Bukan saja menahan lapar dahaga, malah juga mengekang hawa nafsu daripada merajai jiwa. Disiplin yang dipupuk oleh madrasah Ramadan ini amat kental kerana umat Islam bukan hanya berpuasa di hadapan orang tetapi juga apabila bersendirian. Inilah kejayaan Islam mendidik peribadi mulia dan amanah.

Manifestasi kemuliaan Ramadan dapat dilihat dari sudut amalan umat Islam seperti bersolat tarawih, bersedekah, bertadarus al-Quran dan banyak lagi. Hampir sebulan mengikuti institusi Ramadan, kini tiba pula masa untuk meraikan Aidilfitri.

Jelas kegirangan dan kegembiraan tersemat dalam hati Muslimin dan Muslimat sekalian kerana kemenangan pada hari yang mulia ini. Pelbagai persiapan diadakan bagi menyambutnya. Pada kebiasaannya, kanak-kanak yang paling gembira ketika hari raya.

Bagi yang merayakan Aidilfitri tanpa orang tersayang, perayaan ini masih tetap diteruskan memandangkan ia adalah tuntutan syarak. Namun sudah tentulah kehibaan di jiwa tidak dapat dielakkan semasa menyambut Aidilfitri.

GOLONGAN KECUNDANG

Dari segi bahasanya, Aidilfitri bermakna kembali kepada fitrah. Kita sebenarnya kembali kepada fitrah iaitu suci dan bebas daripada dosa. Tatkala Aidilfitri, umat Islam suci daripada dosa kerana madrasah Ramadan telah membersihkan segala dosa kita.

Namun tidak kurang juga yang kecundang dan gagal mendapat pengiktirafan daripada madrasah Ramadan ini apabila mereka kembali kepada sikap negatif yang diamalkan sebelum Ramadan.

Mereka kembali kepada kehidupan penuh dosa dan menindas golongan lemah, makan makanan yang tidak tentu halal dan daripada sumber meragukan. Golongan ini adalah golongan yang sangat rugi kerana tidak mengambil iktibar daripada ajaran Allah.

Pada hari kemenangan ini, jangan dilupakan golongan yang tidak bernasib baik. Semangat persaudaraan Islam mesti diutamakan, di samping mengeratkan silaturahim sesama umat Islam. Golongan kurang bernasib baik ini juga berhak merayakan Aidilfitri seadanya.

AIDILFITRI ADALAH IBADAH

Aidilfitri bukanlah semata-mata suatu adat, tetapi lebih kepada ibadat berasaskan sumber hukum yang jelas. Oleh kerana ia adalah ibadat, hari besar ini wajar dipenuhi dengan ibadat yang dituntut Allah. Ia tidak hanya ziarah menziarahi, tetapi mengeratkan silaturahim, ia tidak hanya berborak-borak, tetapi menegakkan syiar dan dakwah Islamiah. Ia bukan juga hanya menyanyi kegembiraan, tetapi menambah zikir dan takbir kepada Yang Maha Esa.

Pemborosan dan pembaziran semata-mata bagi menyambut Aidilfitri sebenarnya adalah tergelincir daripada apa dianjurkan Islam. Islam menggalakkan umatnya merayakan hari kemenangan ini, tetapi dalam sukatan dan kadar tidak menjurus kepada pembaziran. Alangkah baiknya jika wang lebihan itu digunakan bagi manfaat perjuangan Islam dan membantu golongan memerlukan.

Ramai juga dalam kalangan umat Islam tidak mahu keluar rumah mengunjungi sanak saudara. Hal sedemikian seolah-olah menjadi budaya masyarakat Islam di Malaysia. Ia berlaku kerana umat Islam khususnya muda mudi menumpukan perhatian kepada rancangan hiburan yang disediakan.

Saya tidak mengatakan hiburan patut diharamkan pada hari raya, tetapi rancangan disajikan itu hendaklah tidak menghakis semangat hari raya itu sendiri. Apatah lagi apabila rancangan itu pula disiarkan pada waktu prima oleh media arus perdana menarik perhatian segenap lapisan masyarakat.

Seperti lazimnya, Syawal akan dipenuhi program rumah terbuka yang menyajikan pelbagai juadah dan makanan. Adakalanya sehinggakan kita tidak dapat memenuhi jemputan yang datang.

Dari sudut pembaziran makanan pun sudah cukup menyedihkan, apatah lagi jika dikaji kesan produktiviti, betapa lama masa yang diluangkan menghadiri majlis berkenaan. Saya tidak berhasrat menyanggah apa yang telah dilakukan sekian lama ataupun menyarankan ia diberhentikan, tetapi biarlah dalam semua tindakan itu dibuat dengan berpada-pada dan tidak disifatkan sebagai suatu pembaziran.

JANGAN ABAI KEPERLUAN ROHANI

Malah, oleh kerana terlalu banyak rumah terbuka meraikan Aidilfitri, adakalanya kita tidak berkesempatan menunaikan tuntutan agama seperti berpuasa enam. Berpuasa enam hari pada Syawal amatlah dituntut dalam Islam.

Dalam keghairahan meraikan Aidilfitri, sewajarnya kita merenung sejenak apakah kita akan berjumpa lagi Ramadan akan datang? Apakah pula persiapan kita menemui Tuhan Maha Pencipta? Kebeningan Ramadan sudah pasti dirindui dan syahdunya menunggu Ramadan tahun hadapan. Tiada janji pasti kita akan bertemunya lagi. Segala-galanya terserah kepada qada’ dan qadar-Nya.

Ramadan tahun ini terlalu banyak dugaannya sehingga ramai yang tidak dapat menumpukan kepada ibadat berpuasa. Isu Pilihan Raya Umum ke-14 masih mendominasi minda dan kelakuan ramai, adakalanya akhlak serta tertib dipinggirkan.

Bukanlah kita tidak boleh berseronok meraikan Aidilfitri tetapi tujuan utama untuk mengabdikan diri kepada Allah janganlah dikesampingkan.