Kawasan itu beberapa kali menjadi jajahan takluk empayar besar zaman dahulu seperti Babylon, Cylinder, Greek, Rom, Islam dan terbaharu, rejim Zionis Israel.

Tetapi sejarah membuktikan, semasa bawah penguasaan Islam sahaja, Baitulmuqaddis berada dalam keadaan aman dan makmur. Ini kerana, penguasa Islam sama ada pada era Umar al-Khattab, Salahuddin al-Ayubi atau Uthmaniyah, tidak memusuhi penganut agama lain.

Setiap agama, sama ada Islam, Kristian, Yahudi atau lain-lain bebas mengamalkan ajaran masing-masing.

Selagi tidak melanggar undang-undang yang ditetapkan, para penganut bebas keluar masuk ke Masjid Al-Aqsa atau sekitarnya.

“Kalau kita menyelusur sejarah, kerajaan empayar besar zaman dahulu, kecuali Islam, bukan hanya membunuh dan menghalau keluar penduduk tempatan tetapi memusnahkan tempat-tempat ibadat.

“Mereka membina tempat ibadat agama yang menjadi pegangan mereka di kawasan tersebut,” kata Fello Penyelidik Institut Islam Hadhari, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi, Selangor, Shamsul Azhar Yahya.

Sedangkan, beliau yang ditemui di pejabatnya itu di UKM baru-baru ini menambah, tujuan penguasaan empayar Islam ke atas Baitulmuqaddis hanya kerana mahu membebaskan penduduk tempatan yang dizalimi dan ditindas oleh pemerintah ketika itu.

Dalam masa sama, kawasan tersebut juga merupakan tempat yang paling ramai rasul atau nabi muncul, antaranya adalah Nabi Ayub, Musa, Harun, Zulkifli, Daud, Sulaiman, Ilyas, Ilyasa, Yunus, Zakaria, Yahya dan Isa.

“Jadi, tidak hairanlah selepas jatuhnya empayar Uthmaniyah, Baitulmuqaddis termasuk kawasan Masjid Al-Aqsa tidak lagi aman sehingga hari ini dan kekejaman rejim Zionis itu sebagai penyambung legasi keganasan empayar besar sebelum ini,” katanya.

TIDAK MASUK AKAL

Shamsul Azhar menjelaskan bahawa tindak tanduk rejim Zionis Israel sama ada di Baitulmuqaddis atau Masjid Al-Aqsa sehingga kini itu kerana mereka masih gagal membuktikan bumi suci milik orang Yahudi.

Antaranya, beliau menambah, usaha untuk menyandarkan agama anutan mereka dengan ajaran nabi-nabi yang muncul zaman dahulu itu dengan mencari bukti-bukti kewujudan Solomon (Sulaiman) Temple atau Haika Sulaiman di bawah tapak kawasan Masjid Al-Aqsa.

Tetapi sehingga kini tanda kewujudan kuil itu sama ada melalui fakta sejarah atau bukti fizikal tidak pernah ditemui. Malah, banyak kajian sejarah menunjukkan konsep ajaran nabi-nabi berkenaan selari dengan apa yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW.

“Memang Nabi Sulaiman membina tempat ibadat tetapi pada saya, ia sesuatu yang mustahil untuk ditemukan bukti kewujudannya kerana ia bukan hanya telah dimusnahkan secara total oleh empayar yang menakluki kawasan tersebut, kecuali penguasa Islam.

“Bahkan, pemerintah empayar berkenaan telah mendirikan tempat ibadat agama mereka di kawasan itu dan dalam masa sama, penduduk tempatan termasuk orang Yahudi dibunuh atau dihalau serta tidak dibenarkan memasukinya,” katanya.

Begitu juga dengan usaha mereka mengaitkan kenyataan dalam beberapa surah al-Quran berkenaan usaha Nabi Musa memindahkan kaum Yahudi dari Mesir ke Baitulmuqaddis akibat ditindas dan dizalimi oleh Firaun.

“Usaha itu memang ada tetapi ia bukan alasan untuk nyatakan bumi Baitulmuqaddis atau Masjid Al-Aqsa adalah milik mutlak mereka kerana surah itu menyuruh mereka hidup aman damai dengan penduduk sedia ada,” katanya.

NILAI MASJID AL-AQSA

Dalam masa sama, Shamsul Azhar memberitahu, kepentingan kawasan tersebut kepada umat Islam tidak boleh dinafikan kerana ia adalah tempat Israk Nabi Muhammad SAW, kiblat pertama bagi umat Islam dan antara tiga masjid yang digalakkan untuk dikunjungi.

“Fadilat solat di dalam masjid tersebut bersamaan 500 solat di masjid lain dan sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Tabrani bermaksud:

“Kelebihan solat di dalam Masjdilharam bersamaan dengan 100,000 solat (di tempat lain), dan solat di dalam masjidku ini (Masjid Madinah) bersamaan 1,000 solat. Dan solat di masjid Al-Aqsa bersamaan 500 solat.”

Selain itu, Shamsul Azhar menyatakan bahawa umat Islam perlu juga memahami secara mendalam sejarah peralihan kiblat solat dari Masjid Al-Aqsa ke Masjidilharam di Mekah.

Katanya, perintah Allah SWT melalui penurunan Surah al-Baqarah, ayat 144 dan 150 itu bukan sekadar menunjukkan status Masjid Al-Aqsa pada masa-masa akan datang tetapi juga demi menjaga maruah agama Islam.

“Bagi saya jika kita masih berkiblatkan Masjid Al-Aqsa, sudah pasti maruah kita tercemar kerana ia dikuasai orang Yahudi yang sememangnya diketahui cukup memusuhi umat Islam sejak zaman Rasulullah SAW lagi.

“Orang Yahudi mesti dengan angkuh akan cakap - kamu marah dan benci kepada kami tetapi apabila solat kamu menghadap kami,” katanya.

Namun bagi Shamsul Azhar, jika dibandingkan dengan dua kota tersebut, hanya Mekah belum pernah diserang dan ditawan oleh mana-mana pihak, termasuklah empayar kafir pada zaman dahulu.

Sedangkan, beliau menambah, Baitulmuqaddis atau Masjid Al-Aqsa telah beberapa kali diserang dan ditawan sama ada oleh empayar kafir atau Islam sejak beribu-ribu tahun dahulu.

Beliau juga percaya Allah SWT menyedari bahawa umat Islam selepas kejatuhan empayar Uthmaniyah bukan lagi kuat dan tidak mampu menewaskan bangsa kafir, termasuk Israel.

“Satu lagi, hanya Mekah dan Madinah yang mendapat jaminan perlindungan Allah SWT,” katanya.