menjaga kesucian agama dan perpaduan umat Islam seluruhnya.

SEMUA MASUK SYURGA

Semua umat Islam masuk syurga. Hanya jalan kemasukan berbeza antara satu sama lain. Sesetengah masuk syurga tanpa hisab, sesetengahnya pula melalui hisab, syafaat nabi-nabi, malaikat dan rakan-rakan yang baik, bahkan ada yang masuk syurga dengan rahmat serta keampunan Allah SWT, yang terakhir sekali ada yang masuk syurga setelah sekian lama diazab.

Semua umat Islam terdiri daripada individu yang mengesakan Allah, mencintai Rasul dan sekurang-kurangnya paling minimum mengucap dua kalimah syahadah. Kayu ukur menjadi kafir adalah syirik dan menyekutukan Allah SWT. Sunah merakamkan, seorang Badwi berjumpa Rasulullah SAW dan bertanyakan Baginda yang bermaksud :

“Wahai Rasulullah, apakah perkara yang membawa kepada syurga atau neraka. Rasulullah SAW menjawab: Mereka yang mati tanpa menyekutukan Allah masuk syurga, mereka yang mati dengan menyekutukan Allah pasti masuk neraka,” - Riwayat Muslim.

Semua pihak perlu berhenti memainkan isu kafir mengkafir, bertindak lebih matang dan bersedia berbeza pandangan dengan tokoh-tokoh lain dalam menangani isu semasa.

PERLU MATANG

Parti politik mahupun mana-mana pertubuhan dan individu perlu mengambil pendekatan yang sederhana, bukan pendekatan menghukum dan mencela. Pendekatan muzakarah, dialog dan mesyuarat dalam menyelesaikan permasalahan, mencari titik persamaan ke arah merealisasikan perpaduan ummah.

Dalam konteks yang sama, kerajaan turut mengambil sikap yang positif dan demokratik dalam mencari penyelesaian, bersikap terbuka menerima kritikan dan menunjukkan kesungguhan menangani isu-isu yang dibangkitkan. Idea didebatkan dengan fikrah, bukan dengan kekerasan.

Semua pihak bertanggungjawab mempromosi persaudaraan Islam, bahkan persaudaraan sesama manusia. Setiap individu berusaha membaiki diri sendiri, tidak menuding jari mencari kesalahan orang lain, bertanggungjawab mengambil iktibar atas apa jua yang berlaku dan banyak berdoa ke arah kebaikan. Bersama membina negara.