Ada kalangan mendakwa ia adalah proses Arabisasi yang tiada nas daripada hukum syarak, sekali gus tidak diwajibkan. Bagi sebahagian yang lain pula bertudung sekadar berfesyen tanpa menginsafi falsafah menutup aurat itu sendiri.

Namun pandangan-pandangan tersebut tidak menjejaskan golongan Muslimah arus perdana yang memegang kuat hakikat menutup kepala yang merupakan sebahagian daripada aurat wanita dan tuntutan agama. Oleh hal demikian, kita dapat melihat majoriti Muslimah di Malaysia bertudung menutup aurat mereka sehingga kadang-kadang menimbulkan kegusaran golongan yang tidak menutup aurat.

Dugaan menutup aurat lebih dirasai di luar negara. Pasti kita masih ingat peristiwa beberapa tahun lalu seorang wanita Islam di Jerman bernama Marwa Al Sherbi meninggal dunia akibat ditikam oleh seorang lelaki di Dresden, Jerman kerana memakai tudung.

Marwa ditikam ketika sedang memberi kesaksian di mahkamah terhadap lelaki berkenaan. Kejadian tersebut telah menimbulkan kemarahan dan menarik perhatian orang ramai tentang kebebasan hak asasi manusia khususnya kepada orang Islam bagi hak untuk mengamalkan ajaran Islam sepenuhnya.

Firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah, ayat 208: “Wahai orang beriman masuklah kamu ke dalam Islam secara keseluruhan dan janganlah kamu menurut langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagi kamu.”

Demi menjunjung firman Allah ini adalah menjadi tanggungjawab terhadap setiap Muslim yang mukalaf untuk mengamalkan ajaran Islam secara menyeluruh meliputi setiap aspek dalam kehidupan.

Hak untuk menganuti dan mengamalkan agama ini tidak boleh disekat oleh mana-mana pihak atas apa-apa alasan sekalipun melainkan jika ia berlawanan dengan undang-undang am seperti ketenteraman awam, kesihatan awam dan moraliti.

Perkara 11 (1) Perlembagaan Persekutuan menjamin kebebasan beragama di mana menurut perlembagaan, setiap warganegara Malaysia berhak menganuti dan mengamalkan agamanya sebagaimana yang diperuntuk dalam Perkara 11 (1) iaitu:

“Setiap orang berhak menganuti dan mengamalkan agamanya dan tertakluk kepada fasal (4) mengembangkannya dan peruntukan ini hendaklah dibaca bersama-sama dengan Perkara 3(1) Perlembagaan yang menyatakan Islam adalah agama Persekutuan tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di Malaysia.”

HORMATI HAK

Bagi memastikan kehidupan yang harmoni dan aman di Malaysia, semua pihak perlu memahami hak masing-masing menurut Perlembagaan dan perlu memahami kedudukan agama Islam dan agama-agama lain dalam perlembagaan agar tiada pihak yang dinafikan haknya.

Di Malaysia bukanlah satu fenomena baharu apabila seorang Muslimah memakai pakaian menutup aurat. Namun malangnya sehingga kini masih wujud halangan kepada wanita Muslimah untuk mengamalkan tuntutan beragama ketika berada di tempat kerja.

Masih kedapatan majikan yang dengan secara sedar meletakkan wanita Muslim dalam dilema iaitu antara mematuhi perintah Allah dengan peraturan yang dikenakan oleh majikan dalam berpakaian.

Sedangkan perintah pemakaian tudung kepada Muslimah adalah satu perintah yang jelas sebagaimana diperintahkan Allah SWT dalam Surah An-Nur ayat 31:

“Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman itu supaya menyekat pandangan mereka dan memelihara kehormatan mereka dan janganlah mereka menzahirkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka dan janganlah mereka memperlihat perhiasan tubuh badan mereka ...”

Perintah menutup aurat ini juga diriwayatkan oleh Abu Daud daripada Aisyah r.a. bahawa Asma puteri Abu Bakar r.a. suatu hari berkunjung ke rumah Nabi SAW, lantas Baginda bersabda menegurnya: “Wahai Asma! Bila seorang gadis telah haid, tidak boleh terlihat bahagian organ tubuhnya kecuali bahagian ini (Nabi menunjuk muka dan kedua telapak tangannya).”

Justeru adalah menjadi kewajipan kepada setiap wanita Muslim untuk memakai tudung sebagaimana yang diperintahkan Allah dalam Surah An-Nur di atas.

PERBUATAN TIDAK BERTANGGUNGJAWAB

Acap kali kita mendengar aduan dan keluhan wanita Muslimah yang dihalang haknya untuk memenuhi tuntutan berpakaian secara Islam di tempat kerja. Ada antara wanita yang disuruh memilih antara kerja atau hak berpakaian sebagai seorang Muslimah.

Polemik ini juga dihadapi wanita Muslimah di Malaysia termasuklah tidak lama dahulu melibatkan seorang guru wanita mualaf dari sebuah sekolah jenis kebangsaan Cina di Johor yang disuruh menanggalkan tudungnya.

Hal demikian boleh ditafsirkan sebagai menghalang seorang daripada beramal mengikut kehendak agamanya. Malah dalam bidang perhotelan, hospital dan penerbangan juga wanita Islam menghadapi kesulitan menutup aurat semasa bekerja.

Tindakan sesetengah majikan yang menghalang pekerja wanita daripada berpakaian sebagaimana dikehendaki agama adalah bertentangan dengan hak mengamalkan agama yang dijamin oleh perlembagaan.

Dalam konteks yang lain perlu juga diinsafi bahawa menutup aurat bukan sekadar bertudung sahaja tetapi juga tidak memperlihat bentuk badan yang boleh menggiurkan.

Bagi lelaki juga terdapat aurat yang perlu ditutup. Ramai lelaki mengambil mudah tentang aurat lelaki terutama dalam menampakkan bentuk badan mereka. Kesedaran juga perlu diberikan dalam aspek menutup aurat lelaki ini.

Berbalik kepada isu menutup aurat ini, ia merupakan suatu hak yang perlu dihormati semua. Jangan lagi ada usaha atau arahan menghalang seseorang mengamalkan agamanya. Jangan kita menjadi pengacau yang merencatkan hak beragama di Malaysia.

Namun bagi yang memakai tudung, janganlah sekadar meliputi badan anda dengan kain sahaja. Aurat hendaklah dijaga, akhlak dipelihara dan adab utama. Tiada gunanya jika bertudung litup tetapi terkinja-kinja di kelab-kelab malam.