Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY

Logo Kaji Selidik Pembaca

Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY ?

Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY ?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

Haji bukti ketaatan, tuntut pengorbanan

USIA atau kurang upaya bukan halangan umat Islam menyempurnakan 2
USIA atau kurang upaya bukan halangan umat Islam menyempurnakan ibadah haji.

SEMAKIN menghampiri musim haji, satu persatu kenangan dua tahun lalu ketika berpeluang menunaikan ibadah Rukun Islam kelima itu muncul dalam fikiran penulis.

Walaupun tidak menyangka akan terpilih untuk bersama-sama 28,000 jemaah haji dari Malaysia menyempurnakan kemuncak ibadah itu pada tahun tersebut, namun benarlah kata orang, tiada yang mustahil jika telah tertulis sebagai tetamu Allah SWT.

Ia adalah menerusi tawaran sebagai Urusetia Program Khas Haji Perdana Menteri-Yayasan 1Malaysia Development Berhad (PKHYABPM-Yayasan 1MDB).

Mendapat tawaran tersebut pada saat akhir iaitu kurang dari sebulan sebelum ke Tanah Suci, tidak dinafikan penulis agak gementar kerana tidak pernah mengikuti kursus haji sebelum ini, apatah lagi melakukan latihan amali.

Ternyata, segala urusan dipermudah Allah SWT. Selain menerusi pembacaan sendiri, tunjuk ajar Pembimbing Tanah Suci (Pihtas), Tabung Haji sangat membantu bagi mereka yang berhadapan situasi sama mendapat tawaran saat akhir seperti penulis.

Namun, bukan itu yang hendak diperkata, sebaliknya sedikit pengajaran yang ingin dikongsi adalah haji merupakan ibadah berbeza berbanding ibadah lain dalam Rukun Islam termasuk solat, puasa dan zakat.

Bukan sahaja memerlukan penguasaan ilmu pengetahuan, melaksanakan ibadah haji juga menuntut kepada kekuatan mental dan fizikal umat Islam di samping menguji keimanan serta ketaatan seorang hamba kepada Tuhannya.

Ini kerana jemaah yang memilih haji jenis Ifrad contohnya, mereka perlu kekal dalam ihram sejak mula memasuki Tanah Suci sehinggalah sempurna melontar Kubra pada hari pertama melontar. Ini boleh mencapai tempoh hampir dua minggu.

Ketika itu, segala pantang larang dalam ihram perlu dipatuhi bermula dengan larangan besar seperti memakai pakaian berjahit dan melakukan hubungan intim bersama pasangan sehingga perkara kecil seperti menjaga walau sehelai rambut atau bulu daripada gugur.

Secara logiknya, mengapakah umat Islam diperintahkan sebegitu? Bagi orang tidak beriman pasti akan mempersoal perkara tersebut yang dianggap mengarut dan melakukan sesuatu di luar daripada fitrah manusia.

Namun, oleh kerana ketaatan, tidak kira usia dan latar belakang, berkerusi roda atau kurang upaya, jemaah haji tetap berusaha sedaya upaya mematuhi perintah syariat tersebut walaupun sukar tanpa sedikit pun mempersoal amalan yang terpaksa dilakukan.

Sesetengah pendapat mengatakan hikmah larangan dalam ihram tersebut adalah bagi menunjukkan taraf manusia adalah sama di sisi Allah tanpa mengira latar belakang dalam masa sama melatih sifat sabar dan saling menghargai sesama makhluk lain.

Bayangkan, dalam keadaan suhu mencecah lebih 50 darjah Celsius pastinya akan menimbulkan ketidakselesaan bagi mereka yang tinggal di negara bersuhu sederhana atau rendah, tetapi ternyata itu bukan halangan kepada lebih tiga juta umat Islam dari seluruh dunia perlu berhimpun di padang Arafah untuk berwukuf terutama pada musim panas.

Ditambah pula, segelintir jemaah perlu berjalan sehingga sejauh kira-kira 7.5 kilometer pergi dan balik untuk menyempurnakan wajib haji iaitu melontar dari tapak perkhemahan ke Jamrah.

Tidak selesai di situ, sekembalinya ke Masjidilharam, jemaah harus menyempurnakan pula tawaf dan saie yang masing-masing dengan jarak sekitar 1 kilometer bagi tawaf sebanyak tujuh pusingan dan 3.15 kilometer saie sebanyak tujuh kali antara Safa dan Marwah.

Bagaimanapun, semua perintah tersebut tetap dilaksanakan dengan sempurna. Pengalaman ketika penulis bersama jemaah haji lain, tiada kedengaran sebarang rungutan atau protes daripada jemaah sebaliknya dilaksanakan dengan patuh.

Natijahnya, umat Islam dari seluruh dunia terus berpusu-pusu membanjiri Tanah Suci untuk mengerjakan ibadah haji dalam apa jua keadaan.

Ini mengapa ibadah haji dikatakan kemuncak segala ibadah yang tersembunyi 1,001 rahsia dan falsafah dalamnya. Hanya Allah Yang Maha Kuasa sahaja mengetahui apa tersurat dan tersirat.

Dalam masa sama, berada lebih 40 hari di Tanah Suci merupakan masa terbaik untuk berubah. Bagi mereka yang berpeluang melaksanakan haji, lakukanlah dengan penuh keimanan dan ketakwaan, penuhilah masa di Tanah Suci dengan ibadah, bukan membeli belah.

Tidak kurang penting juga diingatkan kepada jemaah haji supaya, elakkan sama sekali daripada melakukan perkara khurafat di Tanah Suci seperti mencari tiang jin, menggunting dan memakan benang kelambu Kaabah, meratap nasib dan sebagainya dengan niat selain daripada beribadah kepada Allah.

Semua amalan dan kepercayaan karut ini adalah ditegah oleh syarak malah boleh merosakkan akidah kerana amalan bidaah yang buruk seperti mana sabda Rasulullah bermaksud: “.....Setiap yang bidaah itu sesat dan setiap yang sesat akan ditempatkan di dalam neraka.” - Riwayat Muslim

Oleh itu, anggaplah haji yang dilakukan sebagai madrasah yang mencorakkan kita dengan ibadah, bukan sekadar melepaskan syarat atau melengkapkan perintah.

Artikel Berkaitan
Video Pilihan
Artikel Lain