Bapa ini dijatuhkan hukuman sedemikian bagi 623 kesalahan merogol, meliwat dan mencabul kehormatan anak perempuannya sendiri.

Jika dilihat kepada peruntukan Kanun Keseksaan mengenai kesalahan sumbang mahram ialah mengadakan hubungan seksual dengan seseorang yang haram berkahwin dengannya atau orang yang ada pertalian darah atau perkahwinan yang mana perkahwinan adalah terlarang.

Kesalahan ini membawa hukuman tidak kurang dari 10 tahun dan tidak lebih dari 30 tahun penjara serta sebat bagi setiap kesalahan. Apa yang dikenakan ke atas bapa berusia 36 tahun ini sangat sedikit jika hendak dibandingkan dengan kesalahan yang dilakukan terhadap anaknya sendiri.

Perbuatan mencabul kehormatan, meliwat dan merogol adalah kategori yang sama dan sangat dibenci Allah SWT. Menurut pendapat fuqaha mazhab Syafie, dalam kitab Fiqh al-Manhaj menyebut: “Liwat adalah persetubuhan pada dubur, baik yang disetubuhi itu lelaki mahupun perempuan”.

HUKUMAN BERAT BAGI KESALAHAN SERIUS

Menurut pendapat yang sahih, hukum perbuatan ini ialah zina bagi pelaku sekiranya wujud bukti dan pengakuan. Sekiranya pelaku seorang muhsan (lelaki atau perempuan yang pernah berkahwin dengan nikah yang sah dan terpelihara daripada zina), dia akan direjam hingga mati.

Sekiranya pelaku bukan muhsan, dia akan disebat sebanyak 100 kali sebatan dan dibuang negeri selama setahun. Jika dilihat daripada kes lelaki itu, jelas ada hukuman yang berat bagi kesalahan tersebut.

Islam melarang keras zina 
seperti dalam ayat al-Quran 
yang bermaksud:

* “Dan janganlah kamu menghampiri zina. Sesungguhnya zina itu ialah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan),” (Surah al-Isra’ 17:32).

* “Patutkah kamu melakukan perbuatan keji, yang tidak pernah dilakukan oleh seorang pun daripada penduduk alam ini sebelum kamu?” (Surah al-A’raf 7:80)

* Dalam sebuah hadis dinyatakan “Apabila seorang lelaki mendatangi seorang lelaki, mereka berdua adalah penzina,” - Riwayat Baihaqi, jilid 8, halaman 233).

* “Sesiapa yang kamu temui mengamalkan amalan kaum Nabi Lut, hendaklah bunuh pelaku dan yang diperlaku,” - Riwayat Tirmizi, nombor 1456, Abu Daud nombor 4462 dan Ibn Majah nombor 2561).

Daripada semua ayat al-Quran dan hadis itu, peliwat adalah penzina dan jika dia seorang muhsan maka hendaklah direjam sehingga mati. Dalam kes seorang bapa meliwat anaknya sendiri dan daripada laporan akhbar, perbuatan itu dilakukan ketika berada di Mekah menunaikan umrah, bapa ini layak dihukum rejam hingga mati!

HUKUMAN TIDAK CUKUP BERAT

Walaupun mahkamah syariah mempunyai bidang kuasa dalam kes jenayah syariah seperti liwat dan sumbang mahram, namun hukumannya sangat terhad kepada tiga tahun penjara, RM5,000 denda dan sebatan enam kali.

Dengan demikian, kes telah dibawa bawah peruntukan Kanun Keseksaan yang membawa hukuman lebih berat tetapi masih tidak cukup berat!

Bagi saya seorang lelaki dipanggil ayah yang sepatutnya menjadi ‘pelindung’ kepada anaknya mesti dihukum penjara seumur hidup atau dihukum dengan hukuman mati kerana perbuatan kepada anaknya sendiri seperti membunuh kehidupan anak tersebut.

Anak tersebut perlu mengutip kedamaian daripada sisa-sisa kehidupan yang dia ada.

Dalam satu kes lagi pada 25 Ogos 2017 seorang lelaki yang merakamkan perbuatannya merogol anak perempuan tirinya berumur 14 tahun dijatuhkan hukuman penjara 20 tahun dan 15 kali sebatan.

PENYUMBANG TERTINGGI

Berdasarkan statistik dikeluarkan Bahagian Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Bukit Aman, kesalahan sumbang mahram membabitkan bapa kandung ‘menyumbang’ kes tertinggi apabila mencatatkan 341 kes sejak 2011 hingga 2015.

* Daripada jumlah itu, kes tertinggi dicatatkan pada 2014 apabila 84 kes memperkosa anak dilaporkan kepada polis diikuti 53 kes pada 2013.

* Selain itu, 312 kes perkosa anak tiri dilaporkan kepada polis sepanjang tempoh lima tahun lalu dengan angka tertinggi dicatatkan pada 2014 (79 kes).

* Majoriti mangsa, pelajar peringkat menengah rendah berusia antara 13 hingga 15 tahun.

Mahkamah khas yang baru ditubuhkan oleh kerajaan bagi menjalankan perbicaraan bagi kes-kes seksual di mana mangsanya adalah kanak-kanak adalah satu inisiatif kerajaan yang sangat baik dan menunjukkan keprihatinan kerajaan kepada kanak-kanak yang menjadi mangsa kes-kes seperti ini.

Kanak-kanak adalah amanah Allah kepada kita. Sayangi mereka dan lindungi mereka.