Hikmah besar. Ia meliputi segala aspek kehidupan. Melihat bagaimana jemaah dari Bangladesh dan Pakistan berjalan kaki berpuluh-puluh kilometer dari tempat penginapan untuk mengejar masuk waktu solat begitu menginsafkan.

Juga, bagaimana ada kalangan jemaah sanggup duduk berasak-asak atas coaster dan lori pikap, dengan sekadar membayar antara 3 hingga 5 Saudi Riyal di tengah-tengah panas terik 48 darjah Celsius demi ‘merebut’ peluang dan pahala haji, mendekatkan lagi penulis pada Ilahi.

Pengalaman penulis mengerjakan haji pada tahun berkenaan tersemat kemas dalam ingatan. Di Arafah pada Jumaat 3 Oktober tahun itu, di tepi sebuah khemah putih ketika mengekori seorang menteri yang membuat lawatan dari ke khemah ke khemah jemaah, penulis terserempak dengan Effendi Osman, 55, yang baru ditemui dua hari sebelum itu di penginapan jemaah di sebuah hotel di Mekah.

“Bagaimana haji, bolehkah ke seorang ni,” kata penulis. Dibalas Effendi dengan ungkapan perlahan: “Insya-Allah, saya boleh hadapinya, tak mengapa syukur dia kekal di sini, saya pasrah.”

REZEKI DISEMBAHYANGKAN OLEH JUTAAN ORANG

Isteri Effendi, Maznah Mat Dali, 51, penghidap kanser hati yang memang berhajat ke Tanah Suci dan kemudian diizinkan doktor, meninggal dunia sehari sebelum berada di Arafah setelah paru-parunya dijangkiti kuman.

“Para suami jangan risau, malah bersyukurlah kerana isteri saudara-saudara disembahyangkan oleh berjuta-juta jemaah di Masjidilharam dan ditempatkan (disemadikan) dalam kalangan para anbia,” kata pakar rujuk ibadah haji, Datuk Fadzil Awang yang masih terngiang-giang di telinga penulis.

HEBATNYA ANAK MALAYSIA

Di sebalik wajah Masjidilharam, projek pembesaran mataf dan penstrukturan bangunannya pada 2014 itu, terserlah beberapa wajah anak Malaysia yang menghambat sanubari penulis.

Berada di bilik terjemahan masjid, muncul Mohd. Aswadi Ali, 28, dan Mohamad Nurul Hafiz Ab. Latif, masing-masing dari Marang dan Besut, Terengganu mengungkapkan bait demi bait terjemahan khutbah Jumaat khatib Masjidilharam. Barangkali, kalau diizinkan-Nya tidak mustahil seorang imam rakyat Malaysia akan muncul suatu hari nanti di atas mimbar Masjidilharam memperdengar khutbah.

Kedua-dua anak muda itu adalah penterjemah khutbah Jumaat dari bahasa Arab ke bahasa Melayu. Ini memandangkan sebahagian besar jemaah haji datang dari Nusantara yang 300 juta penduduknya berbahasa Melayu - dari Indonesia, Malaysia, selatan Thailand, Brunei hinggalah selatan Filipina.

TABUNG HAJI TERBAIK

Mekah dan Madinah menjadi kenangan berharga yang kekal dalam ingatan penulis. Bertemu pembantu muassasah era 60-an hingga akhir 80-an, Ahmad Kamil Abdul Rahman, 64, di kediamannya al-Rusaifah kira-kira tiga kilometer dari menara jam Masjidilharam memberi kefahaman menarik tentang kehidupan.

“Nenek moyang saya sudah berada di Mekah sejak 200 tahun lalu semasa rantau Arab bawah pemerintahan zaman Uthmaniyyah lagi,” kata Ahmad Kamil.

Ditanya respons penduduk tempatan dan kerajaan Arab Saudi terhadap jemaah haji Malaysia, Ahmad Kamil secara berterus-terang mengakui: “Tabung Haji paling best.”

“Kalau apa-apa terjadi kepada jemaah kita, pihak mereka akan cari Tabung Haji. Lagipun jemaah kita hidup teratur, tidak tidur tepi jalan atau buat benda tidak senonoh, tidak bawa bendera semasa kerja haji atau tinggal melebihi tempoh.

“Saya suka jemaah haji kita pergi dengan Tabung Haji,” jelasnya.

KENANGAN TERBAIK SEUMUR HIDUP

Berpeluang pula penulis bertemu Imam Besar dan Khatib Masjidilharam, Sheikh Abdul Rahman Abdul Aziz As-Sudays juga menyingkap kepekaan beliau terhadap ‘muslihat media tertentu’ terhadap Islam. Kerana kesal dengan laporan palsu kononnya projek pembesaran Masjid Nabawi akan memindahkan makam Rasulullah ke perkuburan Baqi’, Abdul Rahman, yang ketepatannya dalam memikul tanggungjawab di Masjidilharam pada tahap 99.9 peratus, sempat berpesan kepada penulis mengenai pentingnya ketepatan fakta.

“Media perlu melaporkan dengan tepat jika tidak, segala yang baik untuk umat (Islam) akan hancur,” kata beliau dalam pertemuan singkat 10 minit disertai empat lagi rakan media, sambil pintu dikawal ketat beberapa anggota tentera di sebuah bilik kecil dalam Masjidilharam.

Kenangan mengerjakan haji pada 2014 yang juga dalam tahun itu adalah Haji Akbar bersama 26 lagi rakan petugas media Tabung Haji begitu mengusik kenangan. Haji Akbar memiliki keistimewaan dibandingkan haji pada hari biasa. Ada riwayat menyebut satu kali Haji Akbar pahalanya sama dengan 70 kali berangkat haji.

Ini termasuklah semasa penulis menjejakkan kaki di puncak Jabal Uhud, Jabal Nur dan Jabal Tsur serta mengerjakan tawaf Wada’.

Nama Tabung Haji dan Malaysia begitu gah di Tanah Suci. Suatu kebanggaan juga buat penulis apabila beberapa kali diajak bergambar oleh jemaah Turki, Indonesia, Bangladesh dan China di luar Masjidilharam.