Jarak bangunan penginapan jemaah ke pekarangan Masjidilharam adalah kurang daripada 1 kilometer (km) bagi memudahkan mereka berulang-alik ke masjid untuk setiap solat waktu. Di kawasan sekitar Masjidilharam terdapat pasukan peronda yang bertugas sepanjang masa untuk memberi bantuan terbaik kepada jemaah haji tersasar.

Ibadat pertama jemaah setelah sampai di Mekah adalah menyempurnakan umrah. Ada sebahagian jemaah tersasar selepas melakukan umrah kali pertama. Ini kerana baru sampai ke Mekah dan masih tidak biasa dengan keadaan sekeliling.

Bagi memudahkan mengurus jemaah, mereka akan diberi lanyard khas sebagai pengenalan ketika melakukan umrah. Para petugas maktab serta peronda akan bersiap siaga meningkatkan rondaan setiap kali para jemaah keluar ke Masjidilharam.

HANYA YANG TERBAIK

Setiap hari para jemaah disediakan sajian sebanyak dua kali iaitu makan tengah hari dan makan malam. Makanan disediakan oleh TH Travel & Services Sdn. Bhd., anak syarikat milik penuh TH. Dapur-dapur yang digunakan di Tanah Suci diselia oleh tukang masak dari tanah air dan makanan pula disediakan dengan cita rasa Malaysia.

Jemaah muassasah akan menginap di bangunan-bangunan penginapan yang disewa khusus untuk rakyat Malaysia. Dengan keseluruhan bangunan bawah pengurusan TH, pelbagai kemudahan dapat disediakan untuk kemudahan jemaah termasuk pusat perkhidmatan maktab, klinik perubatan dan kaunter farmasi, kaunter kewangan untuk urusan simpanan dan pengeluaran wang, kaunter khidmat pelanggan serta perkhidmatan kaunseling dan nasihat ibadat haji.

Bagi memudahkan jemaah berhubung untuk pertanyaan, TH menyediakan dua talian untuk mereka mendapat bantuan dan nasihat iaitu Talian Ibadat Haji dan Talian Perkhidmatan Kaunseling. Rata-rata jemaah amat berpuas hati dengan talian-talian berkenaan kerana memudahkan mereka mendapat khidmat nasihat, bimbingan dan kaunseling walau pun berada di luar bangunan penginapan atau semasa di kawasan masjid.

Selain itu, disediakan juga perkhidmatan tambahan di lobi bangunan seperti penghantaran bagasi, panggilan ke tanah air menggunakan kad I-Talk, dobi dan kafeteria serta kios menjual pelbagai barangan seperti kurma dan kacang, wangian, buku dan al-Quran. Terdapat juga syarikat-syarikat dilantik dan dipantau oleh TH yang menyediakan program ziarah ke tempat-tempat bersejarah di Mekah dan kawasan manasik haji serta menganjurkan umrah sunat bagi jemaah haji yang berminat.

PERSEDIAAN DITIMPA UJIAN

Bagi jemaah yang sakit dan memerlukan rawatan lanjut, terdapat pusat rawatan TH di Mekah:

- Terdapat 197 katil dan penjagaan perubatan oleh pakar-pakar dan doktor yang bersama bertugas semasa musim haji.

-  Bagi kes serius yang memerlukan rawatan tambahan, jemaah akan dirujuk ke hospital Arab Saudi. Lawatan harian akan dilakukan untuk memastikan kebajikan jemaah yang masuk ke wad.

Bagi jemaah yang dijemput Allah semasa berada di Tanah Suci:

- Pengurusan jenazah mereka akan diatur sehingga dikebumikan.

- Tabung khairat kematian disediakan untuk membantu waris jemaah yang meninggal dunia.

- Bakal haji yang meninggal dunia sebelum wuquf, TH akan menguruskan urusan badal haji mereka.

PERSEDIAAN HARI KEMUNCAK

Fasa yang paling penting dalam menyelaras pengurusan jemaah di maktab ialah semasa persediaan untuk menghadapi wuquf. Semasa operasi Masyair ini petugas maktab akan bekerjasama membantu pihak muassasah Asia Tenggara mengatur jadual pergerakan bas dari Mekah ke Arafah pada 8 Zulhijah dan balik semula ke Mekah dari Mina pada 12 Zulhijah (bagi yang Nafar Awal) dan 13 Zulhijah.

Setelah jemaah haji selesai mengerjakan ibadat haji, mereka diatur untuk pergerakan pulang. Melalui kemudahan city check in, pendaftaran masuk dan timbang bagasi akan dilakukan lebih awal semasa di bangunan penginapan, sekali gus menjadikan pergerakan jemaah menaiki bas ke terminal akan lebih selesa dan tersusun.

Insya-Allah TH akan memastikan jemaah haji Malaysia mendapat layanan mesra dan berbagai-bagai perkhidmatan terbaik sepanjang mereka berada di Mekah.

Semoga dengan segala kemudahan ini akan membantu persediaan diri dan persiapan mereka untuk menunaikan ibadat, sekali gus mencapai haji yang mabrur.