Benar! Air adalah nikmat pinjaman Allah pada kita. Semuanya bergantung mutlak pada kuasa Allah. Jika Allah tidak mencipta atau mengarahkan air bekerja untuk kegunaan manusia, sudah pasti manusia akan mati kering tak bernyawa.

Antara kronologi air 
dalam al-Quran:

  • Bermula daripada penciptaan molekul air seawal penciptaan alam (Hud 11:7 dan al-Anbiya’ 21:30)
  • Penyimpanannya dalam stor udara atau awan (al-Nur 24:43)
  • Pergerakan awan dengan tiupan angin ke tanah gersang (Fatir 35:9)
  • Penurunannya ke bumi sebagai tanda limpahan rahmat Allah (al-Syura 42:28 dan al-Waqi’ah 56:68-70)
  • Penyempurnaan nikmat makhluk bumi sebagai keperluan minum (al-Nahl 16:10 dan al Furqan 25:48-49)
  • Penyimpanannya dalam bumi (al-Mu’minun 23:18)
  • Pengalirannya menjadi sungai dan laut (Ibrahim 14:32)

PELBAGAI CERITA AIR

1. Baru-baru ini saya pulang ke kampung bapa mentua dan seperti biasa ‘lagu sumbang’ masalah air terus menjadi dendangan penduduk kampung. Berbagai-bagai cara dilakukan mereka untuk mengatasi masalah air yang seakan-akan tiada noktah muktamad.

Antara kaedah paling banyak digunakan adalah ‘underground water boring’ atau telaga tiub bawah tanah. Menurut bapa mentua saya, kaedah ini punyai hasil yang berbeza. Untung nasib, air yang ditemukan bagus kualiti dan kuat tekanannya. Rugi nasib, air yang ditemukan keruh dan berbau busuk.

Rumah bapa mentua saya agak bernasib baik kerana air yang ditemukan mempunyai kualiti tinggi. Ketika krisis air memuncak, jiran tetangga terpaksa menumpang tangki air rumah bapa mentua. Masa berjam-jam diambil untuk menarik air bawah tanah dengan pam air kami ke dalam tangki mereka.

Alhamdulillah, bapa mentua saya orang beragama. Selepas pencen, hidupnya banyak dihabiskan dengan ibadah dan tadabbur al-Quran. Ketika berhikayat tentang masalah air, beliau mengingatkan saya:

“Alhamdulillah, Allah beri kita air bersih yang baik kualiti. Kita tak boleh kedekut berkongsi nikmat ini dengan orang lain kerana kalau Allah nak, Dia boleh hilangkan terus air kita bak firman-Nya dalam surah al-Mulk.”

Fikiran saya lantas teringat ayat tersebut:

“Katakanlah lagi: Bagaimana fikiran kamu, sekiranya air kamu hilang lenyap (ditelan bumi), maka siapakah (selain Allah) yang dapat mendatangkan kepada kamu air yang sentiasa terpancar mengalir?” (al-Mulk 67:30).

Usaha bapa mentua saya yang memanjangkan nikmat air kepada jiran tetangga termasuk sedekah yang disarankan oleh Rasulullah SAW ini:

“Abu Dhar r.a. berkata Rasulullah SAW bersabda: “Senyumanmu pada wajah saudaramu adalah suatu sedekah untukmu, menyuruh yang baik serta mencegah yang mungkar juga sedekah untukmu, menunjuk jalan kepada lelaki yang tersesat juga sedekah untukmu, engkau melihat (memimpin) bagi pihak orang yang rabun (buta) juga sedekah untukmu, engkau membuang batu, duri dan tulang di jalanan juga sedekah untukmu, engkau menuang air dari timbamu ke dalam timba saudaramu juga sedekah untukmu,” - Sunan Tirmizi dan Sahih Ibn Hibban.

2. Selain itu, kisah air hilang ditelan bumi pernah berlaku kepada pemilik kebun yang sombong lagi kufur kepada Allah. Ia adalah kisah persahabatan dua lelaki yang berbeza taraf iman dan harta. Si kaya yang kufur berbicara dengan angkuh tentang pelbagai aset miliknya termasuklah sungai yang mengalir deras di celah ladangnya. Temannya yang soleh menegurnya agar kenal Tuhan sebagai Pemilik sebenar segala harta dan sungai itu. Lantas Allah sebagai Pemilik air, menyedut air sungai ladang si kaya ke dalam tanah:

“(Temannya yang soleh berkata) Maka mudah-mudahan Tuhanku akan mengurniakan daku lebih baik daripada kebunmu, dan (aku bimbang) dia akan menimpakannya dengan bala, bencana dari langit, sehinggalah menjadilah kebunmu itu tanah yang licin tandus ataupun air kebun itu akan menjadi kering ditelan bumi, maka dengan yang demikian, engkau tidak akan dapat mencarinya lagi”. Dan segala tanaman serta harta bendanya itu pun dibinasakan, lalu dia membalik-balikkan kedua-dua tapak tangannya (kerana menyesal) terhadap segala perbelanjaan yang telah dibelanjakannya pada kebunnya, sedang kebun itu runtuh junjung tanamannya; sambil dia berkata: “Alangkah baiknya kalau aku tidak sekutukan sesuatu pun dengan Tuhanku!” (al-Kahf 18:40-42).


SEDEKAH BERGANTI PAHALA

Seolah-olah bapa mentua saya ingin nyatakan sedekah air yang dipanjangkan kepada jiran tetangga menjadi sebab air keluarga kami baik kualitinya. Ini kerana sedekah yang ikhlas kepada Allah pasti berganti pahala atau nikmat sedia ada:

“Katakanlah (wahai Muhammad): “Sesungguhnya Tuhanku memewahkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya antara hamba-Nya, dan Dia juga yang menyempitkan baginya; dan apa sahaja yang kamu dermakan maka Allah akan menggantikannya; dan Dialah jua sebaik-baik pemberi rezeki,“ (Saba’ [34:39]).

Perihal sedekah mengundang limpahan air disebut sebuah hadis lain yang sangat ajaib kisahnya:

“Abu Hurairah r.a. meriwayatkan Nabi SAW pernah bersabda: “(Pada suatu hari) ketika seorang lelaki berada di sebuah tanah lapang yang sunyi, dia terdengar satu suara dari awan, “Siramlah air (hujan) kepada kebun si Fulan itu!” Awan itu pun bergerak lalu mencurahkan airnya pada sebidang tanah yang berbatu hitam. Saluran air pada tanah tersebut kemudiannya menampung semua curahan air hujan (dan mengalirkannya ke suatu arah). Lelaki itu mengikuti aliran air tersebut dan menemui seorang petani yang berdiri di kebunnya sedang mengubah aliran air dengan cangkulnya. Lelaki itu bertanya, “Wahai hamba Allah, siapa namamu?” Petani itu menjawab, “Nama saya Fulan” iaitu nama yang baru didengarnya dari angkasa. Si petani bertanya kepadanya, “Wahai hamba Allah, mengapa anda tanyakan nama saya?”

Lelaki itu menjawab, “Sebenarnya, sebentar tadi saya dengar satu suara dari awan yang baharu menurunkan air ini. Suara itu berkata, “Siramilah air pada kebun si Fulan!” menyebut nama Anda. Apa yang Anda buat dengan kebun ini?” Petani itu berkata, “Jika begitu katamu. Sebenarnya, saya selalu perhatikan apa yang keluar dari kebun ini, lalu saya sedekahkan 1/3 daripadanya, 1/3 berikutnya saya makan bersama keluarga saya, dan 1/3 lagi saya kembalikan (untuk modal cucuk tanam),”- Sahih Muslim.

Sungguh! Sedekah adalah baja harta:

“Abu Hurairah r.a. meriwayatkan Rasulullah SAW bersabda: “Sedekah yang diberi tidak akan mengurangkan harta (kerana ia menambah pahala dan keberkatan harta). Hamba Allah yang pemaaf akan bertambah mulia (di dunia pada mata manusia dan di akhirat dengan ganjaran syurga). Sesiapa yang merendah diri kepada Allah akan diangkat (darjatnya) oleh Allah (di dunia pada mata manusia dan di akhirat dengan ganjaran syurga),” - Sahih Muslim.

Apa lagi ditunggu? Jom bersedekah!