Bagaimana anda tahu mengenai SEBENARNYA.MY?

Logo Kaji Selidik Pembaca

Bagaimana anda tahu mengenai SEBENARNYA.MY?

Bagaimana anda tahu mengenai SEBENARNYA.MY?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

Hargai nikmat kemerdekaan, kebebasan

KEMUDAHAN perkhidmatan MRT antara nikmat kemerdekaan negara yang 3
KEMUDAHAN perkhidmatan MRT antara nikmat kemerdekaan negara yang wajib dihargai oleh rakyat negara ini.

SEMALAM seluruh rakyat Malaysia menyambut ulang tahun kemerdekaan negara pada tanggal 31 Ogos kemudian disusuli pula dengan sambutan Hari Malaysia pada 16 September ini. Tarikh keramat saban tahun diraikan ini adalah satu nikmat terbesar yang wajib disyukuri dan dihayati.

Penghayatannya perlu ditonjolkan bukan setakat melalui perbuatan malah dijiwai berdasarkan landasan syariat digariskan Allah SWT dan dilaksanakan oleh Rasulullah SAW sebagai satu model yang lengkap dan sempurna.

Islam pada hakikatnya ialah agama pembebasan dan kemerdekaan. Kemerdekaan bagi seorang Muslim bermaksud dia bebas merdeka apabila mengisytiharkan pengabdian hakiki kepada Allah SWT.

Merdekanya manusia daripada syirik kepada hanya mengesakan Allah SWT. Merdekanya manusia daripada menjadi tawanan hawa nafsu kepada pengabdian hanya untuk-Nya.

Firman Allah SWT dalam Surah al-Zaariyat ayat 56: “Tidak aku jadikan jin dan manusia melainkan untuk menyembah Aku,”

Ungkapan yang disebut oleh Rub’i bin Amir kepada panglima Parsi, Rustum jelas menjelaskan maksud kemerdekaan dalam Islam.

Apabila ditanya oleh Rustum, apakah sebab umat Islam datang ke Parsi? Adakah kerana ketiadaan makanan atau berhajat kepada kemewahan. Maka dijawab oleh Rub’i:

“Kami datang untuk mengeluarkan manusia daripada kegelapan dunia kepada cahaya Islam, kami datang untuk mengeluarkan manusia daripada kesempitan dunia kepada keluasan dunia dan akhirat. Kami datang untuk membebaskan manusia dari kezaliman agama-agama kepada keadilan Islam.”

MAKNA SEBENAR KEMERDEKAAN

Itulah makna merdeka yang sebenarnya. Kemerdekaan tanah air perlu diisi dengan mengajak seluruh umat kembali kepada kehidupan Islam. Jika sebelum merdeka, penjajah yang mentadbir dan meletakkan undang-undang untuk dipatuhi oleh rakyat tanah jajahannya.

Sudah tentunya penjajah mengurus dan mentadbir negara ini mengikut perlembagaan mereka yang tidak berteraskan al-Quran dan sunah.

Tempoh 400 tahun bermula dengan penjajahan Portugis sehingga negara merdeka daripada penjajahan British, Tanah Melayu telah melalui satu transformasi yang menyeluruh.

Namun, sekularisasi kehidupan umat Islam terus berlaku sehingga wujud satu dikotomi jelas antara urusan keduniaan dan ibadah.

Kesannya wujudlah pertubuhan, gerakan yang berselindung atas cogan kata hak asasi dan demokrasi yang berjalan dengan begitu sistematik sehingga tujuan utama memisahkan agama daripada menjadi pegangan serta pedoman kehidupan bermasyarakat tercapai.

Apabila negara merdeka dan menjadikan Islam sebagai teras dengan mengabadikan dalam perkara 3 (1) Perlembagaan Persekutuan yang memaktubkan:

“Islam ialah agama bagi Persekutuan; tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan.”

Peruntukan undang-undang ini menyediakan tapak asas kepada umat Islam yang menjadi majoriti negara ini sewajibnya menjadikan syariat Islam sebagai pegangan dengan mempraktikkannya dalam kehidupan untuk menikmati kemerdekaan sebenar.

Kita boleh melihat bagaimana usaha-usaha dilakukan oleh pemerintah bagi memartabatkan Islam di negara ini, bukan sahaja dari sudut menyediakan kemudahan tetapi juga dalam usaha membangunkan negara mengikut acuan syariah.

Pada masa yang sama, kerajaan turut bertindak tegas terhadap kumpulan menyeleweng dan membanteras fahaman bercanggah dengan syariat Islam demi menjaga akidah umat Islam termasuk yang terkini isu ditimbulkan oleh golongan ateis.

SYUKURI KURNIAAN NIKMAT

Kemerdekaan negara yang dinikmati ini adalah anugerah Allah SWT yang wajib disyukuri dan dipelihara. Pelbagai nikmat telah dirasai rakyat hasil daripada kemerdekaan. Pelbagai pembangunan dan prasarana untuk keselesaan rakyat disediakan oleh pemerintah.

Terbaru, sistem pengangkutan awam moden bertaraf dunia, Transit Aliran Massa (MRT) laluan Sungai Buloh hingga Kajang dilancarkan pada 17 Julai lalu. Perkhidmatan yang beroperasi mengikut kekerapan setiap 3.5 minit ini dijangka akan memanfaatkan seramai 400,000 pengguna sehari.

Perkhidmatan baru dalam pengangkutan awam ini telah membawa lonjakan tersendiri sebagai permulaan kepada banyak lagi projek infra rakyat yang akan dibangunkan.

Sebagai rakyat bagi sebuah negara yang merdeka sudah semestinya kita menyokong usaha-usaha pembangunan yang dilaksanakan oleh pemerintah. Sesuai dengan tema Hari Kebangsaan tahun ini iaitu ‘Negaraku Sehati Sejiwa’.

Firman Allah SWT dalam Surah an-Nisa’ ayat 59: “Wahai orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan Rasul dan kepada Ulil-Amri dalam kalangan kamu. Kemudian jika kamu berselisih dalam sesuatu perkara, maka kembalikanlah kepada Allah dan Rasul-Nya jika benar kamu beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya,”

Kemudahan dan keselesaan hidup kita di bumi Malaysia ini, sentiasa menjadikan Malaysia sebagai tempat tumpuan dalam segenap aspek.

Lihat sahaja pada tahun ini, Malaysia menjadi tuan rumah Sukan SEA.

Perjuangan para atlet negara yang membawa Malaysia ke mercu kejayaan bukanlah perjuangan perseorangan tetapi membawa komitmen dan semangat seluruh warga Malaysia.

Semoga semangat kesukanan ini juga dapat menyemarakkan semangat cintakan negara, memperluas dan memperkukuh semangat kekitaan, kebersamaan, saling memahami dan hormat menghormati dalam kalangan rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan budaya.

* Kemakmuran, keamanan dan kedaulatan sebuah negara merupakan satu nikmat terbesar yang patut disyukuri.

* Walaupun negara kita merdeka tetapi bukan bererti kita telah bebas daripada penjajahan. Perjuangan kemerdekaan sebenarnya masih perlu diteruskan bagi menangani penjajahan budaya, globalisasi, fahaman-fahaman bertopengkan kebebasan hak asasi yang memisahkan antara kehidupan dan agama.

* Peruntukan undang-undang dalam perlembagaan menyediakan tapak asas bagi umat Islam menjadikan syariat Islam sebagai pegangan dan mempraktikkan dalam kehidupan untuk menikmati kemerdekaan sebenar.

“Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang daripada melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar. Dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan,” (Surah al-Hajj ayat 41)

Artikel Berkaitan
Video Pilihan
Artikel Lain