Begitulah kata Imam Masjid al-Noor, Granville, Australia, Syeikh Omar El-Banna, bagi menggambarkan realiti kehidupan manusia termasuk umat Islam jika diberi peluang mendapatkan sesuatu kelebihan dalam bentuk fizikal.

Namun, pendakwah antarabangsa itu berkata, malangnya perkara itu membuatkan manusia terlupa hakikatnya bukan makhluk yang menyempurnakan segala hajat sebaliknya terdapat kuasa lebih besar mengizinkan sesuatu perkara itu sama ada tercapai atau tidak iaitu Allah SWT.

“Bayangkan jika kita dipanggil dan sedang berada di hadapan Perdana Menteri untuk mengadu kesusahan, adakah kita akan sibuk melakukan perkara lain seperti melihat persekitaran atau leka dengan apa yang berlaku di sekeliling?

“Pastinya tidak. Tetapi kita sebolehnya akan memberi sepenuh tumpuan sepanjang berhadapan pemimpin tersebut tanpa menghiraukan perkara lain. Ini kerana, kita bimbang akan disenarai hitam dan mungkin tidak akan dipanggil lagi.

“Mengapa? Kerana kita adalah orang yang bodoh, diberi kesempatan tetapi tidak memanfaatkannya, malah sibuk dengan urusan lain,” katanya dalam satu ceramah umum yang diadakan.

Sebaliknya Omar berkata, cuba fikirkan kembali bagaimana ketika kita menghadap Allah dalam solat lima waktu.

“Saya percaya lebih 90 peratus umat Islam sering berkhayal ketika solat. Kita sering memikirkan pelbagai urusan dalam solat walaupun kurang dari lima minit melaksanakannya. Sesungguhnya Allah mengetahui apa yang kita fikirkan.

“Namun, Dia masih mengurniakan kepada kita rezeki melimpah ruah, isteri, suami dan anak-anak sehingga menyibukkan kita dengan nikmat tersebut. Allah tidak pernah menyenaraihitamkan kita, sebaliknya sentiasa membuka peluang agar sentiasa berdoa memohon dan bertaubat kepada-Nya,” ujarnya.

Memiliki Ijazah Kejuruteraan di Universiti Amerika di Cairo, Mesir, Omar turut memegang ijazah dalam Fakulti Syariah di Universiti al-Azhar, Mesir. Selain aktif menyebarkan dakwah menerusi saluran media, beliau juga telah menjelajah pelbagai negara selama lebih 15 tahun menyampaikan ajaran Islam.

Justeru, tambah beliau, umat Islam perlu cuba memperbaiki hubungan dan komunikasi ketika berhadapan Allah dengan berusaha mencari khusyuk ketika menunaikan solat.

Sebagaimana firman Allah bermaksud: “Sesungguhnya berjaya (beruntunglah) orang-orang yang beriman. Iaitu orang yang khusyuk dalam solatnya”. (al-Mukminun : 1-2)

“Untuk mencapai khusyuk kita perlu tahu di hadapan siapa kita berdiri, dengan siapa kita berbicara, apa yang kita ucapkan. Semua perasaan ini perlu datang daripada dalam diri kita, semakin banyak rasa ini hadir, maka semakin baik solat kita.

“Tetapi jika lemah perasaan ini, maka semakin lemah juga kualiti solat kita. Ramai dalam kalangan kita yang berkhayal ketika solat, malah tidak terfikir pun apa yang sepatutnya kita fikirkan sebaliknya memikirkan perkara yang tidak perlu difikirkan.

“Mengapa ini berlaku, kerana tiada keinginan untuk memberi sepenuh tumpuan, tiada konsentrasi dan tidak tahu bagaimana ingin mencari kekhusyukkan ini,” jelasnya.

Omar berkata, kesempatan bertemu dengan Allah dalam solat perlu dihayati sepenuhnya kerana tiada batasan antara orang yang melaksanakan ibadah tersebut dengan raja segala raja itu.

“Sedarlah, Allah tidak memerlukan kita, sebaliknya kita yang memerlukan-Nya. Dia tidak perlu kepada ibadah kita, tidak perlu khusyuk dan Allah tidak menunggu ibadah kita. Kerajaan dan kekuasaan Allah tidak pernah berkurangan atau bertambah sedikit pun dengan zikir atau ibadah yang kita lakukan.

“Sebaliknya kita memerlukan Allah dalam setiap ketika. Sepatutnya kita berbangga kerana Allah memberi kita kesempatan untuk berkomunikasi dengan-Nya. Ini mengapa ulama berkata, sesiapa yang ingin berbicara dengan Allah, maka bersolatlah,” ujarnya.