Haruman mawar adalah satu daripada bahan yang banyak digunakan dalam tamadun Islam sebagai wangian. Spesies bunga mawar yang dikenali sebagai Mawar Damsyik atau Damascene Rose adalah spesies bunga mawar yang menghasilkan haruman paling berkualiti. Terdapat lebih daripada 7,000 spesies mawar di seluruh dunia namun begitu hanya beberapa spesies mawar sahaja sesuai digunakan sebagai haruman berkualiti tinggi.

Haruman mawar tersebar ke seluruh dunia dalam bentuk air mawar. Ia bersifat jernih tetapi mempunyai bau haruman yang sangat kuat.

Teknik ekstrak haruman mawar ini dikatakan berkembang di Iran. Teknik ini kemudiannya diperhalusi cendekiawan Islam terkenal iaitu Ibnu Sinna.

Walaupun beliau lebih dikenali dengan sumbangan dalam dunia perubatan tetapi beliau juga adalah seorang ahli kimia terbaik. Teknik yang diperhalusi beliau digunakan secara meluas dalam industri pembuatan wangian.

Haruman mawar diperkenal ke Barat oleh seorang tentera Salib dalam sekitar abad ke-12 yang membawa haruman ini pulang ke Eropah daripada Syria.

Haruman bunga mawar menjadi bahan utama dalam masakan di Barat selepas diperkenal di sana sehingga abad ke-19 apabila vanila mula diperkenal ke dalam dunia haruman.

Di Bulgaria, satu auns air mawar yang dihasilkan dari Mawar Damsyik lebih mahal daripada harga satu auns emas tulen. Ia dipanggil sebagai Emas Cecair Bulgaria sehingga ke hari ini.

Penggunaan air mawar yang kerap dalam kalangan bangsawan di empayar Islam di India dan Parsi telah memperlihat perkembangan seni pembuatan bekas renjisan air mawar daripada pelbagai bahan dan bentuk. Bentuk asas tempat merenjis air mawar ini mempunyai bentuk bebawang di bahagian bawahnya dan bahagian lehernya yang tinggi serta mulut yang kecil.

Bekas ini digunakan khas untuk menyimpan air mawar dan ia senang dibawa ke tempat mandian.

Bekas merenjis air mawar seperti ini juga turut digunakan dalam masyarakat Melayu terutama dalam majlis perkahwinan bagi meraikan pengantin. Kebanyakan bekas merenjis air mawar ini diperbuat daripada logam sama ada perak atau tembaga.

Selain daripada dijadikan air mandian dan digunakan dalam masakan, haruman mawar juga digunakan dalam pembuatan kosmetik seperti minyak wangi dan krim pelembap. Air mawar turut digunakan sebagai wangian Kaabah selepas kerja-kerja pembersihan yang dijalankan oleh kerabat diraja Arab Saudi terutama ketika musim haji.

Haruman mawar boleh diperoleh dalam bentuk cecair, putik bunga dan kelopak bunga kering yang dijual di pasar terutama di kawasan Asia Barat dan Mediteranean.

Manisan Asia Barat yang paling banyak menggunakan haruman mawar ialah bakhlava yang mempunyai pelbagai variasi bentuk dan rasa.