Mereka bukan sekadar datang ‘biasa-biasa’ tetapi turut dibawa bersama sejumlah wang dan beberapa keperluan asasi lain untuk dikongsi bersama sekumpulan penduduk tidak bernasib baik di daerah yang 97 peratus beragama Islam itu.

Itulah hebatnya penangan ukhuwah atau persaudaraan Islam. Semua yang berkongsi kiblat dan melafazkan dua kalimah syahadah adalah bersaudara, langsung tiada perbezaan, meskipun mempunyai tona kulit pelbagai atau bahasa yang tidak mesra telinga.

Secara istilah, ukhuwah adalah kekuatan iman dikurniakan Allah kepada hamba-Nya yang beriman dan bertakwa, sekali gus menumbuhkan rasa kasih sayang, persaudaraan, kemuliaan dan rasa saling mempercayai terhadap saudara seakidah.

“Sesungguh­nya orang Mukmin adalah bersaudara. Oleh itu, damaikanlah kedua-dua saudaramu dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu mendapat rahmat.” (al-Hujurat:10)

Sabda Rasulullah SAW: “Perumpamaan Mukmin dalam sikap saling mencintai, mengasihi dan menyayangi, seumpama tubuh, jika satu anggota tubuh sakit, maka anggota tubuh lain akan susah tidur atau merasakan demam,” - Riwayat Muslim.

Sempena Aidiladha baru-baru ini, Islamic Aid Malaysia (IAM) bersama dengan Masjid Muhammadi Angkasapuri, Kuala Lumpur mengadakan Ziarah Korban ke Sri Lanka.

Dalam ziarah korban IAM memasuki tahun kedua di negara terkenal dengan produk teh itu, sebanyak 94 ekor haiwan ternakan dikorbankan termasuk yang disumbangkan oleh jemaah masjid itu dan rakyat negara ini.

Ia termasuk empat ekor kambing dan seekor lembu untuk ibadat akikah. Hasil sembelihan diagihkan kepada masjid dan madrasah sekitar daerah Kinniya yang terletak dalam wilayah Trincomalee. Kira-kira 5,000 penduduk miskin mendapat manfaat daripadanya.

Ziarah itu lebih manis apabila turut disertai 54 peserta yang majoriti daripadanya turut menyertai ibadat korban itu.

Antara kelebihannya ialah peserta boleh menyaksikan haiwan yang dikorbankan, mengagihkan daging kepada penduduk dan turut diberikan peluang menyembelih haiwan ternakan.

Mengulas lanjut, Rohani yang juga Ahli Jawatankuasa masjid itu berkata, antara perkara yang tidak dapat dilupakan semasa mengagihkan daging korban dan bantuan lain ialah apabila dapat melihat anak-anak mata penerima.

“Kami amat terharu, anak-anak mata mereka memberikan seribu makna yang sukar untuk digambarkan. Kami amat bersyukur kerana dapat melihat sendiri proses ibadat korban bermula daripada peringkat awal iaitu sembelih sehingga daging diagihkan kepada kumpulan sasar.

“Kami juga beruntung kerana turut dihidangkan dengan hidangan ringkas menu tempatan hasil daripada daging korban oleh penduduk setempat. Apa yang menarik, hidangan itu dimakan secara dalam talam,” katanya.

Kerjasama hebat jemaah masjid

Pengerusi Masjid Muhammadi Angkasapuri, Datuk Che Azemi Haron yang juga bekas Timbalan Ketua Setiausaha (Operasi), Kementerian Komunikasi dan Multimedia merakamkan kesyukuran kerana mempunyai para jemaah yang begitu prihatin dengan nasib saudara seagama yang tidak bernasib baik.

“Alhamdulillah aktiviti kami bukan terhad kepada maslahat setempat sahaja tetapi turut melangkaui ke kawasan lain.

“Contohnya semasa banjir besar di Kelantan beberapa tahun lalu, jemaah masjid bergotong royong menghulurkan bantuan termasuk membersihkan kawasan masjid dan sekolah yang terjejas teruk.

“Mereka amat proaktif dan bukannya bermusim, ini kerana setiap kali berakhirnya sesuatu program komuniti yang dianjurkan, mereka akan terus merancang untuk mengadakan program kemasyarakatan baharu,” katanya.

Peluang tambah saham akhirat

Presiden IAM, Zawahir Abdullah berkata, dalam ziarah berkenaan pihaknya turut membawa peserta melawat projek pembinaan telaga pam manual dan semimanual.

“Sejak memulakan bantuan kemanusiaan di Sri Lanka tiga tahun lalu, IAM telah membina hampir 100 unit telaga secara keseluruhannya, di mana 90 unit daripadanya adalah telaga manual dan 10 unit lagi yang menggunakan pam air elektrik.

“Jenis-jenis telaga yang dibina bergantung kepada kesesuaian penerima bantuan yang mana telaga elektrik di bina khusus untuk rumah warga emas yang sudah tidak berupaya menggunakan pam manual bagi tujuan mendapatkan air.

“Kos untuk satu telaga pam tidaklah terlalu mahal, tidak sampai RM1,000.

“Penderma boleh mewakafkan telaga ini untuk penduduk dan ganjaran daripada ibadat wakaf amat besar, pahalanya akan terus mengalir masuk ke ‘akaun’ pewakaf selagi ia dimanfaatkan, meskipun pewakaf itu telah meninggal dunia,” katanya.

Sekolah perlukan bantuan

IAM turut membawa peserta melawat Rouzathul Hafizath Girls’ Arabic College, iaitu sebuah sekolah yang dikhususkan untuk pelajar perempuan terdiri daripada anak-anak yatim dan miskin yang terletak di Kampung Arai Acre, Kinniya.

Tapak sekolah seluas kira-kira 0.6 hektar itu diwakafkan oleh keluarga pengetua sekolah berkenaan, Mohamed Ali Mohamed Moujooth.

Pada peringkat awal sekolah yang diiktiraf oleh kerajaan Sri Lanka tetapi tidak mendapat bantuan prasarana itu hanya bermula dengan sebuah kelas sahaja. Sejak memulakan misi kemanusiaan di Sri Lanka kira-kira tiga tahun lalu, IAM melalui sumbangan penderma membantu membina kemudahan sekolah berkenaan.

Pada masa ini, sekolah yang mempunyai 120 pelajar dengan 80 orang daripadanya tinggal di asrama mampu berbangga apabila memiliki tiga buah bangunan termasuk pejabat, masjid dan asrama kediaman.

Selain itu, IAM turut menyumbang barangan untuk tujuan pembelajaran seperti al-Quran, sejadah dan telekung untuk anak-anak yatim dan miskin yang belajar dan tinggal di sekolah tersebut.